Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Showing posts with label Tempatan. Show all posts
Showing posts with label Tempatan. Show all posts

Monday, October 7, 2019

[KUANTAN] BUKTI GERAKAN PENYATUAN UMMAH TEPAT



WAN Rosdy Wan Ismail



Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sekarang tidak kuat kemelayuannya walaupun dipimpin orang Melayu membuktikan tindakan UMNO dan Pas menjayakan gerakan penyatuan ummah diikuti pemeteraian Piagam Muafakat Nasional adalah tepat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyatuan ummah dan Mufakat Nasional merupakan intipati perjuangan kedua-dua buah parti berkenaan kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr. Mahathir terhakis teruk dan tergugat.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun percaya 'nasi belum lagi menjadi bubur' bagi orang Melayu.

"Sepertimana kebimbangan dan kesayuan Tun Dr. Mahathir telah luahkan semasa Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati di Shah Alam, Selangor semalam, itulah juga yang menjadi kebimbangan dan kesayuan saya serta rakan-rakan saya.

"Mungkin selepas ini akan ada satu gerakan yang lebih besar bersama-sama demi mengukuhkan kuasa kemelayuan kita yang dalam masa yang sama tidak mengeyepikan hak-hak bukan Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Read more »

Saturday, October 5, 2019

[KUANTAN] PERTAHAN INDUSTRI SAWIT NEGARA



WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan produk daripada



Semua pihak perlu memainkan peranan bersama bagi mempertahankan industri sawit yang ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk usaha pihak luar yang cuba merendah-rendahkan kualiti minyak sawit negara.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau difahamkan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengambil pelbagai langkah dan pendekatan demi menangani serta mengatasi segala cabaran dalam industri berkenaan.

"Antaranya, MPOB menjalankan pelbagai program untuk membantu pengusaha atau penggiat sawit, dengan misalnya menganjurkan kempen larangan berurus niaga Buah Tandan Sawit (BTS) mentah. Dalam hal ini, pengilang digalakkan memulangkan sahaja ‘consignment’ BTS mentah kepada pihak pembekal.

"Pada peringkat awal pengenalan kempen ini saya difahamkan, ia menimbulkan banyak masalah tetapi hari ini, pengusaha atau penggiat sawit didapati telah sedar lalu menerima larangan ini sebagai antara langkah dan usaha MPOB untuk memperbaiki mutu industri sawit," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Healthy Sawit (Lmpoc) 2019 di Kompleks Belia dan Sukan Pahang di sini hari ini.

Kempen itu merupakan anjuran Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Pahang-Terengganu (PTPOMA).

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Abd. Rahim Muda dan Pengerusi PTPOMA, Datuk Michael Lim Lian Seng.

Wan Rosdy berkata, program anjuran PTPOMA hari ini merupakan antara usaha untuk memberi kesedaran kepada pengusaha atau penggiat sawit dan orang ramai, tentang pentingnya syor-syor yang ditetapkan di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Usaha itu katanya, demi menjamin mutu minyak sawit pasaran tempatan dan global sentiasa tinggi serta selamat, hingga boleh terus memikat pengguna sama ada dari dalam dan luar negara, untuk terus memperolehinya lalu meningkatkan lagi pasarannya.

"Sesungguhnya, pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan merupakan langkah penting bagi menangani cabaran perdagangan minyak sawit secara global," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kelapa sawit merupakan tanaman paling luas ditanam di negeri ini iaitu kira-kira 818,986 hektar dan 203,000 hektar daripada jumlah tersebut terdapat di tanah rancangan Felda.

"Selain itu, kira-kira 615,986 hektar lagi, ditanam di estet-estet milik swasta, dan dalam ladang-ladang milik agensi kerajaan Persekutuan seperti RISDA dan FELCRA, serta yang dimiliki oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Yayasan Pahang dan Pebbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP)," katanya.


Read more »

[LIPIS] TEKILAN PEMBATALAN KELULUSAN BINA MASJID UZUR



MASJID Seberang Jelai tenggelam dalam kejadian banjir besar pada



Hasrat penduduk di beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di sini untuk menggunakan masjid baharu yang selesa tidak kesampaian apabila kerajaan bertindak membatalkan kelulusan pembinaan tiga masjid di kawasan berkenaan.

Difahamkan, tiga masjid berkenaan yang sudah uzur iaitu Masjid Seberang Jelai, Masjid Mentara Baru dan Masjid Aur Gading mendapat kelulusan pembinaan baharu oleh kerajaan terdahulu pada 2017 dan urusan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya termasuk jadual tender pada Jun lalu.

Namun, melalui surat terbaharu pada Ogos lepas menyatakan pembinaan masjid baharu melibatkan kos sehingga kira-kira RM2 juta bagi setiap buah tidak dapat dilaksanakan dengan alasan kedudukan kewangan kerajaan tidak mengizinkan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Jelai, Kamaruzzaman Awang Long berkata, masjid Seberang Jelai yang dibina menggunakan kayu pada 1960 sememangnya sudah uzur.

Katanya, kebanyakan kayu yang digunakan termasuk pada struktur utama telah reput sehingga membahayakan jemaah di situ.


"Kawasan ini juga sering terdedah kepada kejadian banjir dan pada 2014 masjid ini telah tenggelam menyebabkan berlaku kerosakan.

"Kami masyarakat Islam di sini menaruh harapan besar mendapat sebuah masjid baharu selepas diluluskan pada 2017 tetapi kini hampa dan terkilan kerana tidak dibatalkan pembinaannya," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato' Mustapa Long berkata, beliau telah menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum surat pembatalan pembinaan masjid itu diterima Ogos lalu.

Beliau memberitahu, sebelum ini pihak Unit Penyelerasan Pelaksanaan (ICU) telah pun mengeluarkan peruntukan dan jadual untuk ditender yang sepatutnya dilakukan pada Jun lalu.

"Masjid-masjid ini memang sudah usang dan kita berdukacita kerana hasrat orang kampung hendakkan masjid baharu tidak kesampaian dan terpaksa menggunakan masjid yang telah usang," ujarnya.


Read more »

Thursday, October 3, 2019

KERAJAAN NEGERI BANTAH PENUTUPAN UNITEN KAMPUS MUADZAM SHAH






Kerajaan Negeri Pahang meminta pengurusan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) supaya menyemak kembali perancangan untuk menutup Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Muadzam Shah, Rompin dengan mengambil kira bantahan daripada pelbagai pihak.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri membantah usaha untuk menutup kampus berkenaan yang begitu besar jasanya kepada rakyat di negeri ini.

"Kerajaan Negeri meminta pengurusan UNITEN serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) sendiri supaya menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika Kerajaan Negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar kepada UNITEN pada penghujung tahun 1990-an itu, ianya adalah untuk pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan bagi kewujudan sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan serta penginapan pelajar.

"Sejak kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 hingga kemuncaknya pada tahun 2015 dengan seramai 4,300 orang, kampus berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah sendiri.

"Walaupun kini jumlah pelajarnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya adalah kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya, jumlah kemasukan pelajar akan kembali ramai.

“Oleh itu, adalah diharapkan lebih wajar berusaha untuk menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjananya dengan tidak terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja.

"Apatah lagi dengan nilai sentimental pada namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah,” katanya lagi.


Read more »

Wednesday, October 2, 2019

[MUADZAM SHAH] PERTIMBANG SEMULA KEPUTUSAN GABUNG KAMPUS UNITEN



logo UNITEN



Pengurusan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) diminta mempertimbangkan semula pelaksanaan Operasi Kampus Berpusat menerusi penggabungan dua kampusnya di Rompin, dekat sini dan Putrajaya.

Operasi baharu itu yang diumumkan oleh Pejabat Naib Canselor Uniten pada Sabtu bakal menyaksikan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin dan Kampus Putrajaya disatukan sebagai satu entiti di Putrajaya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Dato' Sri Maznah Mazlan berkata, keputusan itu memberi banyak kesan khususnya kepada penduduk sekitar selain keputusan sebesar itu seharusnya mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pahang.

“Perkara ini melibatkan amanah kerajaan negeri iaitu tanah seluas 67 hektar yang diperuntukkan untuk tujuan pembangunan pendidikan tidak disia-siakan dan jika mereka ada masalah, perbincangan boleh dilakukan untuk mencari penyelesaian.

“Saya yakin pihak Uniten memahami sebab dan peranan KSHAS dibina di Muadzam Shah dan memohon supaya mereka meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Maznah TNB perlu kembali kepada tujuan asal penubuhan KSHAS iaitu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk menyambung pelajaran selain meningkatkan ekonomi luar bandar, yang mana kampus itu antara pemangkin ekonomi di Muadzam Shah.

“Jika rancangan itu diteruskan, sejumlah pekerja kontrak yang kebanyakkannya adalah penduduk tempatan akan kehilangan sumber pendapatan selain menjejaskan peniaga dan pembekal perkhidmatan di sekitar KSHAS.

“Secara keseluruhan ekonomi sekarang memang sukar tetapi saya percaya ini masa untuk meneroka dan memikirkan sesuatu bersama bagi menjadikan KSHAS sebagai pusat kecemerlangan ilmu dengan berpegang kepada matlamat asal penubuhannya,” katanya.

Lembaga Pengarah Uniten yang bersidang pada 24 Sept lalu telah meluluskan inisiatif ‘Reimagining Uniten’ dan memberi mandat kepada pengurusan Uniten untuk melaksanakan Operasi Kampus Berpusat

yang dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Jun 2020.

Keputusan itu, menurut Uniten dilakukan untuk melonjakkan nama universiti untuk berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dengan cabaran semasa landskap pendidikan tinggi negara masa kini.


Read more »

[KUANTAN] BAYI JANTUNG BERLUBANG PERLU BANTUAN








Seorang ibu dari Indera Mahkota 8 di sini resah memikirkan nasib dan masa depan bayi perempuannya berusia setahun tujuh bulan, Maya Alisha Mohd. Hasrol yang mengalami masalah jantung berlubang.

Rozita Radzali, 33, berkata, anak keenamnya dari tujuh beradik itu dilahirkan secara tidak cukup bulan dan bertarung dengan penyakit itu sejak dilahirkan.

Katanya, selepas dilahirkan ketika kandungan berusia enam bulan, Maya Alisha ditempatkan di dalam wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selama lebih sebulan dan disahkan doktor menghidap penyakit jantung berlubang.

"Semasa dilahirkan pada 18 Januari tahun lalu, berat Maya Alisha ialah 1.5 kilogram dan fizikalnya yang kecil tidak sesuai untuk menjalani pembedahan.

"Selepas beberapa kali bertemu doktor, sekarang masa yang sesuai untuk menjalani pembedahan dan ia perlu dilakukan segera.

Pembedahan pertama di Institut Jantung Negara (IJN) dijadualkan pertengahan bulan ini dengan kos kira-kira RM25,000," katanya.

Menurut Rozita, dia dan suaminya, Mohd. Hasrol Hasan, 37, yang menjalankan perniagaan jualan buka bonet kereta di Taman Kerang di sini tidak mampu menyediakan kos pembedahan tersebut dan merayu sumbangan orang ramai bagi membantu keluarganya.

Ketika ini, katanya, mereka hanya mengumpul kira-kira RM1,000 hasil sumbangan orang ramai yang mengetahui tentang keadaan anaknya itu menerusi laman sosial Facebook.

"Pendapatan berniaga tidak mencukupi untuk menampung kos pembedahan itu kerana wang yang ada perlu digunakan untuk menguruskan perbelanjaan anak-anak lain termasuk empat orang yang masih bersekolah.

"Tangan dan kaki Maya Alisha ketika ini kebiru-biruan dan selalu dalam keadaan letih. Saya merayu sumbangan orang ramai terutama dari segi kewangan untuk menampung kos pembedahanya kerana itulah keutamaan kami," katanya yang mempunyai tujuh anak berusia antara 14 tahun hingga lima bulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Rozita di talian 011-11033943 atau menerusi akaun bank Maybank miliknya bernombor 156094414390.



Read more »

Monday, September 30, 2019

PIALA MALAYSIA: TOK GAJAH JUMPA LANG MERAH DI SEPARUH AKHIR



PENYERANG Pahang, Dickson Nwakaeme diasak pemain Melaka United,




Skuad Tok Gajah mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan anak buah Dollah Salleh menang dengan agregat 6-1.

Dalam perlawanan malam tadi, skuad Tok Gajah perlu menanti sehingga minit ke-41 untuk membuka jaringan menerusi penyerang importnya, Lazarus Kaimbi.

Skuad Hang Tuah yang tampil dengan aksi berbeza berbanding suku akhir pertama di laman sendiri pada 22 September lalu berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma cantik Nazrin Nawi pada minit ke-54.

Orang besi Tok Gajah, Dickson Nwakaeme memperkukuhkan kemenangan bergaya Pahang apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-64 dan minit-76.

Dalam suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat pada 22 September lalu, Tok Gajah membawa pulang bekalan selesa apabila menang bergaya menewaskan Melaka 3-0.

Pahang memperoleh jaringan menerusi Kaimbi pada minit ke-56, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (minit ke-58) dan Nwakame minit ke-61.


Read more »

Tuesday, September 24, 2019

TARIAN LABI-LABI JADI TARIKAN TMM 2020 NEGERI PAHANG



Dayang Kartini Awang Bujang ( tiga dari kanan) dan Idros Yahya



Tarian Labi-Labi adaptasi daripada gerakan haiwan labi-labi akan diperkenalkan sebagai produk pelancongan Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang berkata, keunikan dan tarikan yang ada pada tarian Labi-Labi mempunyai potensi besar untuk dijadikan salah satu produk seni budaya Pahang.

Menurutnya, tarian yang popular di daerah Pekan dan Rompin itu kini diwarisi generasi baharu yang masih mengamalkan tradisi itu dalam majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, menyambut tetamu dan lain- lain.

Katanya, budaya seni dan hiburan tradisi Melayu silam itu perlu dikekalkan kerana mungkin akan hilang jika tidak diteruskan.

"JKKN dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan Kuantan telah menemu bual pengamal tarian ini seperti Awang Kechik Jusoh, Mat Junid Mat Noh dan Alwi Ibrahim di Pekan dan Rompin.

"Pengamal tarian Labi-Labi ini turut mempunyai kemahiran bersilat kerana gerakan tarian ini memerlukan kemahiran gerakan fizikal dan minda," katanya kepada Utusan Online selepas Apresiasi Seni Budaya JKKN Pahang 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang, Dato' Idros Yahya dan Pengarah Perpustakaan Negeri Faridzah Jaafar.

Dayang Kartini berkata, JKKN Pahang komited dalam usaha penyelidikan bagi mengembangkan warisan budaya agar boleh menjadi produk pelancongan yang bernilai komersial.

"JKKN Pahang membina jaringan kerjasama dengan pemain industri seni budaya, agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya untuk membangunkan produk seni,” katanya.

Beliau berkata, kita mahu pengamal budaya tidak hanya setakat hobi atau satu kebolehan turun-temurun, sebaliknya dijadikan sebagai sumber ekonomi utama.

Jelas beliau, itu dibuktikan apabila sesuatu produk seni dibawa ke pameran antarabangsa ia mampu mempersona dan menarik minat masyarakat luar.

Sehubungan itu ujarnya, pelbagai aktiviti dan program dilaksana dalam mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan.


Read more »

[KUANTAN] KERAJAAN NEGERI MENERIMA KOMITMEN PELABURAN ASING RM 2,520 JUTA DALAM TEMPOH 2 BULAN







Alhamdulillah, dalam tempoh tidak sampai dua (2) bulan, Kerajaan Negeri telah menerima komitmen pelaburan asing kira-kira RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta!

Ini ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 11 syarikat dari Singapura pada Ogos lepas bernilai pelaburan kira-kira RM 1.134 billion atau RM 1,134 juta; dan dengan enam (6) syarikat dari China pada 20 September lepas kira-kira RM 1.386 billion atau RM 1,386 juta.

Selain daripada usaha gigih oleh kakitangan Kerajaan Negeri khususnya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri saya yakin, kejayaan dalam menarik pelaburan ini ialah berkat doa dan sokongan seluruh rakyat negeri ini.

Semoga Negeri Pahang Darul Makmur terus dirahmati serta bertambah pesat kemajuannya, In Sya Allah.



Read more »

Friday, September 20, 2019

PAHANG BAKAL TERIMA PELABURAN LAGI RM1.386 BILION DARI CHINA



PAHANG BAKAL TERIMA PELABURAN LAGI RM1.386 BILION DARI CHINA



Pahang bakal menerima kemasukan pelaburan lagi RM1.386 bilion dari Negara China ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan enam (6) syarikat dari negara tersebut.

Majlis menandantangani MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Nanning, China tengah hari ini, yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berada di sana kerana mengetuai rombongan Kerajaan Negeri dalam lawatan kerja, termasuk ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – taman perindustrian berkembar kepada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), serta menghadiri China-ASEAN Exposition (CAEXPO) Nanning 2019.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di sini, keenam-enam syarikat terlibat ialah ND Paper (M) Bhd, bernilai pelaburan RM522.2 juta yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan palpa (ENG; paper and pulp).

TNP Power Sdn Bhd, bernilai pelaburan RM341.74 juta bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, Kuantan bagi penjanaan bersepadu tenaga dan haba (ENG; combined heat and power generation).

China Travel Service Meizian Company Limited, bernilai pelaburan RM200 juta bagi pengwujudan ‘Eco Tourism City’ di Bukit Tinggi, Bentong.

Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd, bermilai pelaburan RM122.48 juta bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik (Eng; paper and plastic particles manufacturing project) di MCKIP 1 juga.

Wuxi Jinxie Industrial Company Limited, bernilai pelaburan RM100 juta bagi projek pembinaan turbin angin berkelajuan rendah untuk menjana tenaga 800kw (Eng; 800kw ultra-low wind speed widn turbine) di Pulau Tioman, Rompin.

Dan, Power China Construction Group, bernilai pelaburan RM100 juta juga bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman (Eng; solar home panel) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian ini yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang,” kata Wan Rosdy sebagai reaksi kepada majlis hari ini. .

“Yang amat saya harapkan ialah agar MoU yang ditandatangani hari ini, dapat diterjemahkan secara realitinya kelak. Ini sepertimana lapan (8) daripada 11 MoU yang ditandatangani di Singapura awal Ogos lepas, yang telahpun pada peringkat akhir untuk dilaksanakan, insyaAllah,” katanya lagi.

Sebelum itu, Wan Rosdy telah membuat kunjung hormat ke atas Gabenor, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Encik Chen Wu di pejabatnya.

Banyak perkara dibincangkan pada sesi kunjung hormat itu termasuklah cadangan mengadakan penerbangan terus Kuantan-Nanning yang dengannya dijangka dapat memendekkan lagi masa, serta menambah-mudah sehingga boleh membanyakkan lagi kunjungan oleh rakyat antara kedua-dua bandar.


Read more »

Wednesday, September 18, 2019

[KUANTAN] OKU HILANG PEKERJAAN MOHON BANTUAN



ABD. Latib Othman, 55, menunjukkan kad orang kurang upaya (OKU)



Seorang orang kurang upaya (OKU), Abd. Latib Othman, 55, dari Pekan dekat sini merayu bantuan orang ramai khususnya bagi menjelaskan tunggakan sewa rumahnya selama 19 bulan yang sudah melebihi RM8,000.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia tidak mempunyai pekerjaan sejak awal April 2016 selepas diberhentikan kerana masalah kesihatan termasuk menghidap darah tinggi.

"Saya telah berusaha mencari pekerjaan tetapi sehingga ke hari ini sukar mendapatkannya disebabkan faktor usia dan masalah kesihatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abd. Latib yang dikategorikan sebagai OKU kerana ketidakupayaan fizikal ekoran masalah pada kakinya berkata, keluarganya kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350.

Katanya, ketika ini dia tinggal bersama isterinya, Zarina Hassan, 54, dan anak

bongsunya, Nurul Faiqah Hani, 15, di rumah sewa berkenaan manakala dua lagi anaknya sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

"Isteri saya menghidap penyakit Benign Breast Lump manakala anak bongsu pula menghidap penyakit kronik Nephorotic Syndrome yang melibatkan buah pinggang," ujarnya.

Tambah lelaki berkenaan, bantuan yang diterima daripada JKM tidak mencukupi untuk menjelaskan sewa rumah, bil air dan elektrik serta menampung belanja harian setiap bulan.

"Saya sangat memerlukan bantuan tersebut dalam masa terdekat untuk menjelaskan tunggakan sewa serta bil air dan

elektrik," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB atas nama Abd. Latib 7034987504 atau menghubunginya di talian 0139490106.


Read more »

Monday, September 16, 2019

MUAFAKAT NASIONAL: PAHANG TUNGGU PANDUAN PUSAT



DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail



Barisan Nasional (BN) negeri yang menerajui pentadbiran kerajaan Pahang akan menunggu panduan selanjutnya daripada Pusat berhubung sebarang tindakan susulan selepas termerainya Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas.

Pengerusinya, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu bagi menyaksikan keselarasan gerak kerja agar tidak bertindan dan bercanggah antara kedua-duanya.

"Apatah lagi piagam mengenainya (Muafakat Nasional) telah disepakati dan baru sahaja ditandatangani semalam.

"Lanjutan itu, tentu ada banyak lagi urusan dan perkara yang perlu diteliti serta dibincangkan bagi memastikan Muafakat Nasional benar-benar berjaya," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam satu kenyataan di sini semalam.

UMNO dan Pas memeterai kerjasama dinamakan Piagam Muafakat Nasional di program Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, UMNO dan Pas dikatakan merancang mengubah barisan kepemimpinan dalam pentadbiran negeri dikuasai kedua-dua parti itu susulan termeterainya piagam berkenaan.


Read more »

TERAPKAN AMALAN BERSATU PADU, TOLAK ANSUR DAN SEMANGAT SETIA KAWAN DALAM HIDUP - MB PAHANG







Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 16 September setiap tahun, kita akan merayakan Hari Malaysia bagi memperingati penubuhan persekutan Malaysia.

Pada tarikh ini juga, Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman telah membacakan Pemasyhuran Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Selama 62 tahun negara kita merdeka, kita telah mengalami pelbagai peristiwa termasuklah perubahan ekonomi dan arena politik yang sedikit sebanyak mengubah cara hidup dalam masyarakat.

Hari ini, amat membimbangkan apabila ada segelintir pihak yang cuba ‘bermain api’ dengan menimbulkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya di Negeri Pahang Darul Makmur, marilah kita bersama-sama menjadikan amalan bersatu padu, tolak ansur dan semangat setia kawan sebagai amalan dalam hidup kita.

Saya percaya, dengan mengangkat amalan ini, negara Malaysia akan menjadi lebih maju dan makmur.

Selamat Hari Malaysia daripada saya Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.


Read more »

Wednesday, September 11, 2019

[KUANTAN] 3,928 ORANG ASLI PELUK ISLAM HASIL DAKWAH PETAMA



PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan



Seramai 3,928 Orang Asli memeluk Islam hasil dakwah pembantu penggerak lulusan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli Yayasan Pahang (Petama) sejak 2008 hingga Julai lalu.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Petama diwujudkan oleh Yayasan Pahang pada 3 Mei 1998 lalu dan diuruskan oleh Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) iaitu anak syarikat milik penuh Yayasan Pahang.

"Visi pertama adalah melahirkan modal insan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang bertamadun sesuai dengan arus pembangunan negara, berasaskan ajaran-ajaran Islam.

"Tahniah kepada saudara-saudara baharu Islam kerana telah memilih jalan yang benar dan kembali kepada fitrah," katanya pada Majlis Pengislaman dan Meraikan Saudara Baharu di Kompleks Yayasan Pahang di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Yang hadir sama, Timbalan Yang Dipetua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan.

Pada hari ini menyaksikan pengislaman seramai 47 orang saudara baharu yang terdiri daripada masyakat Orang Asli dari daerah Rompin.

Turut diraikan seramai 21 orang saudara baharu yang memeluk Islam baru-baru ini yang terdiri daripada bangsa Cina, India, Bumiputera Sarawak dan Orang Asli.


Read more »

Sunday, September 8, 2019

[CAMERON HIGHLANDS] PENGALIHAN AIR SUNGAI ICHAT AKAN DIJALANKAN UNTUK SALUR AIR BERSIH



CAMERON HIGHLANDS , 7 Sept -- KOTOR Sikap pihak yang tidak bertanggungjawab



Kerajaan Negeri Pahang akan menjalankan kerja pengalihan air Sungai Ichat untuk memastikan hanya air yang bersih dapat disalurkan ke muka sauk Loji Air Kuala Terla, di sini.

Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang Dato' Sri Norol Azali Sulaiman berkata pada masa sama usaha tersebut juga dapat memastikan kuantiti bekalan air yang diperlukan untuk penduduk tanah tinggi itu mencukupi.

“Keperluan air di Cameron Highlands adalah sebanyak 800 meter padu sejam, namun ketika ini Loji Air Kuala Terla hanya mampu mengeluarkan kira-kira 500 meter padu sejam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas tinjauan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di tapak pencerobohan tanah di Sungai Ichat di sini semalam.

Menjelas lanjut, Norol Azali berkata bagi memastikan air bersih dapat disalurkan dari Sungai Ichat, kerajaan negeri telah melaksanakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan haram sejak enam bulan lepas.

“Diharapkan usaha ini dapat membantu untuk memulihkan sumber bekalan air kepada penduduk Cameron Highlands pada masa akan datang.

“Walaupun penguatkuasaan dan usaha pemulihan dijalankan sejak enam bulan lalu, kita masih mengesan tanda-tanda kewujudan penerokaan haram jadi semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memulihkan sumber bekalan air di sini kerana air masih kotor,” katanya.

Sehubungan itu, Norol Azali berharap semua pihak dapat bekerjasama bagi memastikan usaha memulihkan semula kawasan Sungai Ichat yang telah diceroboh dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Dalam penguatkuasaan fasa pertama dari 25 Februari hingga Mac lepas, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dilaporkan bertindak meroboh struktur di 11 kawasan kebun di mukim itu.

Tindakan penguatkuasaan fasa kedua pula dilaporkan dilaksanakan di 50 kebun membabitkan keluasan 80 hektar atas alasan melanggar syarat tanah lesen pendudukan sementara (TOL) dan menggunakan bahan kimia terlarang sehingga mencemarkan sungai.


Read more »

[CEMERON HIGHLANDS] HENTI SEGERA PENCEROBOHAN SUNGAI ICHAT



AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan



Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap isu alam sekitar tidak dapat dinafikan apabila baginda berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla di sini, semalam.

Dalam kunjungan sulung ke tanah tinggi itu sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bertitah agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Terlom.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencerobohan tanah itu menyebabkan Sungai Ichat yang merupakan satu daripada sumber air bagi Loji Air Kuala Terla selain Sungai Terla bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah berisiko memudaratkan orang ramai.

"Sungai Ichat ini satu sumber air yang diperlukan oleh kawasan persekitaran ini. Kalau itu (sungai) diracuni, mungkin tiada lagi sumber lain.

"Setakat ini kualiti sungai tidak baik dan sekarang kerajaan sedang dalam proses membersihkannya. Kita mahu mana-mana mereka yang menceroboh harus berhenti kerana akibat pencerobohan ini akan memudaratkan pihak tertentu," titah Seri Paduka kepada Bernama di sini, semalam.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan semua pihak supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik dalam memastikan usaha mengatasi serta menghapuskan pencerobohan tanah di sekitar Cameron Highlands khususnya Sungai Ichat berhasil.

"Kerajaan negeri Pahang memang memandang serius perkara ini. Sebab itu tindakan meroboh dan ambil balik tanah (yang diceroboh) dipergiat dan kerajaan pusat sedang memerhati serta menyokong tindakan ini," titah Seri Paduka.

Kerajaan negeri Pahang telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan pada 11 April lepas untuk membatalkan injunksi yang dibuat 23 peneroka tanah di Cameron Highlands bagi penangguhan penguatkasaan.

Sehari sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan penangguhan penguatkuasaan di kawasan terbabit yang difailkan peneroka pada 3 April lalu.

Selain daripada itu, Al-Sultan Abdullah juga bertitah supaya para petani di kawasan tanah tinggi tersebut dapat melaksanakan pertanian moden yang bukan sahaja berupaya meminimumkan penggunaan tanah, malah memberi pulangan pendapatan yang tinggi kepada pengusaha.

"Bagaimanapun, mereka perlulah mengemukakan permohonan dan mengikut prosedur serta syarat yang ditetapkan," titah Yang di-Pertuan Agong.


Read more »

Friday, September 6, 2019

[LIPIS] PEMUDA KUDUNG GEMBIRA BERGELAR MAHASISWA UPM






Walaupun baru lima hari menjejakkan kaki di menara gading, Wan Ahmad Amirul Adha Wan Mahzir, 20, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) mengakui cepat menyesuaikan diri bergelar mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemuda dari Kampung Petola dekat sini itu yang kudung kaki kanan diberi sambutan 'meriah' pada hari pendaftarannya di universiti tersebut 1 September lalu berikutan kisah kesusahan kehidupan keluarganya disiarkan Utusan Online pada 28 Ogos lepas sehingga mendapat perhatian banyak pihak termasuk pentadbiran UPM.

Wan Ahmad Amirul Adha berkata, walaupun statusnya sebagai OKU dan bergerak menggunakan tongkat, dia cepat menyesuaikan diri dengan suasana kampus malah ramai rakan penuntut lain yang membantunya.

Katanya, program minggu suai kenal universiti berkenaan juga banyak memberikan pengetahuan kepadanya untuk menjalani kehidupan di kampus.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada pentadbir UPM kerana menempatkan saya di aras satu kolej yang memudahkan pergerakan ke dewan kuliah dan menjalani aktiviti kokurikulum. Mereka memberi keyakinan dan motivasi kepada saya untuk menjalani kehidupan serta pembelajaran di kampus ini.

"Saya juga berterima kasih kepada Utusan Online yang menyiarkan masalah kehidupan kami termasuk kekurangan kewangan membuat persiapan melanjutkan pengajian di universiti ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dia kehilangan kaki kanannya setelah dilanggar sebuah lori ketika membonceng motosikal emak saudaranya ke Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak ketika hari pertama mendaftar persekolahan tahun lima pada 2011.


Read more »

[TEMERLOH] WANITA UMNO HULUR SUMBANGAN BANTU KAKITANGAN UTUSAN






Wanita UMNO negeri tampil menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Utusan Melayu (M) Berhad dalam usaha membantu dan meringankan beban kakitangan syarikat akhbar itu.

Ketua Wanita UMNO negeri, Dato' Siti Hajar Mubin berkata, sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 itu dikumpul daripada ahli pergerakan berkenaan di seluruh negeri ini.

"Peranan yang dimainkan akbar Utusan Malaysia sejak kemerdekaan sehingga kini dalam memertabatkan agama dan bangsa perlu diteruskan.

"Kami berasa terpanggil membuat kutipan bagi memberi sumbangan kepada kakitangan Utusan Malaysia dalam membantu meringankan beban kakitangan syarikat berkenaan," katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Dewan Dato' Zaharuddin Kassim Kuala Krau di sini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin.

Menurut Siti Hajar, kutipan tersebut didermakan oleh ahli Wanita UMNO di seluruh negeri ini yang melancarkan kutipan derma bagi membantu kakitangan Utusan Malaysia.

Beliau berharap semua ahli UMNO di seluruh negara dapat membantu syarikat berkenaan dan membeli akhbar Utusan Malaysia sebagai tanda sokongan kepada akhbar berbahasa Melayu itu.

Sumbangan tersebut dimasukkan terus ke akaun Badan Keluarga Utusan Melayu.


Read more »

Thursday, September 5, 2019

[TEMERLOH] PAHANG TUBUH JABATAN WANITA, HARGAI WANITA






Bagi menghargai dan memperkasakan lagi peranan wanita, kerajaan negeri bertindak proaktif menubuhkan Jabatan Wanita dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu kerajaan negeri akan mewujudkan Majlis Wanita Negeri sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan bekerjasama dengan Jabatan Wanita negeri.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan secara dasarnya bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk mewujudkan Jabatan Wanita Negeri Pahang dengan 11 perjawatan.

"Adalah diharapkan, Jabatan Wanita Negeri Pahang ini akan dapat membantu merancakkan aktiviti dan membantu wanita khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Wanita di Dewan Dato' Zaharuddin Kassim Kuala Krau di sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Pahang, Datin Sri Datuk Burhah Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato'  Salehuddin Ishak.


Read more »

Tuesday, September 3, 2019

[KUANTAN] ISTIADAT KONVOKESYEN KUIPSAS GUNA TULISAN JAWI







Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini menarik perhatian apabila menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya dalam semua bahan cetakan serta edaran sepanjang istiadat berlangsung.

KUIPSAS dalam kenyataan medianya berkata, perkara itu merupakan usaha berterusan yang dimainkan kolej universiti tersebut selepas menjadi Pusat Rujukan Tulisan Jawi negeri ini.

"Penggunaan tulisan jawi seperti ini dilihat mampu menaikkan semula maruah tulisan ini serta mendedahkan penggunaannya kepada orang ramai.

"Selain itu, usaha ini dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan mempertahankan tulisan jawi dalam kalangan anggota masyarakat," kata kenyataan itu.


Read more »

share2