Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 31, 2014

JUMLAH MANGSA TERKINI BANJIR DI PAHANG


Banjir: Di Pahang, jumlah mangsa terkini di pusat pemindahan sehingga jam 6 petang; 31.12.2014.

A) Daerah Terlibat : 8

1) KUANTAN
Jum. Kampung : 5
Jum. Pusat Pemindahan : 5
Jum. Keluarga : 303
Jum. Mangsa : 1,199

2) PEKAN
Jum. Kampung : 113
Jum. Pusat Pemindahan : 40
Jum. Keluarga : 3,090
Jum. Mangsa : 12,748

3 ) MARAN : 
Jum. Kampung : 46
Jum. Pusat Pemindahan : 27
Jum. Keluarga : 808
Jum. Mangsa : 3,049

4 ) TEMERLOH :
Jum. Kampung : 78
Jum. Pusat Pemindahan : 65
Jum. Keluarga : 5,175
Jum. Mangsa : 21,317

5) JERANTUT:
Jum. Kampung : 51
Jum. Pusat Pemindahan : 46
Jum. Keluarga : 1,246
Jum. Mangsa : 5,215

6) BERA.
Jum. Kampung : 19
Jum. Pusat Pemindahan : 19
Jum. Keluarga : 748
Jum. Mangsa : 3,174

7) ROMPIN
Jum. Kampung terlibat : 3
Jum. Pusat Pemindahan : 3
Jum. Keluarga : 33
Jum. Mangsa : 130

8) LIPIS.
Jum. Kampung terlibat : 24
Jum. Pusat Pemindahan : 23
Jum. Keluarga : 845
Jum. Mangsa : 3,425

B) Jumlah Keseluruhan :-
Daerah terlibat banjir : 8
Jum. kampung : 339
Jum. Pusat Pemindahan : 228
Jum. Keluarga : 12,248
Jum. Mangsa : 50,257


Read more »

HELIKOPTER PDRM KEMALANGAN

 


Saya sahkan Helikopter PDRM terlibat kemalangan di Kpg Rambai, Tanah Merah, Kelantan. Alhamdulilah 2 juruterbang dan 2 Crew Selamat - Khalid Abu Bakar

Sebuah helikopter Ecureui Unit Udara PDRM terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah, Kelantan ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir pada jam 6.15 petang tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata empat pegawai polis, termasuk seorang pegawai wanita yang berada dalam helikopter itu cedera.

"Semua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.


Keempat-empat mereka dikejarkan ke Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam tweetnya menyatakan dua juruterbang dan dua kru helikopter berkenaan selamat.

"Saya sahkan Helicopter @PDRMsia terlibat kemalangan di Kpg Rambai, Tanah Merah, Kelantan. Alhamdulillah 2 juruterbang dan 2 Crew Selamat," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan saksi melihat pesawat itu berlegar rendah di udara sebelum menjunam ke darat selepas kedengaran satu letupan.


Read more »

MAKLUMAT TELEKOMUNIKASI DI PAHANG


Laporan Banjir MCMC Wilayah Timur (31 Dis 2014 @ 8:00 PM)

PAHANG
1. Lipis :
Perkhidmatan komunikasi berfungsi namun gangguan masih lagi dialami di beberapa kawasan seperti di Sg. Yu, Bukit Tujuh, Samak Jani, Merapoh, Kerambit, Kg Relong, Mela, Kuala Kenong, Felcra Sg Temau, Kg Relai, Chegar Perah dan Tebing Tinggi. Gangguan dijangka akan dapat diatasi dalam masa yang terdekat berikutan kerja-kerja baikpulih di tapak pemancar yang terjejas sedang giat dijalankan oleh pihak Telco.

2. Jerantut :
Perkhidmatan komunikasi telah berjaya dipulihkan di beberapa kawasan namun gangguan dan kesesakan talian masih dialami di beberapa kawasan lain seperti di Besul, Lepar Utara, Mukim Tembeling dan Ulu Tembeling, Gelanggi, Lepar Utara, Kg Bantal, Kg Kuala Sat, Mukim Ulu Tembeling, Kg Jeram Abai dan Padang Piol, Merting, Kg Sg Retang, Kg Mat Daling Taman Negara, Bkt Nikmat, Jerantut Feri, Batu Balai, Pekan Damak, Kg Som, Bdr. Jerantut, Sg Jan, Kota Gelanggi, Perlok dan Jengka 6. Liputan dan kualiti perkhidmatan akan bertambah baik dari masa ke masa berikutan kerja-kerja baikpulih di tapak pemancar yang terjejas sedang giat dijalankan oleh pihak Telco.

3. Temerloh :
Perkhidmatan komunikasi telah dapat dipulihkan di sekitar Bandar Temerloh namun gangguan masih dialami di beberapa kawasan seperti di Kerdau, Desa Murni, Teluk Sentang, Jengka 8, Penderas, Jenderak, Tekal, Gong Halt, Kuala Krau, Kg Belenggu, Lebak, Bdr. Temerloh, Songsang, Kg Awah, Paya Kemuning dan Kg Batu Sawar. Liputan dan kualiti perkhidmatan akan bertambah baik dari masa ke masa berikutan kerja-kerja baikpulih di tapak pemancar yang terjejas sedang giat dijalankan oleh pihak Telco.

4. Kuantan :
Perkhidmatan komunikasi berfungsi namun kesesakan talian mungkin dialami di beberapa kawasan.

5. Raub :
Tiada gangguan komunikasi.

6. Maran :
Perkhidmatan komunikasi berfungsi namun kesesakan talian mungkin dialami di beberapa kawasan seperti di Kg Pesagi dan Kg Rambai Sebunga. Masalah kesesakan talian ini dijangka akan dapat diatasi dalam masa yang terdekat.

7. Bentong :
Tiada gangguan komunikasi.

8. Bera :
Perkhidmatan komunikasi berfungsi namun sedikit gangguan mungkin dialami di beberapa kawasan seperti di Pdg Luas, Bohor Baru, Batu Papan, Felda Mayam, Lebak, Felda Purun, Felda Kumai, Pekan Kemayan, dan Mengkarak. Gangguan dijangka akan dapat diatasi sepenuhnya dalam masa yang terdekat.

9. Rompin :
Tiada gangguan komunikasi.

10. Pekan:
Tiada gangguan komunikasi.
Terkini, pihak DiGi dan Celcom masing-masing telah memasang Sistem Pemancar Selular Bergerak dan pemancar baru di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Pekan bagi meningkatkan keupayaan talian mereka di kawasan tersebut.

11. Cameron Highlands :
Tiada gangguan komunikasi.


Read more »

HARGA PETROL DAN DIESEL TURUN MULAI ESOK

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menulis tweet mengumumkan harga bahan api akan dikurangkan antara 30 dan 35 sen mulai esok, sama dengan pengiraan Pakatan Rakyat terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Disember, 2014.


Harga petroleum akan diturunkan mulai esok. Demikian menurut sumber resmi. Harga petrol turun 35 sen seliter manakala harga diesel turun 30 sen seliter.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini mengumumkan harga runcit bahan api di negara ini akan dikurangkan antara 30 dan 35 sen mulai esok berikutan trend menurun dalam harga minyak mentah global.

Beliau menulis tweet yang petrol RON95 akan dijual pada harga RM1.91 seliter (pengurangan sebanyak 35 sen), petrol RON97 pada RM2.11 seliter (turun 35 sen) dan diesel RM1.93 seliter (turun 30 sen).

Harga yang diumumkan itu hampir sama dengan pengiraan yang dibuat ahli Parlimen Pakatan Rakyat Rafizi Ramli terdahulu hari ini yang mengatakan RON95 petrol patut ditetapkan pada harga RM1.91 seliter dan diesel pada RM1.94 seliter. – 31 Disember, 2014. (Sumber)




Read more »

PEKAN SUDAH MULA TENGGELAM




Kuantan 31 Dis, - Bandar Di-Raja Pekan sedang ditenggelami air sebagaimana yang diramal. Ini berikutan air yang 'turun' dari hulu iaitu Lipis, Jerantut dan Temerloh.

Gambar-gambar yang dimuatkan disini adalah dari laman facebook Pekan Bandar Di Raja yang dimuat naikkan kira-kira 2 jam yang lalu.

Dimaklumkan bahawa trenda air adalah menaik dan diharapkan tiada hujan di sebelah hulu serta di daerah Pekan sendiri bagi meringankan dan memudahkan mangsa banjir di daerah ini.

Berikut info yang aras air dan jalan raya sepertimana yang dimaklumkan;

LAPORAN BANJIR DAERAH PEKAN 2014

Tarikh : 31 DECEMBER 2014
Masa : 6.30am
Route : 003
Nama jalan : jln pekan - kuantan (SMK Ubai)
Seksyen : 299 (km19)
Panjang kawasan terlibat: 500m 
Kedalaman : 500 mm - 600 mm
Status : 
1)laluan dari pekan ke kuantan ditutup kepada kenderaan ringan.
2) laluan dari kuantan ke pekan menjadi laluan kontra dan ditutup kpd kenderaan ringan.
3) Air lintasan berarus deras.
4) Kawasan kg.semangat (km24-km25) dan sg penor (km25.5) turut menjadi laluan kontra utk kenderaan berat sahaja.


Trend air semakin meningkat di sepanjang laluan tersebut.


Diharapkan agar rakan-rakan facebook PahangKu dapat memberikan info dan gabar terkini untuk dimuat naikkan didalam Portal PahangKu.
















Read more »

VIDEO : BANJIR TENGGELAMKAN BANDAR TEMERLOH






Klip video diatas adalah rakaman amator yang kami terima melalui aplikasi whatsapp dari sahabat PahangKu. Bagaimanapun ianya diolah semula untuk dikomgsikan dengan pembaca bagi memberikan gambaran sebenar bencana banjir di Bandar Temerloh.

Rakaman tersebut dibuat pada beberapa hari lalu, namun menurut sumber, paras air di Temerloh semakin menyurut bagaimanapun kadarnya adalah sangat perlahan. Itu berikutan aras air di Sungai Pahang masih lagi tinggi.

Menurut laporan dari radio sebentar tadi, jumlah mangsa banjir masih tidak berubah dari pagi jumlah yang dilaporkan pagi tadi.

PahangKu Media mengucapkan terima kasih kepada pihak yang merakamkan video berkenaan dan memuatnaikkannya dilaman media sosial untuk dikongsikan bersama.

Bagi individu yang ingin berkongsi rakaman video, gambar dan info dengan PahangKu Media boleh berbuat demikian dengan menghubungi;

email : editor.pahangku@gmail.com
whatsapp: 0199657388




Read more »

KUANTAN : KEROSAKAN BERGANDA AKIBAT BANJIR


Tajuddin menunjukkan paras air banjir yang hampir menenggelamkan rumahnya tahun lalu.



Kerosakan rumah akibat banjir tahun lalu pun masih belum dapat dibaiki, kali ini kerosakan yang dialami mangsa banjir boleh dikatakan berganda.

Bagi Tajuddin Mohd, 33, dan Wan Zubaidah Wan Ismail, 30, dari Kampung Bukit Rangin di sini berkata, keadaan rumah mereka yang rosak menjadi semakin teruk apabila dilanda banjir sejak lima hari lalu.

Tajuddin berkata, kerosakan akibat banjir tahun lalu masih belum mampu dibaiki dan kini terpaksa berdepan dengan kerosakan yang baharu.

“Keadaan dinding rumah sedikit tercabut malah lantai juga semakin mereput. Walaupun banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu namun kami terpaksa berdepan dengan kerosakan rumah.

“Buat masa ini, kami tidak tahu bagaimana mahu membaiki rumah yang rosak,” katanya ketika ditemui di sini.

Tajuddin berkata, tahun lalu rumahnya ditenggelami air setinggi lebih tiga meter berbanding tahun ini iaitu dua meter.

Katanya, hujan lebat minggu lalu menyebabkan rumahnya tenggelam dan terpaksa ke pusat pemindahan di Sukpa.

Bagaimanapun katanya, hanya isteri dan tiga anaknya berpindah manakala dia terpaksa tinggal di dalam khemah di hadapan rumahnya.

“Saya pasang khemah di atas jalan dan duduk di situ untuk melihat keadaan rumah,” katanya.

Katanya, kebanyakan rumah di kawasan itu ditenggelami air setinggi dua meter.





Read more »

ROMPIN : BANJIR TIOMAN KALI INI LEBIH DAHSYAT


Aliran air yang deras menyebabkan tanah runtuh hingga menyebabkan sebuah rumah di Pulau Tioman musnah.




“Keadaan hujan lebat ditambah dengan air bukit yang deras mengalir melalui kawasan kampung dan angin yang kuat semalam (kelmarin) memang di luar jangkaan serta menakutkan kami yang tinggal di Pulau Tioman ini," kata Ketua Kampung Tekek, Zulkarnaini A Hamid, menceritakan keadaan sebelum berlaku banjir di pulau peranginan terkenal di Pahang itu, kelmarin.

Menurutnya, banjir kali ini lebih teruk dan dahsyat berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana air naik sebanyak tiga kali dalam satu hari.

Katanya, ia adalah disebabkan fenomena unik di pulau tersebut iaitu banjir akan mengikut keadaan air pasang besar yang bertembung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti dan air bukit.

“Apa yang berlaku semalam (kelmarin) adalah di luar jangkaan kerana hujan lebat dan banjir menyebabkan banyak jalan yang rosak dan ada jambatan yang retak selain beberapa rumah serta chalet yang rosak akibat tanah runtuh.

“Bagaimana pun cuaca hari ini (semalam) kelihatan semakin baik walaupun terdapat hujan renyai sekali-sekala dan banjir juga sudah surut,” katanya kepada Sinar Harian.

Seramai 82 mangsa banjir di Pulau Tioman yang melibatkan 18 keluarga kini ditempatkan di kuarters Jabatan Kastam dan kuarters Malaysian Airline Berhad (MAB).

Dalam pada itu, Zulkarnaini berkata, walaupun cuaca semakin baik tetapi penduduk yang terlibat masih tidak dibenarkan pulang kerana keadaan cuaca kini yang sukar dijangka kerana bimbang berlaku hujan dan air pasang besar lagi.

“Mangsa yang yang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara dalam keadaan baik dan mempunyai bantuan yang mencukupi. Kami harap keadaan seperti semalam (kelmarin) tidak akan berulang cuaca akan kekal baik,” katanya.




Read more »

KUANTAN : PERSATUAN RADIO AMATUR HULUR BANTUAN KOMUNIKASI


Petugas di kalangan ahli persatuan radio amatur di Pahang di bilik gerakan operasi yang dibuka di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Temerloh.


Persepakatan persatuan-persatuan radio amatur di Pahang mengerakkan bantuan komunikasi bagi menyelaraskan logistik bantuan banjir ke kawasan terjejas membantu melancarkan usaha banyak pihak dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Bantuan yang dihulurkan amat praktikal terutama di kawasan-kawasan yang mengalami gangguan komunikasi akibat terputus bekalan elektrik, kerosakan struktur komunikasi dan kesesakan talian akibat peningkatan penggunaannya secara mendadak.

Presiden Penaja Persatuan Rekreasi Radio Amatur Pahang (Riadah), Musharizal Abdullah berkata, pihaknya bersama beberapa persatuan lain termasuk pemegang lesen radio amatur secara individu mengambil inisiatif membantu bagi melancarkan pergerakan bantuan banjir ke kawasan kritikal.

Menurutnya, dalam konteks di Pahang ianya lebih kepada bantuan komunikasi dan bukan hingga ke peringkat komunikasi bencana seperti yang berlaku di Kelantan.

“Kita gerakan anggota secara sukarela di kawasan-kawasan atau pusat pemindahan kritikal termasuk di Kuantan, Pekan, Temerloh dan beberapa daerah lain yang terlibat banjir bagi memudahkan maklumat disampaikan memandangkan komunikasi radio antara agensi kerajaan berbeza malah ada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiada kemudahan sedemikian.

“Jadi kita ambil inisiatif atas kemampuan yang ada untuk mengerakkan bantuan komunikasi ini melalui bilik-bilik operasi yang dibuka supaya bantuan dari luar dapat digerakkan ke kawasan yang memerlukan dengan mudah selain penyaluran maklumat dari kawasan terputus perhubungan untuk tindakan segera pihak berwajib,” katanya.

Musharizal berkata, secara keseluruhan terdapat kira-kira 11,000 pemegang lesen radio amatur di Pahang bagaimanapun yang bergerak aktif sepanjang banjir ini antara 50 hingga 60 orang termasuk secara berkumpulan atau individu dan sebahagian besarnya berada di Kuantan.

“Sebelum ini tiga persatuan radio amatur, Pertubuhan Komuniti Perpaduan dan Komunikasi (Unikom), Persatuan Radio Amatur Melayu Malaysia (Komuniti ASTRA Pahang) dan Jawatan Kuasa Penaja Riadah mengadakan Kursus Asas Komunikasi Bencana (Emergency Communication-Emcomm).

“Kursus Emcomm selama sehari itu dikendalikan penceramah daripada Malaysian Amateur Radio Emergency Services Society (MARES) yang sangat berpengalaman dalam menyediakan komunikasi bencana di dalam dan luar negara,” katanya.

Dia berkata, peserta kursus diberi pendedahan dan pengetahuan baru kerana komunikasi bencana ini amat berbeza dengan komunikasi radio yang digunakan seharian.

“Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum diputuskan kaedah yang sesuai untuk mendirikan sesebuah stesen radio di lokasi-lokasi yang diperlukan dengan mengambil kira bentuk muka bumi, jarak perhubungan, peralatan radio yang ada, bilangan pengendali radio yang diperlukan dan sebagainya," katanya.





Read more »

TEMERLOH : JANGAN SEBAR MAKLUMAT PALSU TENTANG BANJIR




Dalam keadaan menghadapi suasana bencana banjir, pengamal media sosial ingatkan agar jangan menyebarkan sebarang berita palsu atau berita yang tidak disahkan kebenarannya terlebih dahulu kerana itu akan mengakibatkan keadaan tidak tenteram kepada masyarakat.

Beberapa hari dahulu, pihak Polis dengan kerjasama SKMM mengesan 4 orang bagi membantu siasatan mengenai penyebaran berita palsu tentang kononnya bangunan Pusat Pemindahan banjir di Sekolah Manek Urai runtuh. (Baca Sini)  Sudah tentu berita begini menimbulkan keresahan kepada rakyat terutama dalam menghadapi musabah.

Kami juga menerima masej whatsapp yang dipanjangkan mengenai banjir di Temerloh berbunyi begini: Orang2 kampung xxx diTemerloh terkepong banjir kehabisan makanan. Tolong mereka, mereka berkumpul dirumah no. xx kg xxx, Temerloh. Tolong hebahkan kepada yg berkenaan.

DS Mohd Sharkar Shamsudin Adun Lancang merangkap Ketua UMNO Bahagian Temerloh menghubungi kami dan menafikan kebenaran maklumat berkenaan. Hasil siasatan mendapati rumah berkenaan tidak terlibat banjir, bahkan mereka juga sepatutnya berpindah ke Pusat pemindahan yang disediakan jika terlibat banjir.

Semua Pusat Pemindahan sentiasa diberi pemantauan dan memastikan segala barang keperluan dan makanan mencukupi untuk semua mangsa. Barang-barang dihantar melalui udara ke pengkalan utama sebelum diedarkan termasuk dengan bot ke Pusat-Pusat Pemindahan yang ditetapkan.

Ada kalangan penyokong pembangkang yang dengan sengaja menyebarkan berita palsu demikian bagi menimbulkan perasaan tidak puashati masyarakat terhadap kerajaan dan dalam masa sama ingin menutupi kelemahan Ahli Parlimen yang diwakili pembangkang serta wakil-wakil rakyat pembangkang yang tidak kelihatan ketika banjir melanda.




Read more »

KUANTAN : DS HISHAMUDDIN LAWAT MANGSA BANJIR DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANDAN



Kuantan 30 Dis - Menteri Pertahanan Malaysia melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan petang semalam dalam rangka lawatannya ke Pahang.

Sebelum itu beliau tiba di Pengkalan Udara Kuantan dan mendengar taklimat mengenai operasi yang dijalankan oleh ATM dalam membantu mangsa banjir di seluruh negeri Pahang.

Beliau kemudian mengadakan sidang akhbar sebelum menaiki helikopter EC725 ke Chenor dan Temerloh bagi meninjau keadaan mangsa bencana banjir di daerah berkenaan.

Ketibaan DS Hishamuddin Hussein disambut gembira oleh mangsa-mangsa banjir serta penduduk tempatan. Dalam kesempatan yang ada, DS Hishamuddin meluangkan masa untuk bermesra dengan semua terutama para pelatih PLKN yang ada di pusat berkenaan bagi tujuan membantu mangsa bencana.

Kemesraan DS Hishamuddin membuatkan golongan muda tertarik dan mesra dengan beliau. Ramai yang mengambila peluang untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.

Lawatan DS Hishamuddin ini juga ditemani oleh YAB Menteri Besar Pahang, Ahli Parlimen Paya Besar serta Adun kawasan berkenaan.







 




Read more »

NAJIB SIFATKAN BANJIR KELANTAN MALAPETAKA BESAR

Foto - Sumber


KOTA BAHARU, 30 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bencana banjir buruk yang melanda Kelantan adalah malapetaka besar yang membawa banyak kemusnahan.

Beliau yang meninjau kesan akibat banjir besar itu di Gua Musang dan Kuala Krai, Selasa, berkata kedua-dua jajahan berkenaan merupakan kawasan yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini.

"Mereka (penduduk) menganggap bencana itu bukan sebagai satu fenomena banjir tetapi ia adalah bencana atau malapetaka besar kerana keadaan air naik begitu tinggi dan mendadak sehingga banyak rumah tenggelam," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Baharu, selepas meninjau keadaan di kedua-dua jajahan.

Hadir sama mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir negeri Kelantan.

Najib berkata selain melihat sendiri rumah yang musnah sama sekali dan yang rosak teruk, beliau dimaklumkan penduduk bahawa beratus rumah musnah dan mereka hilang tempat kediaman.

"Saya lihat begitu banyak kerosakan dan ia amat menyedihkan dan menyayat hati," katanya, dengan menambah kerajaan akan mengambil beberapa tindakan untuk membantu mangsa banjir di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai.

Perdana Menteri berkata sekarang ini kerajaan dalam usaha yang berterusan membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan dan juga membantu mereka pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir pulih.

Beliau berkata kerajaan akan membuat taksiran secepat mungkin setiap rumah yang musnah dan rosak akibat banjir.

"Tindakan yang perlu diambil ialah membina rumah sementara supaya dapat didiami oleh mangsa-mangsa banjir yang ketiadaan rumah," katanya.

Najib berkata kerajaan akan membina kediaman kekal untuk mangsa banjir di Kuala Krai di kawasan yang lebih selamat daripada ancaman banjir.

Bagaimanapun, kerajaan pusat akan berunding dengan kerajaan negeri Kelantan memandangkan tanah untuk dijadikan kawasan penempatan baharu itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, katanya.

Perdana Menteri berkata pembinaan rumah di kawasan tanah rizab sungai tidak boleh dibenarkan kerana ia amat berisiko tinggi apabila dilanda banjir.

Ditanya adakah faktor utama berlaku malapetaka itu disebabkan pembukaan tanah yang berleluasa di kawasan berbukit di dua jajahan itu, Najib tidak menolak kemungkinan kecuaian manusia menjadi faktor penyumbang bencana.

"Pembukaan tanah secara berleluasa terutama sekali pembalakan yang berlebihan memberi kesan kepada alam sekitar kerana tidak ada penahan semulajadi untuk menahan air daripada terus ke sungai-sungai dengan begitu pantas," katanya.

Beliau berkata kayu balak yang banyak hanyut dalam sungai membawa kesan iaitu tersangkut di jambatan menyebabkan air tidak dapat mengalir dan melimpah ke kawasan sekitar dan menyebabkan banjir besar.

"Ini semua pengajaran buat kita supaya ambil tindakan menjamin pembangunan yang lestari dan mampan dan peringatan ini Allah SWT kepada kita sebenarnya, jadi kita patut ingat panduan yang diberikan dalam al-Quran, manusia adalah punca, Tuhan tidak menzalimi kita tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri," katanya.

Perdana Menteri memuji tindakan petugas Hospital Kuala Krai ketika sebahagian daripada hospital itu dinaiki air, berjaya menguruskan pesakit dan mangsa banjir yang berlindung di hospital berkenaan dengan baik.

"Apa yang dilakukan oleh jururawat dan doktor di hospital itu adalah di luar kebiasaan, dalam keadaan tertekan, maka khidmat bakti mereka perlu disanjungi," katanya.

Najib juga memuji usaha menyelamat mangsa yang terperangkap akibat bencana tersebut oleh agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia.

Ditanya adakah kos untuk pembinaan rumah dan infrastruktur lain yang rosak termasuk dalam peruntukan RM500 juta kepada mangsa banjir yang diumumkannya baru-baru ini, Najib berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan lain bagi tujuan tersebut.




Read more »

Tuesday, December 30, 2014

KUANTAN : PENUMPANG BAS TERKANDAS DI TERMINAL SENTRAL KUANTAN


Seorang petugas kaunter bas menampal notis pemberitahuan berhubung pembatalan jadual perjalanan bas akibat banjir.


Lebih 200 penumpang terkandas ekoran kebanyakan syarikat bas ekspres yang beroperasi di Terminal Sentral Kuantan (TSK) terpaksa membatalkan perjalanan selepas Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran tol Temerloh ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter, sejak Sabtu lalu.

Notis berhubung pembatalan jadual perjalanan bas ditampal di kebanyakan kaunter untuk makluman pengguna.

Hasil tinjauan di TSK petang semalam mendapati kebanyakan syarikat bas tidak mahu mengambil risiko untuk meneruskan perjalanan yang dijadualkan walaupun mendapat rungutan daripada penumpang terutama bagi mereka yang sudah membeli tiket bas lebih awal.

Pembatalan jadual perjalanan bukan saja melibatkan laluan ke Kuala Lumpur dan utara malah laluan ke negeri pantai timur lain seperti Terengganu dan Kelantan juga turut dibatalkan berikutan keadaan banjir yang masih belum pulih sepenuhnya.

Seorang penumpang, Nor Syafiqa Abdullah, 23, berkata, dia bersama dua rakan sepatutnya menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur kelmarin selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sini, Sabtu lalu.

“Kami bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas pada Jumaat lalu dan ketika melalui kawasan berhampiran persimpangan keluar ke Temerloh sudah dinaiki air namun ketika itu masih boleh dilalui semua kenderaan.

“Kami merancang untuk untuk pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad dan dijadualkan menaiki bas pada jam 11 pagi semalam (kelmarin) memandangkan hari ini (semalam) kami sudah mula bekerja,” katanya.

Dia berkata, ketika tiba di TSK untuk menaiki bas semalam, syarikat bas berkenaan memaklumkan semua perjalanan dibatalkan dan duit kami dipulangkan semula,” katanya ketika ditemui, semalam.

“Saya dan rakan buntu memikirkan cara untuk pulang ke Kuala Lumpur memandangkan hampir kesemua syarikat bas membatalkan perjalanan masing-masing malah mereka sendiri tidak pasti bila jadual perjalanan akan dimulakan kembali,” katanya.

Nor Syafiqa berkata, dia masih menunggu jika ada syarikat bas lain menawarkan perjalanan ke Kuala Lumpur menggunakan jalan alternatif iaitu melalui Muadzam Shah atau mereka terpaksa mengambil keputusan bermalam di bandar ini sementara keadaan pulih seperti sedia kala.

Sementara itu, seorang petugas kaunter sebuah syarikat bas ekspres yang mahu dikenali sebagai Lan, berkata, sejak laluan LPT ditutup, pihaknya terpaksa membatalkan semua perjalanan dan memulangkan semula wang pelanggan yang sudah membeli tiket.

"Sekiranya penumpang mahu ke Kuala Lumpur dan utara, pihaknya kini hanya menggunakan laluan alternatif iaitu menerusi Muadzam Shah-Serting-Kuala Pilah namun mereka perlu membayar tambang yang lebih tinggi.

“Walaupun ada jalan alternatif namun kami tidak membuka banyak ‘trip’ sebaliknya hanya dua trip sehari iaitu pada pagi dan malam kerana jarak yang terlalu jauh dan memakan masa agak lama berbanding laluan biasa,” katanya.

Katanya, ada penumpang yang terdesak untuk ke Kuala Lumpur merayu supaya membuka lebih banyak trip namun permintaan mereka tidak dapat dipenuhi memandangkan kekangan yang hadapi.




Read more »

JENGKA : PENERBANGAN IKHSAN BAWA 2 JENAZAH


Penerbangan ihsan ATM membawa dua jenazah selamat tiba di padang Felda Jengka 3 ketika cuaca hujan.


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua jenazah dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh ke Felda Jengka 3.

Ia berikutan laluan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat jambatan Sungai Nerek ditutup kepada semua jenis kenderaan apabila dinaiki air setinggi satu meter.

Dua jenazah tersebut merupakan seorang penerokawati Felda Jengka 6, Rokiah Embong Atamat, 64, yang meninggal dunia di HoSHAS.

Manakala seorang lagi adalah anak peneroka Felda Jengka 3, Marina Awang Teh, 31, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru, Sabtu lalu.

Zainuddin Awang Teh, 44, abang sulung kepada Marina berkata, jenazah adiknya dibawa dari HKL menaiki trak ATM sebelum terkandas di jambatan Sungai Nerek pada jam 7 petang.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan trak berkenaan berpatah balik ke HoSHAS sementara mencari cara lain untuk sampai ke Jengka 3.

“Pada mulanya keluarga merancang untuk menggunakan bot sebelum menyambut jenazah di seberang jambatan tersebut.

“Namum pada malam itu, saya dimaklumkan bahawa jenayah akan dihantar dengan helikopter atas pertolongan Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang menghubungi pihak ATM.

“Alhamdulillah, jenazah adik dan seorang lagi selamat tiba di Jengka 3 walaupun kelewatan kerana faktor cuaca,” katanya.




Read more »

BERA : ADA LALUAN BAKAL TERPUTUS HUBUNGAN


Laluan ke Bandar 32 dan Felda Gugusan Bera turut dinaiki air Sungai Bera, dan dijangkakan kawasan terbabit bakal terputus hubungan berdasarkan trend air sungai yang semakin naik.


Laluan ke Bandar 32 Bera dan beberapa perkampungan Felda Gugusan Bera bakal terputus hubungan dalam beberapa jam berikutan air Sungai Bera yang semakin naik.

Sehingga jam 3 petang semalam, laluan berdekatan jambatan Sungai Bera itu sudah dinaiki air, dan hanya kenderaan berat sahaja yang boleh melaluinya.

Penduduk, Ismayuddin Suib berkata, keadaan banjir tahun ini hampir serupa dengan bah pada tahun 2007, malah lebih teruk terjejas.

“Jika laluan itu terputus hubungan, kami akan terkepung dan mungkin akan menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan makanan.

“Bagaimanapun, setakat ini, penduduk masih boleh memperoleh barangan keperluan dan stok makanan di beberapa kedai runcit di setiap perkampungan Felda dan pasar raya di Bandar Bera,” katanya.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, penduduk pernah menghadapi kekurangan makanan, dan ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menjual dengan harga yang mahal.

Baginya, persediaan bekalan makanan dan keperluan harian sudah disediakan namun berharap, penduduk di kawasan ini turut diberikan perhatian sekiranya mereka terkepung untuk beberapa hari.

Difahamkan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa jambatan berdekatan Loji Air Bera akan tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua air berdasarkan trend air Sungai Bera yang semakin naik.

Semua penduduk di Felda Sebertak, Tementi, Rentam, Kumai, Kepayang, Purun, Mayam, Triang 3 dan Felda Plantation bersedia dengan bekalan makanan dan keperluan lain.




Read more »

QZ8501: WARIS AKAN DITERBANGKAN KE LOKASI SAR ESOK

Antara serpihan pesawat yang didakwa milik pesawat AirAsia QZ8501 - Foto AFP



SURABAYA - Waris dan anggota keluarga pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 akan diterbangkan ke lokasi pencarian pesawat pada Rabu untuk mereka melihat sendiri operasi mencari yang telah memasuki hari ketiga hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Badan SAR Nasional (BASARNAS) akan menerbangkan kira-kira 180 waris dan anggota keluarga menggunakan pesawat khas AirBus A320 dengan turut disertai media tempatan dan asing.

"Waris dan ahli keluarga percaya, kehadiran di lokasi pencarian itu nanti mampu membantu operasi mencari mereka yang telah hilang selain menenteramkan perasaan mereka.

"Usaha kita ini juga sebahagian dari sokongan kita terhadap operasi mencari.

"Prinsip kita adalah usaha sebaik mungkin yang kita mampu dan tunaikan apa yang kita boleh berikan kepada waris," katanya kepada pemberita di Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Juanda, 40 km dari Surabaya pada Selasa. 

Dilaporkan, BASARNAS telah menggerakkan operasi di 13 sektor di sekitar kawasan Lautan Jawa bagi mencari pesawat malang itu yang turut disertai negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.

Sunu menambah selain usaha menerbangkan waris ke kawasan pencarian, pihaknya juga telah menambah baik kemudahan di pusat krisis dengan meletakkan enam televisyen dan mewujudkan siaran langsung dengan pihak berkuasa di Jakarta bagi mendapatkan maklumat secara terus dan terkini.

Sementara itu, Ketua Badan BASARNAS di Surabaya, M.Hernanto berkata usaha AirAsia Indonesia menerbangkan waris ke kawasan pencarian tidak akan menjejaskan operasi mencari.

Mengenai operasi mencari, beliau menjelaskan pasukannya telah digerakkan sejak pukul 7 pagi waktu tempatan di kesemua lokasi namun belum ada sebarang tanda ditemui.

"Kesemua info (tips) dari masyarakat termasuk nelayan diperiksa namun belum ketemui apa-apa," katanya. 

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lebih kurang 100 waris dan anggota keluarga masih setia menunggu sebarang perkembangan, di sebuah bilik besar di lapangan terbang ini.

Untuk membezakan waris dan ahli keluarga dengan orang awam dan ratusan petugas media tempatan dan antarabangsa, kad tag nama diberikan bagi memudahkan urusan komunikasi dan yang berkaitan dengan kebajikan mereka.

Dalam pada itu, seorang waris yang enggan dikenali meminta pihak berkuasa untuk lebih kerap memberi perkembangan terbaru kerana mereka lebih mudah mendapat maklumat dari pihak media yang melaporkannya secara lintas langsung di samping pelbagai maklumat di laman sesawang yang lebih cepat dan pantas.

"Pegawai yang bertugas memang ada memberitahu mereka sentiasa menyokong kami dengan menyediakan pelbagai kemudahan namun apa yang lebih penting semua keluarga mahu maklumat yang lebih banyak dan terkini berbanding benda lain," katanya kepada pemberita.

Pesawat Airbus 320-200 yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi Ahad. Pesawat dijadualkan mendarat di Singapura pada 8.20 pagi. 




Read more »

DS HISHAMUDDIN TINJAU BENCANA BANJIR DI PAHANG




Sebentar tadi, kira-kira pukul 1.00 tengahari, Menteri Pertahanan DS Hishamuddin Hussein tiba di Pengkalan Udara Kuantan. Sebaik tiba beliau mendengar taklimat tentang perkembangaan dan operasi menyelamat dan membekalkan makanan kepada mangsa bancana banjir di negeri Pahang.

Beliau kemudiannya berlepas ke Chenor dan Temerloh untuk meninjau keadaan banjir disana sebelum kembali semula ke Kuantan bagi melawat kawasan yang terlibat dengan  banjir di daerah Kuantan.

Berita selanjutnya akan menyusul kemudian.



Read more »

KAMPUNG BAGAI DILANDA TSUNAMI!


Keadaan Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang kembali pulih setelah dilanda banjir besar baru-baru ini,


Setelah mengetahui keadaan Kuala Krai kembali pulih, saya bersama wartawan Rosalwani Che Soh dan jurufoto Khirul Shaleh merancang untuk sedaya upaya untuk memasuki kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Kelantan iaitu Manek Urai Lama.

Lokasi inilah dikatakan pasukan bantuan tidak dapat disalurkan sama ada melalui darat mahupun udara ketika kemuncak banjir yang melanda daerah ini Rabu lalu.

Setelah mengharungi jalan dari Kota Bharu, kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini, akibat laluan yang masih digenangi air kami terpaksa terpaksa meredah banjir sehingga 500 meter sebelum tiba di bandar Kuala Krai.

Di kawasan bandar, kesan-kesan kemusnahan akibat banjir mula kelihatan, beberapa anggota polis kelihatan mengawal beberapa pasaraya yang dikatakan diceroboh oleh orang ramai kerana kelaparan.

Satu-satunya stesen minyak di Kuala Krai yang masih beroperasi dikerumuni orang ramai sepanjang satu kilometer meter.

Rasanya di Malaysia, saya tidak pernah melihat sebegitu ramai orang yang ingin mendapatkan sesuatu barangan.

Untuk bergerak ke Manek Urai Lama, lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuala Krai, kami mendapat bantuan seorang pemimpin tempatan untuk ke lokasi.

Hentian pertama kami adalah di Guchil 4, kami saksikan rumah di atas rumah. Bayangkan begitu kuat arus deras air sehingga boleh mengubah kedudukan sebuah rumah.

Lebih mengharukan rumah milik Rahim Ismail, 58, berada di atas rumah anaknya sendiri.

Tiba di Manek Urai Lama jam 12 tengah hari, beberapa anggota tentera membenarkan kami agar memasuki kawasan tragedi tetapi dengan berjalan kaki kerana suasana masih kelam kabut selain kesan runtuhan rumah yang masih belum dibersihkan.

Ia sekaligus menutup cakap-cakap yang di viral media sosial mengatakan tentera tidak membenarkan kawasan ini dimasuki ini dengan alasan mahu menyembunyikan sesuatu.

Sejurus melepasi jambatan Manek Urai, saya tergamam seketika menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat sekali.

Bagaikan tsunami!, kawasan yang pernah saya lawati ketika PRK Manek Urai pada 2009 alu bagaikan padang jarak pandang tekukur.

Ada sebahagian kediaman hancur berkecai hanya meninggalkan tiang untuk kenangan pemiliknya.

Dicelah runtuhan itu, terdapat pemilik-pemilik rumah yang termenung kebingungan melihat kediaman lesap sekelip mata. Air mata ada di mana-mana.

Tiada lagi rumah yang sempurna, kesan runtuhan di mana-mana, menceritakan kisah kejadian di sana.

Read more »

JERANTUT : DIMANA WAKIL RAKYAT KITA ? (BHG 5 )





Jerantut juga adalah antara daerah yang terburuk akibat bencana banjir kali ini. Mujur dalam pilihanraya lalu pengundi Jerantut yang bijak telah memilih calon-calon dari Barisan Nasional sebagai wakil rakyat mereka, maka mudahlah kali ini ketika mereka diancam banjir wakil-wakil rakyat datang membantu dengan penuh bertanggungjawab.

Hj Ahmad Nazlan selaku Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut ibarat perancang utama kepada semua misi bantuan banjir diperingkat daerah. Beliau adalah komender dan juga pilot kepada segala aktiviti berkaitan.

Diperingkat Dun, semua wakil rakyat adalah yang sudah luas berpengalaman menghadapi situasi seperti ini, justeru segalanya dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Dun Pulau Tawar diwakili oleh TB Dr Ahmad Shukri yang sudah otai sebagai wakil rakyat selama 4 penggal. Demikian juga dengan Dun Damak dimana Dato' Lau Lee yang juga sudah sangat lama sebagai wakil rakyat disitu.

Dun Tahan tetap mantap diwakili oleh Dato' Wan Amizan, tokoh muda yang berusah gigih untuk memajukan kampung dan seluruh daerah dengan berbagai perancangan terutama melibatkan ekonomi.

Memang, didalam suasana bencana banjir seperti ini, pihak pembangkang tidak kelihatan langsung kelibat mereka dan bahkan pembangkang kelihatan tidak diperlukan sama sekali didalam Parlimen Jerantut, sekurang-kurangnya untuk selama 2 penggal lagi.






















Read more »

ROMPIN : PULAU TIOMAN JUGA DIANCAM BANJIR



Setelah berita negeri Kelantan diancam bencana banjir yang teruk selain beberapa daerah di negeri Pahang sendiri, tiba-tiba kita dikejutkan pula oleh banjir yang melanda pulau Tioman.

Pulau Tioman yang terkenal sebagai destinasi pelancongan pulau di negeri Pahang mungkin tidak pernah mengalami keadaan sebegini sebelumnya, namun inilah yang terjadi apabila perubahan cuaca dunia.

Banjir yang berlaku kelmarin (28 Dis.) telah mengakibatkan beberapa buah kampong di Tioman dinaiki air yang turun dari bukit-bukit dan gunung yang memenuhi beberapa buah sungai disana yang tersekat oleh air pasang besar. Sungai Juara, sungai Tioman, sungai Mentawak, sungai Tekek adalah antara sungai-sungai yang terkesan oleh hujan dan banjir berkenaan.

Diberitakan bahawa terdapat lebih dari 100 keluarga telah dipindahkan ke Kg. Tekek. Dua keluarga dari Kg Nipah juga sudah dipindahkan ke Kg Mukut kerana bimbang dengan keadaan air mengalir deras tersebut yang mula membanjiri kampung berkenaan.

Selain dari hujan yang menyebabkan arus air mengalir deras menerjah kediaman penduduk sekitar Tioman, ia juga mengakibatkan kejadian tanah runtuh serta memutuskan laluan darat dari Kg Tekek ke Kg Juara. Hujat lebat juga menyebabkan berlakunya tanah runtuh di Kg Air Hantu.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan Juara dan Kg Nipah juga dilaporkan sudah dinaiki air. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya menyatakan tindakan susulan melibatkan beberapa pihak yang berkenaan sedang diatur dan akan dilaksanakan seberapa segera.

Foto kesan banjir di Tioman yang dimuat naik di laman facebook: (Klik Sini)


















Read more »

AIR BERPUSAR HAMPIR RANAPKAN RUMAH


Suzila bersama suaminya melihat bahagian hadapan rumahnya yang terhakis dan tiang anjung yang tercabut.


Kota Bharu - “Ingatkan rumah sudah ranap. Air berpusar kuat. ” Itulah luahan seorang ibu muda apabila rumahnya di Pantai Cahaya Bulan (PCB) dihakis arus air yang terlalu kuat tiga hari lalu.

Mangsa banjir, Suzila Ismail berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan anak serta saudaranya berada di luar rumah untuk meletakkan guni berisi pasir sebagai benteng di tepi jalan kediamannya.

“Tiba-tiba bunyi air sangat kuat. Kejadian ini amat mengejutkan kerana arus deras merempuh bahagian hadapan rumah kami ini lagi kuat daripada air terjun di pusat peranginan.

“Bunyinya amat dahsyat sekali. Kami melihat dengan mata kami sendiri lantai merekah dan jatuh satu persatu. Tiang anjung tercabut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bukan setakat itu sahaja, Suzila berkata, kejadian tersebut juga turut menjadi mimpi ngeri buatnya kerana ketika awal kejadian ibu saudaranya berada di anjung tersebut sambil mendukung anak lelakinya berusia sembilan bulan.

“Nasib baik ibu saudara saya cepat-cepat melarikan diri dan bersyukur semuanya selamat,” katanya.

Selain itu, arus deras berkenaan turut mengakibatkan dinding konkrit bilik tidur rumah jirannya musnah dan mangsa dipindahkan ke kediaman berdekatan.

Dalam pada itu, berhubung laluan pula, jalan di hadapan Klinik Desa Badang ke PCB sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan. Manakala, Jalan Cabang Tiga Lama-Kedai Buloh masih ditenggelami banjir dan arus kuat, tidak selamat untuk kenderaan ringan.

Read more »

share2