Kota Bharu - “Ingatkan rumah sudah ranap. Air berpusar kuat. ” Itulah luahan seorang ibu muda apabila rumahnya di Pantai Cahaya Bulan (PCB) dihakis arus air yang terlalu kuat tiga hari lalu.
Mangsa banjir, Suzila Ismail berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan anak serta saudaranya berada di luar rumah untuk meletakkan guni berisi pasir sebagai benteng di tepi jalan kediamannya.
“Tiba-tiba bunyi air sangat kuat. Kejadian ini amat mengejutkan kerana arus deras merempuh bahagian hadapan rumah kami ini lagi kuat daripada air terjun di pusat peranginan.
“Bunyinya amat dahsyat sekali. Kami melihat dengan mata kami sendiri lantai merekah dan jatuh satu persatu. Tiang anjung tercabut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Bukan setakat itu sahaja, Suzila berkata, kejadian tersebut juga turut menjadi mimpi ngeri buatnya kerana ketika awal kejadian ibu saudaranya berada di anjung tersebut sambil mendukung anak lelakinya berusia sembilan bulan.
“Nasib baik ibu saudara saya cepat-cepat melarikan diri dan bersyukur semuanya selamat,” katanya.
Selain itu, arus deras berkenaan turut mengakibatkan dinding konkrit bilik tidur rumah jirannya musnah dan mangsa dipindahkan ke kediaman berdekatan.
Dalam pada itu, berhubung laluan pula, jalan di hadapan Klinik Desa Badang ke PCB sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan. Manakala, Jalan Cabang Tiga Lama-Kedai Buloh masih ditenggelami banjir dan arus kuat, tidak selamat untuk kenderaan ringan.
0 comments:
Post a Comment