Kota Bharu - Semasa air naik mendadak separas pinggang di dalam rumah, dia kelam-kabut mengangkat tiga anak Sindrom Down (SD).
Bapa cekal, Mohamad Junoh, 49, juga perlu mengawal emosi isterinya, Sepiah Junoh,44, yang menghidap masalah mental.
“Air naik mendadak ketika kami masih tidur ketika jam 3 pagi dan sebaik sahaja tersedar dari tidur, saya terus kejutkan anak-anak.
“Dalam keadaan kelam kabut, saya angkat mereka ke tali air dekat rumah dan terpaksa mengharung air untuk sampai ke tempat tinggi,” katanya kepada Sinar Harian semasa Program Pengagihan Kupon Bantuan di Sekolah Kebangsaan Kubang Kiat, Ketereh, di sini.
Sudah terbiasa dengan hidup menjaga anak-anak kelainan upaya (OKU) itu, Mohamad bagaimanapun mengakui air mata lelakinya jatuh ketika melihat anaknya tidak keruan menghadapi saat getir itu.
“Ini kali pertama kawasan rumah kami banjir dan paras air pula baik mendadak, di luar jangka.
“Anak-anak saya menggigil takut, tetapi saya laungkan kepada mereka supaya bergerak cepat semasa kami berada dalam air pagi itu,” katanya yang tinggal di Kampung Kedai Piah, di sini.
Mohamad berkata, dia sebenarnya mempunyai empat anak SD, tetapi salah seorang, Mohd Farizal, 23, meninggal dunia tahun lalu.
Dia yang bekerja kampung dan hanya mengharapkan bantuan anak-anak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 seorang amat mengharapkan simpati.
“Barang-barang terutama enjin air paling saya sayang sebab susah kalau tiada air d rumah, tapi sudah pasti enjin air itu rosak tenggelam air,” katanya.
0 comments:
Post a Comment