Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Thursday, January 17, 2019

[VIDEO SATIRA] NAJIB BERTANYAKAN ARAH DI CAMERON HIGHLANDS




Satira Cameron Highlands, 17.1.2019 : Setibanya di Cameron Highlands Mantan Perdana Menteri tercari-cari arah tempat dituju. Ditanya pemuda yang menunjukkan kepada  wartawan-wartawan yang berkumpul. Mereka ketawa sahaja dengan soalan Dato’ Sri Najib yang berjalan keseorangan. Bagaimanpun seorang pemuda kemudian menunjukkan ke arah lain pula. Semoga beliau sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.

Pautan video satira di bawah :


            

Read more »

Monday, November 30, 2015

[CERPEN] NASI PENGANTIN DI PINGGAN RETAK - PARIDAH ISHAK

Gambar hiasan


Hari itu dia sibuk bersiap-siap untuk perjalanan yang telah dirancang dan dipersetujui bersama suaminya.

Anak-anaknya yang bertiga itu telah dipersiapkan serapi-rapinya.Tinggal si kecilnya yang belum dimandikan lagi. 'Comelnya sikecilku ini; getus hatinya. Si kecilnya itu baru saja berusia 50 hari. Sewaktu melahirkannya dia langsung tidak mengalami sebarang komplikasi. Tidaklah sesusah tika dia mahu melahirkan abang-abang dan kakaknya dahulu. Semuanya terpaksa dilahirkan di hospital. Tapi si kecil ini tidak langsung membawa masalah kepadanya.

Dengan bantuan seorang bidan kampung dan seorang jiran yang baik dia melahirkannya di rumah saja tanpa perlu berangkut ke hospital.

Kak Zi memang jirannya yang sangat baik dan rapat dengannya semenjak dia mula tinggal dipertempatan ini. Seringkali kak Zi dan suaminya membantu dia kerana dia yang banyak bermasalah berbanding dengan pertolongannya kepada pasangan itu walau ada juga sesekali.

Kadang-kadang dia merasa sangat menyusahkan jirannya kerana terpaksa menjadi kaunselor kekeluargaan kepadanya. Hanya dia yang mengerti situasi yang melengkungi kehidupannya. Walau pada pandangan yang lain hidupnya umpama sebuah tasek yang tenang, biru dan nyaman.

Sudah terasa jeran dan bosan kepadanya kerana setiap tahun ada saja masalah yang mengganggu kehidupannya bersama suami yang sangat dicintai itu. Dan terpaksa diuraikannya Namun dia masih bersabar sehinggalah hari ini dan mungkin seterusnya.

Masalah yang didepaninya bukanlah datang kepadanya setelah berkahwin malah dia dirumiti tika sedang bertunangan lagi. Mengapalah dia masih sanggup menyertakan dirinya ke dalam hubungan yang serba kalut itu tidak difahaminya.

Dia mungkin telah diberi petunjuk Allah akan kecurangan tunangannya dersama seorang gadis yang didakwa berkhalwat dengannya masih juga dia tidak sedar. Pelik sungguh, masih juga ada kasih sayang di hatinya terhadap lelaki yang mencuranginya. Mudah sekali menerima ajakannya untuk segera bernikah. Sedangkan bakal suaminya itu akan didakwa di mahkamah syariah bersama si gadis yang menggilainya itu.

Kata lelaki itu kepadanya hanya dirinya seorang yang dicintainya. Bukannya gadis itu. Maka berkahwinlah mereka dengan akad dan janji-janji manis yang belum tentu tertunai

Barangkali begitulah kalau sudah jodoh. Walauapapun yang hendak dilakukan tidak dapat lari daripada ketentuan-Nya. Dia merasa sangat berbahagia sekali kerana lelaki yang dicintainya itu kembali berulik dengannya. Walau dinikahkan secara tergesa-gesa kerana mengikut desakan lelaki pilihannya itu namun majlis meraikan perkahwinan mereka begitu meriah sekali diraikan rakan taulan, sahabat handai, jiran se kampung, saudara-mara dan kaum kerabat.

Malam perkahwinan yang sangat bersejarah baginya. Terutama insiden pahitnya. Sedaya upaya ingin dilupakannya walau hatinya merasa amat tersinggung dengan sikap suaminya yang menjuihkan hidangan pengantin yang diletakan di hadapannya.

Mungkin dia merasakan tidak layak seorang raja sehari dilayan sebegitu rupa dengan cuma se dulang hidangan nasi kenduri yang tidak ada kelainannya untuk tamu biasa. Wajahnya berubah. Tidak ada lagi senyum ceria di bibir suaminya. Dia juga turut terperanjat. Mengapa begini pula? Mana nasi pengantinnya?

Memanglah sebagai mempelai pada hari ini dia tidak boleh bertanya apapun tentang majlis yang akan dilakukan tapi masakan emaknya tidak memberitahu pengelola kenduri tentang penyediaan nasi pengantin untuknya dan suaminya. Keliru sungguh dia.

Lebih menyusahkan hatinya kerana suaminya tidak mengambil mudah tentang itu. Boleh jadi dia sangat berkecil hati kerana tidak diraikan selaku pengantin seperti sepatutnya.
Dan rentetan itu ujudlah persengketaan dan rungutan-rungutan yang menyiksa jiwanya

Apa yang diharapkannya majlisnya itu akan berjalan dengan lancar dan selesa. Nampaknya keselesaan telah terganggu. Suaminya itu menyuap nasi dengan tidak berselera. Seleranya juga hilang menyertai situasi. Terpandang pinggan nasi di depannya jantungnya berdegup kencang, Nasi pengantin diisi di dalam pinggan yang retak!

Dia tidaklah terlalu taksub dengan kepercayaan orang-orang lama namun firasatnya mengatakan itu adalah petanda yang tidak molek. Dia mulai menilik arah haluan perjalanan perkahwinannya yang bermula dengan tafsiran-tafsiran yang tidak diingininya.

Setelah nasi dijamah sedikit, hidangan diangkat kembali. Muncul pula seorang wanita sebaya emaknya mengatakan sesuatu kepadanya.
"Pengantin lelaki tidak boleh bermalam di rumah pengantin perempuan pada malam ni. Ikut adatnya begitulah..."
Dia terpinga-pinga mendengarkan begitu. Hatinya tertanya-tanya 'adakah adat sebegitu di negerinya. Pertamakali dia mengetahui adat seorang pengantin ditegah daripada bermalam di rumah pasangan yang telah dikahwininya.

Si suami memandang isterinya. Dia memahami pandangan berunsur kejengkelan sambil menjeling beg putih yang dibawanya. Teman yang mengiring suaminya turut memusatkan pandangan kepadanya. Dia serbasalah sungguh.

Suaminya tentunya telah mengisi pakaiannya ke dalam beg yang dibawanya guna melunaskan keperluannya tika bertandang ke rumah mertuanya. Kejadian sebegini pula yang berlaku. Sungguh amat dikesalinya.

"Tak apalah." Ujarnya sepatah,
Dengan ayat itu juga dia menghilang bersama rombongan pengantin yang membawanya pulang ke rumahnya sendiri. Dia menyepi diri tanpa mahu menjemput isteri yang telah dikahwininya. Mungkin itu adalah protes yang ditunjukan kerana tidak gemar dengan insiden yang dialami pada malam pengantinnya.
Teganya hati suaminya meninggalkannya di malam perkahwinan mereka. Namun ayah dan ibunya menyatukan mereka semula menurut adat menghantar pengantin beberapa hari kemudiannya.
.
Kata suaminya kepadanya, dia tidak payah berkerja kerana suaminya itu mampu memewahkan kehidupannya dengan pendapatannya seorang. Memang pendapatan suaminya itu boleh tahan juga untuk menyara hidup mereka seadanya. Kerana kemahuannya tidak banyak tentulah sangat mencukupi pendapatan suaminya sebagai staff sebuah syarikat swasta itu. Mentelah pula cuma hidup berdua.

Ketegasan suaminya tidak boleh dirubah lagi dan dia terpaksa akur dengan keputusannya. Sehari suntuk pula dia tidak bertegur sapa dengan suaminya sebagai tanda protes hatinya yang tidak langsung menyetujui kehendak suaminya walau tidak berani membantah. Hinggakan jiran-jiran yang tinggal bersebelahan rumah mereka menganggap pasangan itu tidak ada di rumah. Sebetulnya masing-masing sedang melayan perasaan.

"Takmalu ke?" Tutur suaminya sinis. Dia terkedu. Faham benar dengan maksud kalimat pendek itu. Memang benar kakitangan di pejabat tanah rancangan felda tempatnya berkerja itu semuanya lelaki. Yang perempuan cuma dia seorang. Kerana dia seorang perempuan bak mawar yang menyeri alam tentulah dia dilayan sebaiknya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengguris perasaannya.

Hinggakan seorang staff di situ berkira-kira hendak menjodohkannya dengan seorang pegawai luar di situ yang pendiam dan berperawakan sederhana.Kebaikan hati budinya memang memikat hatinya.
"Betul ke awak mahu kalau saya kirakan awak dengan S?" Tanya cik D. Mereka duduk bersembang berdua berhadapan.

"Boleh saja," balasnya selamba. Tanpa ada rasa bersalah kerana telah menyimpan rahsia tentang status dirinya.
'Kesian kau D, kau tak tahu aku dah nikah.'
Memang tidak ada di antara rakan-rakan sepejabatnya yang tahu dia telah bernikah kerana pernikahan yang berlaku sangat segera dan kelam-kabut itu.
'Jodohku boleh jadi sudah sedemikian suratannya.' Monolognya yang lemah bersandar kepada takdir hidup.
.Mungkin juga salahku kerana mudah tergoda dan tidak berprinsip hidup," Janggal dan mengelirukan pula andaiannya itu.

"Agaknya apa perasaan S terhadapku sekiranya dia tahu status diriku. Mungkin dia sangat marah dan malu. Marah kerana telah tertipu dengan penampilanku sebagai gadis. Tentu teramat malu kerana secara tak sengaja telah menyimpan perasaan terhadap isteri orang.' Dia termenung memikirkan kesalahannya dan akibahnya.

'Ah!Tak perlu aku nak fikir semua itu. Lagipun aku dah tak ke sini lagi..'
Betullah tu. Esok dia tidak akan ke sini lagi kerana telahpun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengurus sebagaimana yang diarahkan suaminya.
Bermulalah rutin hidupnya sebagai seorang isteri sepenuh masa. Sama seperti isteri-isteri jiran-jirannya yang lain yang sentiasa ternanti-nanti saat suami pulang dari pejabat. Dan segala-gala yang dilakukan adalah untuk kebahagian bersama.

Musim awal perkahwinannya tetap ada masalah yang mengganggu keharmonian rumahtangganya. Namun tetap dilaluinya dengan tabah.

Kenangan lalu melewatinya lagi fasa demi fasa. Sekali lagi kejutan yang membuat jantungnya berhenti berdegup tatkala suaminya mengatakan keinginannya untuk berhenti kerja. Pelbagai yang menghantui mindanya memikirkan tentang masalah bakal ditempuh setelah suaminya tiada berperkerjaan. Bukan masalah kecil tu.
Kepada isterinya dia memberitahu ingin memulakan sebuah perniagaan. Tidak sudahnya dengan hanya berkerja makan gaji saja. Perlu cepat mengorak langkah untuk menjadi orang yang berjaya di dalam kehidupannya.
Suaminya itu sudah lama bercita-cita hendak menjadi seorang kaya. Tinggi sekali impian suaminya itu. Dia langsung tidak menduga suaminya yang sederhana dan pernah miliki koleksi sajak-sajak karyanya sendiri itu menjurus ke situ hala minatnya.
Dan apa pula cita-citanya? Kalau dulu ingin menjadi seorang wanita berkerjaya kini harapan itu telah musnah. Memandang bening sinar mata anak-anaknya, kecomelan wajah mereka yang redup menguburkan kegusaran hatinya hanya semata menjadi suri yang terkurung di rumah tangga hingga akhir usia. Mungkinkah cita-cita mulai disemai di sudut hati itu berpucuk subur pula?
Biarkanlah suaminya itu merealisasikan impiannya yang sekian lama menjadi cita-citanya dan diiringkan dengan doa seorang isteri yang cintakan suaminya.

Nampaknya dia tidaklah terlalu mengenali lagi siapa suaminya itu dan sejarah silam yang mendalam tentangnya. Dia hanya dikhabarkan suaminya sedikit cerita bahawa dia cuma tinggal bersama kakaknya dengan keluarga pakciknya yang kaya di sebuah kampung di hilir sebuah sungai di Selangor. lantaran keluarganya yang berpecah-belah.
Ibu mereka melarikan diri entah kemana kerana tidak tertahan dengan kerenah suaminya yang panas baran dan suka mengamuk tahap psikosis. Ditambah lagi dengan sumpah seranah mertuanya yang menyalahkan ibu malang itu di atas apa yang berlaku terhadap keluarga itu. Ibu suaminya itu sudah habis berfikir dan nekad meninggalkan empat orang anak-anaknya termasuk suaminya.

Hanya anaknya yang paling kecil dibawa bersamanya. Ibunya melangkah entah kemana arah tujuannya membawa hatinya yang luka kerana tidak tertahan lagi menanggung derita didera suaminya setiap hari ditambah dengan tekanan emosi dari pihak keluarga suaminya yang tidak bertimbang rasa. 

Tika itu usia suaminya baru 5 tahun. Kakaknyalah yang mengambil tugas ibu menjaganya sebaiknya dengan bertungkus-lumus berkerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga pakciknya itu tanpa ada apa-apa imbalannya. Ahli keluarga itu memanafaatkan anak-anak saudara yang menumpang bersama mereka semahunya.

Dia dan kakaknya tidak pernah dapat berihat atau bersantai bersama sepupu-sepupu mereka sewajarnya kerana mereka adalah orang menumpang. Bukan ditakrif sebagai keluarga terdekat, Hidupnya dan kakaknya rutinnya setiap hari adalah kerja...kerja...kerja. Jikalau tidak siap sempurna kerja yang dilakukan akan dimaki, disumpah-seranah pakcik dan makciknya.

Apa yang dirasa dan dilihatnya disimpannya di dalam hati sebagai nota-nota yang tidak akan terpadam. Dan dia menyimpan azam untuk menjadi seorang yang kaya. Sudah tentu lebih kaya daripada pakciknya yang memiliki beberapa puluh hektar kebun kelapa itu.

Dan suaminya itu bertekad untuk segera mencari ibunya yang hilang itu. Iltizamnya yang sangat kuat untuk bertemu dengan ibunya itulah yang mungkin menyebabkannya ingin berkerja sendiri dan mencuba meraih rezeki di dalam bidang perniagaan pula.
‘Ish! Lambat pula pulangnya. Tadi kata keluar sekejap saja menghantar barang-barang pesanan pelanggan kemudian terus pulang dan bertolak ke KL. Ini dah tengahari tak Nampak bayangnya lagi.’ Dia merungut di dalam diamnya sambil meletakan beg pakaian yang mengisi keperluannya sekeluarga di muka pintu.
Perniagaan yang diceburi suaminya sebagai pengedar barang-barang peruncitan dapur semakin menampakan kemajuan dan kejayaannya. Setiap hari bersama seorang pembantunya akan berniaga ke segenap daerah mencari kedai-kedai runcit untuk menawarkan barangan jualannya. Pergaulannya sangat luas dan mengenali ramai mereka yang sealiran dengan bidangnya.
Wang ringgitnya yang banyak memudahkan apa saja kemahuaannya. Dan isterinya itu mulai curiga dengan tingkah lakunya yang mulai bergaya sakan mutakhir ini. Jikalau dulu tidak kisah berpakaian sederhana kini tidak lagi. Mesti bersiap rapi kalau berpergian berperfum segala ke mana saja lebih-lebih lagi jikalau ke bandar di utara mengambil bekalan perniagaannya.
Kecurigaannya yang menyelirati mindanya yang bersarabut itu terjawab setelah dia menyelongkar dashboard lori besar bertayar enam milik suaminya dan menemui potret seorang gadis cantik berkulit putih kuning dengan catatan nama Irene Lee di belakang foto itu. Dari rupa parasnya dia menelah gadis itu tentu seorang China.
Tahulah dia kini bahawa suaminya itu sedang dilamun percintaan dengan gadis itu berdasarkan frasa cinta yang banyak ditemui disimpan di dalam dashboard lori itu. Hatinya terluka sungguh. Kesedihan yang menguraikan air matanya. Dan mengambil keputusan drastik meninggalkan segala yang dimiliki bersama suaminya dengan membawa tiga orang anak-anaknya yang masih kecil. Membawa hatinya yang luka entah ke mana arahnya.
Sejarah ibu mertuanya yang lari meninggalkan rumah suami dan anak-anaknya kerana amukan rasa hiba diulanginya. Tapi dia tidak sanggup meninggalkan anak-anak kesayangannya walau seorang. Kesemuanya diangkut sekali dengan susah payah mendokong si adik di tangan kanan dan tangan kiri mendorong beg besar. Kakak dan abang dibiarkan berjalan terkedek-kedek.
Anak-anak yang tidak tahu apa-apa yang dirasai ibu mereka hanya mengikut saja langkah yang diatur ibu mereka yang kegundahan, kegelisahan dilambung rasa sedih yang tidak terbendung lagi.
Kehilanganya bersama anak-anaknya merisaukan ibu bapanya. Tambah lagi suaminya yang menyedari tindakan nekad isterinya itu berpunca daripada kesilapannya kerana mencurangi isterinya lewat nota surat yang ditinggalkannya. Dia perlu menebus kesilapannya itu demi isteri dan anak-anak yang disayanginya. Padanya melupakan Irene Lee tidak susah meski anak taukeh besar kilang barang-barang pelastik itu kelihatan sangat mencintainya.
Rumahtangganya perlu diselamatkan daripada keruntuhannya terlebih dahulu. Soal Irene akan difikirkan penyelesaiannya kemudian. Puas pula dia ke sana sini mencari anak-anak dan isterinya yang akhirnya ditemui di rumah emak saudara isterinya itu di JB.
“Berilah peluang kedua kepada abang. Abang berjanji tidak akan ulangi kesilapan lalu. Demi anak-anak kita bina semula keluarga kita.”
Lunak dan lirih suaminya berbahasa mencairkan amarahnya. Mudahnya hati terpujuk. Kesilapan sentiasa dilakukan samaada sedar atau tidak setiap insan biasa yang tidak sempurna dan dia harus memiliki jiwa besar untuk memaafkan. Apalagi memaafkan kesilapan suami tersayang walau perbuatannya sangat melukakan perasaannya.
“Dah siap semuanya? Jom kita bertolak.” Suaminya mencapai beg pakaian yang disiapkannya membawanya ke kereta sebaik selesai memakir lorinya di sisi rumah mereka.
Sebenarnya dia merasa tidak sedap hati hendak ke KL bersama keluarganya lantaran keadaan dirinya yang masih lemah sebab baru habis pantang melahirkan zuriatnya yang keempat. Tapi apakan dayanya menolak permintaan suaminya mengeluarkan sejumlah wang simpanannya untuk membeli sebuah kedai di bandar terdekat. Bank tempatan di daerah ini tidak membenarkan pengeluaran tunai dengan jumlah yang banyak. Terpaksalah ke KL juga justeru di situ HQ bank langganannya.
“Kita singgah sekejap di Karak. Anak-anak lapar nak makan…” Saran isterinya.
“Tak payahlah…sampai di KL nanti boleh makan.” Dia menoleh melihat anak-anak kecilnya yang bertiga di kusyen belakang seraya tersenyum tanpa kata mengharapkan anak-anaknya memahami dan bersabar menahan kelaparan.
Pandangannya terpaku keterkejutan amat melihat lori yang sarat muatan ayam melinglong laluannya sedang melaju ke arah kereta mereka. Dia sudah tidak ingat apa lagi setelah itu kecuali di dalam hatinya dia berdoa mohon Allah selamatkan nyawa anak-anaknya, suaminya. Andainya ajalnya sudah tiba dia reda.
Allah mendengar doa hamba-hamba-Nya. Kemalangan di lebihraya Karak itu tidak mengorbankan nyawanya anak-anaknya, suaminya. Hanya dia yang mengalami kecederaan tahap kritikal. Koma  berbulan-bulan. Sedar dari koma lumpuh pula. Suaminya yang sihat walafiat semakin berjaya dalam bisnisnya dan menjalani kehidupan berbahagia bersama isteri yang baru dikahwininya Airina @ Irene.
Alasan suaminya berkahwin lagi bukan sebab tidak sayangkannya lagi tapi demi anak-anak. Percaya atau tidak bukan soal utama baginya. Ternyata kasih sayang suaminya kepadanya telah beralih arah dan semakin terasa kepudarannya
Sedang dia hanya mampu berdoa semoga ada cahaya di hujung terowong yang menyinari kehidupannya bersama ibu bapa dan anak-anaknya membawa perubahan diri yang didambakannya agar pulih dari kelumpuhan yang memenjarakan pergerakannya. Kembali normal sediakala. Di perbaringannya yang terlayang kepadanya memori lalu tertayang di skrin minda satu persatu babak kehidupannya yang bermula pada malam pernikahannya.


Read more »

Sunday, November 8, 2015

[CERPEN] HUJAN - PARIDAH ISHAK




Hujan....hujan...hujan...

Musim tengkujuh sudah memasuki fasanya. Mengulangi rentak serupa saban tahun. Justeru hujan pun akan menghujani kawasan-kawasan yang tertakluk kepada perubahan cuaca alam.

"Kalau hujan ni berterusan lebat selama 2 jam pasti akan banjir kawasan kita..." Jiranku Idah bersuara gusar. Hujan mulai menitis halus di halaman rumah dan masing-masing yang seronok berbeka di serambi rumahku di petang yang redup mulai berkira-kira mengangsur diri.

“Hujan renyai begini sekejap saja rentinya tu. Duduklah dulu, minum kopi dan jamah kuihnya!”

" Ialah kak Idah. Lagipun sungai kecik kat belakang rumah kita ni nampaknya dah dipenuhi tanah tebingnya yang runtuh dan dah semakin cetek. Macamana air nak lalu. .." Sela Imah jiranku terdekat. Menambahkan fakta yang merisaukan kedua-duanya.

"Nampaknya setiap tahun kita akan menghadapi masalah serupa. Terpaksa menyapu selut dan mengemas perabot. Penat ooo...tambah kita ni dah tua...kudrat pun tak seberapa...."

"Orang yang penting tu bila kita kena banjir barulah sibuk nak mendalamkan sungai. Dah tu habis pokok pokok yang kita tanam dikorek dan dihumban sesuka hati pemandu bulldozer tu. Kononnya rizab sungai. Rizab sungai kemenda, batu pancang sempadan kan ada. Tak nampak ke...main korek ikut suka dia je..." Kak Idah melepaskan kekesalannya.

"Tak patut tu. Setiap tahun kita yang bayar cukai tanah. Cukai dibayar sedangkan tanah kita sudah jadi rizab sungai."

"Tahun ni kalau banjir lagi tentu orang penting tu suruh korek lagi sungai tu. Korek...korek...korek....sudahnya

sungai tu melebar sampai ke tepi rumah kita..." Imah menambah kegurutuannya yang terlampir dalam suaranya. 

"Sepatutnya ada seseorang yang ditugaskan menjaga sungai kita ni. Memerhatikan keadaannya. Jangan biarkan semak samun yang menghalang laluan air atau bina batu-batu penghadang yang dibuat macam kat sungai Gombak tu..."

Idah seolah menggambarkan pengalamannya melewati jalanraya KL dan suasananya sewaktu dalam perjalanannya ke rumah anak-anaknya di sekitar Ampang.

Begitulah rungutan para suri rumah jiran-jiranku yang sentiasa terdengar seiring dengan hujan lebat yang turun di kampungku. Tetapi jeritan dan rungutan suri suri yang keletihan mengurusi tamu yang berkunjung setiapkali musimnya tiada siapa yang peduli. Kecuali gangguan itu menimpa orang orang kota. Maka banyaklah terowong terowong SMART yang dibina.

“Tok Ketua kampung kita tu apa dibuatnya ya? Orang asyik komplen tak berhenti tak kan dia tak perasan kot?”

“Bukan dia tak perasan bukan dia tak dengar tapi rasanya diapun banyak masalah yang nak difikirkannya. Anaknya dua orang sedang belajar di luar negara. Seorang di Mesir seorang di London. Banyak belanja untuk biaya anak yang belajar di luar negara walau ada biasiswa. Tambah nilai duit kita yang rendah sangat masa ni. 

Agaknya tok ketua kita sedang pening fikirkan duit yang perlu ditambah untuk cukupkan keperluan anak-anaknya setiap bulan. Setakat nak harapkan elaun ketua kampung tu berapalah sangat. Tok ketua pun macam kita juga, orang kampung yang hidup dengan hasil tani kampung. Lainlah mereka yang ada perniagaan yang maju macam kawan kita yang bermahligai besar atas bukit tu..”

“Kaya sungguh kawan kita tu kan! Tapi yang peliknya diapun dapat bantuan banjir setiap kali tempat kita dilanda banjir. Sedangkan rumahnya kan di atas bukit. Manalah naik air.”

Idah dan Zai tersenyum pula seolah memahami maksud apa yang dituturkan kedua-duanya.

“Dengar kabarnya tok ketua tu akan diganti dengan tok ketua yang baru sebab ramai yang kata tok ketua tu tak buat kerja dia menjaga kesejahteraan kampung kita ni.”

“Yeke! Gitu pula ya. Mana kau tahu? Pandai-pandai saja kau ni Zai!”

“Eh! Aku tahulah, kan laki aku tu ahli JKKK…Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung yang rajin hadir bermesyuarat setiap bulan. Apa saja masalah kampung kita dibincangkan di sana.”

“Hmm! Termasuk masalah nak menukar ketua kampung kita dengan ketua kampung yang baru? Takkanlah kot. Sebab setahu aku mesyuarat JKKK akan dipengerusikan ketua kampung yang dilantik tu. Mana boleh buat usul pemecatan jawatan tok ketua dalam mesyuarat yang dipengerusikannya. Sungguh kurang sopan sekali. Tiada langsung adab dan budi bahasanya.”

“Entahlah! Mungkin usul pemecatan dibuat tika tok ketua tidak dapat hadir mesyuarat baru-baru ni sebab sibuk menguruskan isterinya yang tiba-tiba jatuh sakit dan masuk wad pula.”

“Hmm…Kak Nah isteri tok ketua tu masuk hospital pula. Aku baru tahu. Apa pula sakit kak Nah isteri tok ketua tu Zai? Baru ni aku jumpa dia elok je. Nampak sihat!”

“Kak Nah tu masuk wad sebab keletihan sangat kot. Dia kan terlalu rajin berkerja membuat kuih-muih yang ditempah kepadanya. Agaknya dia terpaksa turut berkerja keras untuk membantu tok ketua menambah pendapatan untuk membiayai pembelajaran anak-anaknya yang di luar negara tu. Tak pasti pula apa penyakit kak Nah yang sebenarnya.”

“Kalau ada masa kita pergi melawatnya nak? Kau ajaklah laki kau tu, boleh aku ikut tumpang sekali. Maklum aku dan laki aku kan tak ada kereta. Harap boleh nak menumpang jiran sebelah yang baik ni je!”

“Boleh sangat! Kau pun memang selalu menumpang kereta aku kalau nak kemana-mana. Hidup kita berjiran ni mestilah ada sikap tolong menolong kan…”

Berbalas senyuman pula kedua-dua kawan baik yang tinggal berjiran itu.

“Tapi kalau tok ketua kita tu dipecat jawatannya, siapa pula nak menggantikannya?”

“Siapa lagi kalau bukan jiran kita yang bermahligai besar atas bukit tu?”

“Hmm…dia rupanya! Tapi kau rasa bolehkah dia selesaikan semua masalah kampung kita ni? Terutama tentang sungai cetek di belakang rumah kita ni. Dan macam-macam lagi masalah sosial di kampung kita ni? Masalah penagihan dadah! Masalah kecurian. Masalah kemiskinan! Masalah ibu tunggal! Pendekata macam-macamlah masalahnya.”

“Itu aku tak jamin. Tapi aku pun cuak juga. Dibuatnya dia pun tak mampu nak galas semua masalah kampung kita ni. Maklum dia kan sangat sibuk menguruskan bisnisnya yang segala macamtu. Ada restoran, ada mini market, ada bengkel kejuruteraan dan lain-lain bisnis yang tak semua aku tahu.”

“ Dia kan orang muda lagi tentu lebih kuat berkerja dan berminda yang ligat berfikir untuk maju ke hadapan. Bukan macam kita yang seusia tok ketua dan tak lama lagi akan digelar warga emas. Lagipun dia tu ramai pula pembantunya. Setakat nak dalamkan sungai aku rasa langsung tiada masalah baginya. Dia pun ada jengkaut yang boleh buat semua kerja korek-mengorek sungai tu. Tentu lepas ni projek mendalamkan sungai kampung kita ni dia yang dapat. Tiadalah lagi masalah banjir kalau hujan turun lebat sangat. Masalah yang lain tu aku tak pasti juga.”

“Betul juga tu ya! Biarkan orang muda pula yang meneruskan semua kerja-kerja penting tu demi kesejahteraan kampung kita ni. Jangan terlungkup sudah.”

Pesimis pula kenyataan Idah itu walau disertai rasa hatinya yang positif pada mulanya.

“Tentulah tidak terlungkup diuruskannya atau keadaannya lebih kurang sama saja. 

Pengganti tok ketua yang baru mesti nak tunjukan kewibawaannya melebehi yang lama. Barulah bergaya sebagai tok ketua. Tak perlu nak teruskan cara urus tok ketua yang lama yang dah ketinggalan masa tu. Mesti berfikir di luar kotak seperti ceramah pakar motivasi kat TV tu.”

Memang perlu berfikir di luar daripada kebiasaan jikalau ada kemampuannya diri melakukannya. Itupun perlu dengan hidayah Allah jua. Hatiku yang bersuara begitu.

Hujan yang rintik renyai telah seriat sebaik senja menjelang. Bicara jiran-jiran tetanggaku tidak bersambung lagi. Masing-masing telah melangkah pulang ke kediaman masing-masing. Pasti akan akan ada pertemuannya antara mereka sekiranya masih berkesempatan.

“Kak Nah dah meninggal dunia Idah, Zai!”

“Iyalah! Tahu juga. Kan subuh tadi diumumkan di masjid. Kamipun nak pergi melawatlah ni. Jom ikut sekali. Nak ajak Imah sekali ni.”

Aku Zai, Imah dan Idah beremba seiring mengatur langkah ke rumah tok ketua Zaman di hujung kampung. Kami disambut anak-anaknya dan jiran-jiran sekampung yang telah terlebih awal tiba dengan niat berziarah juga. Berziarah jenazah yang meninggal dunia itu sunat muakad hukumnya. Amat berpahala dan mengingatkan yang hidup kepada kematian. Dan sesungguhnya kehidupan ini hanya sementara.

Zai sudah menyelesaikan bacaan surah yasin yang dihadiahkan pahalanya kepada almarhummah Kak Nah. Begitu juga aku dan Idah. Sebelum pulang kami menyalami anak-anaknya yang ketara di wajah mereka beriak sayu pilu.

“Bila kamu berdua nak pulang ke Mesir dan London? Mungkin setelah 100 hari ibu kamu berdua disemadikan kot.” Kedua beradik bertudung gelap itu saling pandang memandang antaranya.

“Entahlah mak cik Zai! Mungkin kami berdua tak ke sana lagi kot. Cadang nak sambung belajar di sini saja. Lebih dekat, lebih mudah. Yang penting lebih murah dan jimat sikit.”

“Eloklah gitu. Lagipun kesian tok ketua sendirian di rumah setelah ketiadaan ibu kamu. Adik-adik kamu berdua pun semuanya bersekolah dan tinggal di asrama. Temankanlah ayah kamu tu saat dia lalui masa dukanya sebelum kamu berdua menyambung pengajian. Mungkin masa tu jiwanya yang lemah telah pulih sedikit.”

“InsyaAllah mak cik Zai. Terima kasih makcik makcik semua yang sudi datang menziarah ibu kami.”

Manis sekali anak-anak tok ketua itu berbudi bahasa. Dan jiran-jiranku menyambutnya dengan segaris senyuman sambil terangguk-angguk.

“Jomlah kita. Kami balik dulu ya. Nanti kami datang lagi waktu jenazah nak dibawa ke tanah kubur.”







Read more »

Wednesday, November 4, 2015

[SAJAK] PANTAI DAMAI - AMI MASRA

Pantai Sepat, Kuantan



Kurebahkan rindu
Ke dadamu Pantai Damai
Yang tenteram pilu
Sunyi dan terharu.

Alam dan aku
Lama sudah bersatu
Dalam mimpi dan jaga
Tenteram impi dan rindu.

Angin bertiup lembut
Melangsir waktu rindu
Gelombang di air laut
Terasa diri sudah piatu.

Pantai Damai nan permai
Pantimu yang gebu
langit lautmu membiru
Kau masih setia di situ.

Di sini pohon ru menderu
Bunyi gemersik angin
Bunyi bisik air laut
Debur ombak beriak.

Salamku kepadamu
Pantai Damaiku di sini
Peliharalah keindahanmu
Puliharanalah kecantikanmu
Wajah ayu pantimu di situ
Biar pelancong datang beribu
Melepaskan lelah dan rindu.



Ami Masra.

Read more »

Thursday, October 22, 2015

[CERPEN] IMPIAN VERTIGO - PARIDAH ISHAK

Gambar hiasan : 
Burung Camar di Tasik 'Lille Lungegardsvatnet' di tengah Kota Bergen.


Di sepertiga  malam ibuku sudah bangun daripada tidurnya menuju kamar kecil untuk mandi membersih diri dan berwuduk sekali. Usai bersujud beberapa rokaat mengadap Ilahi memunajat segala doa kepada Yang Khalik segera menggantung mengkana di tempatnya yang tersedia di kamar solat kecil itu. 

Bergegas pula ke dapur menyiapkan apa yang ada di dapurnya untuk bersarapan sebentar lagi, mengisi perut ala kadarnya. Ibuku tidak memilih jenis makanan yang akan diambilnya. Berpada setakat yang boleh mengenyangkan perutnya buat seketika sebelum menjelang tengahari. Kalau kebetulan ada roti maka dengan rotilah ibuku bersarapan. Tidak ada roti ibuku menjadikan biskut kering yang dicicah air teh panas sebagai pengalas perutnya. Jikalau ibuku menganggar masa yang ada masih awal dan sempat untuknya memasak resepi mudah seperti cekodok bilis atau lempeng kelapa maka itulah yang dilakukannya. 

Ibuku kadangkala malas hendak bersarapan pagi lalu beliau berpuasa saja dan makan kala berbuka puasa setelah azan maghrib berkumandang. Berpahala berpuasa sunat ikut cara nabi Daud alaihisalam iaitu sehari berpuasa sehari berbuka. Meliputi sekali puasa sunat isnin dan khamis. Kelaziman ibuku begitulah. Menuruti syariah Islam yang syumul itu berfaedah sekali buat kesihatan ibuku. Bukankah makan secara berlebihan itu memudaratkan kesihatan? 

Dengan berpuasa ibuku juga merasakan beliau akan menjimatkan masanya daripada berlama di dapur buat melakukan aktiviti luar rumah kesenangan beliau. Sebelum mengatur langkah menjejak tanah ibuku akan mengemasi segenap ruang rumahnya daripada dapur hingga ke serambi terlebih dahulu. Segala habuk dan sampah‐sarap disapu hingga bersih. Setelah berpuas hati dengan kekemasan rumahnya yang sederhana saja saiz besarnya itu barulah ibuku perlahan‐lahan membawa dirinya menuruni tangga rumah. 

Ralit sungguh sehingga mentari tanpa disedari menginjak tengah kepala masih berada di luar, mengelitari segenap ruang yang ditumbuhi aneka bunga‐bungaan yang segar mekar mengindahi lamannya. 

Tenaga ibuku tidaklah terlalu banyak setelah beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya di lebuh raya Utara‐ Selatan dalam perjalanan menemani ayahku menguruskan perniagaannya namun dipaksa berkuat juga untuk memenuhi realitI yang ingin dicapainya. 

Walau berjalan sambil bertongkat menggunakan batang cangkul ibuku tetap bersemangat mengatur langkah menuju kebunnya di belakang rumah meneliti tanamannya samada hidup subur, mati kering. Atau sudah tinggal teras dibaham lembu ,kambing yang sentiasa berkeliaran dan tidak terdaya diusir kerana lemah upaya dirinya. 

Pantang tersilap sedikit pembawaan dirinya yang tidak terlalu stabil imbangan badannya ibuku akan jatuh tersungkur mencium tanah. Lantas segera berusaha dengan susah payah berpaut atau menongkat diri pada apa saja yang berdekatan dengannya. Yang boleh membuatnya bangun semula meneruskan langkahnya yang terhenti. 

Mak cik Idah jiran ibuku yang kadangkala berada di kebun belakang rumahnya akan berkejar mendapatkan ibuku untuk membantunya. Tersenyum ibuku membalas pertolongan ikhlas itu dan bibirnya tidak mengucapkan apa‐apa kecuali tangannya yang digerakan ke dada pengganti isyarat terima kasihnya kepada jirannya itu yang seringkali di sisinya saat dia kesusahan. Sudah lama mak cik Idah dan jiran‐jiran terdekatnya memahami bahasa isyarat mudah ibuku itu. 

Jiran‐jiran yang baik adalau saudara terdekat kita dunia dan akhirat. Dan hak‐hak jiran sudah termaktub di dalam alquran yang suci. ibuku menyedari itu. Sambil menghayun cangkul perlahan‐lahan memokah tanah yang tidak sedalam mana bakal pula dimasukan anak benih ke dalamnya, bibirnya sentiasa dibasahi kalimat zikir bertasbih sambil kalbunya berdoa. Kemasylahatan, kesejahteraan, kebahagiaan suaminya, ibu bapanya, anak‐anaknya, saudara‐maranya, jiran‐jirannya, kawan‐kawannya, Muslimin dan Muslimat. 

Doa dan zikir yang sentiasa diulanginya di mana saja sehingga terlelap matanya di dalam hatinya meski tidak terlafaz ketara di bibirnya. Tidak lupa pula menghadiahkan pahalanya kepada mereka yang amat dekat di hatinya. Termasuk jiran‐jirannya. 

Fenomena yang menguasai kehidupan ibuku kini menjadikannya merasakan apa saja dan siapapun kita perlu saling bertolong bantu melengkapi segenap kekurangan yang ada. Tambah di dalam keadaan ibuku yang tidak berdaya ini. Kelangsungan hidupnya berlestari dengan pertolongan jiran‐jirannya, saudara‐maranya dan mereka yang prihatin akan nasibnya. 

Tragedi kemalangan yang amat trajis itu telah mengambil kebanggaan dirinya dan meninggalkan masalah vertigo kepada dirinya. Kecederaan parah di kepalanya menyebabkan terjadi bekuan darah di otaknya mengakibatkan permasalahan vertigo kata doktor yang merawatnya. Vertigo yang menyebabkannya hilang suara, hilang upaya diri, air liur yang terlalu banyak bertakung di mulutnya yang terpaksa dilap agar tidak kelihatan jijik di wajahnya, sukar hendak menelan minuman atau makanan dan kelumpuhan separa. 

Anggota tubuhnya di bahagian kiri teramat lemah untuk berfungsi sebaiknya. Sementara anggota tubuh yang di sebelah kanan pun tidak berapa bertenaga seperti mereka yang normal kesihatannya. Pergerakannya pun terbatas dalam jarak minima sekitar rumahnya saja. Malah hatinya cepat tersentuh dan mudah berjauh hati. Sayangnya apa yang dirasakan hatinya tidak terdaya digambarkan melalui lafaznya buat membalas apa saja kenyataan yang diterima deria dengarnya. Hanya mengeram geram di sudut hati yang amat mendera jiwanya. 

Wajahnya juga berparut di mana‐mana. Kesempurnaan wajahnya yang luntur keseriannya tdaklah terlalu diambil hirau namun hatinya diserbu kesedihan kala anak‐anak kecil yang ingin dimesrainya memalingkan wajahnya sambil menangis ketakutan. Ibuku sering bertanya kepada dirinya, apakah wajahnya teramat jelek untuk dipandang sehingga yang memandangnya keseraman seolah melihat hantu? Tersenyum pula sendirian di hadapan cermin yang membalikan gambaran wajah sebenarnya. 

Ah! Anak kecil manalah yang tidak ngeri menatap wajah putih yang rompong tidak bergigi dan berparut pula di sana sini. Sebuah wajah yang tidak selesa diletak pandangan mata. Kecelakaan dengan hentaman kuat di kepalanya menjadikan dirinya ibarat tin yang dilenyek jentera berat. Habis sirna bentuk wajah sebenarnya. Dirinya sendiripun tidak gemar melihat wajahnya apatahlagilah orang lain. Wajah tidak cantik tidaklah mengapa asal hati bersih suci. 

Setiap hamba Allah itu walau siapapun dia dan bagaimana rupa parasnya sama‐sama berhak mengongsi rezeki‐Nya berserta peranannya yang tersendiri. Ibuku berkompromi pula memujuk hati dengan reda mensyukuri takdir‐Nya yang dilaluinya terbungkus hikmah yang belum terbuka. Mungkin. Kemungkinan yang tidak mungkin pun bagi Allah. 

Jangan hanya menyesali kesukaran meneruskan hidup begitu begini dengan menyenaraikannya satu persatu. Terselindung rencana Allah yang maha mengetahui kebaikan jalan hidup pilihan sebenarnya ketentuan‐Nya bagaikan doa pilihan ibuku, ‘Tunjuki aku jalan yang benar, jalan yang diredai dan jauhi azab api neraka…aamiin.’’ 

Impian ibuku dulu hanya ingin menjadi isteri mithali kepada bapaku dengan setia tanpa bantah. Sepenuh hati berkhidmat menyulam kasih sayang terhadap keluarganya dengan harapan menuai kebahagiaan. Walau tidak terlalu bahagia tapi tetap dapat merasai nikmatnya juga. Ibuku amat mencintai ayahku dan mensyukuri pertemuannya dengan ayahku yang mengikatnya dengan ijab Kabul pernikahan . 

Lahir pula anak‐anak lelaki dan perempuan yang comel dan cergas. Melengkapi hidup dalam istilah berkeluarga sebenarnya. Semata‐mata ada suami dan isteri hanya disebut pasangan yang telah berkahwin. Disertai anak‐anak antara pasangan suami isteri itu barulah dikatakan keluarga. 

Tiada apapun yang kekal di dalam dunia fana yang baharu alam ini yang disurat dalam sifat 20. Segalanya adalah sementara. Kecuali Allah yang esa. Hakikat yang hakiki dan tiada soal jawab mengenainya. Gambaran dukanya meratapi perpisahan dengan ayahku yang terpaksa meninggalkan ibuku yang sudah hilang fungsinya sebagai isteri yang diharapkannya memenuhi semua keperluannya tertera jelas di wajahnya. 

Perpisahan walau tidak pernah terlintas di impian ibuku akan berlaku antaranya dan ayahku, itulah yang berlaku. Mengenanginya membuat ibuku tersedu sedih pula. Bukan kemahuan, bukan keinginan kalau sudah demikian takdir‐Nya masakan berdaya menolaknya. 

Impian ibuku tidak kesampaian menurut perencanaannya. Keinginan memiliki keluarga bahagia di samping suami tercinta dan anak‐anak yang dididik untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi ternyata gagal walau tidak sepenuhnya. Masih ada anak‐anaknya yang setia bersamanya mengongsi sengsara, deritanya. 

Dan anak‐anak dalam diamnya tindakan tanpa suara, dalam sepinya menyusuri hari demi hari dengan langkah sumbang nampaknya memperlihatkan tanda‐tanda bahawa cita‐citanya yang disangkut ke bahu anak‐anaknya itu akan Allah izinkan kejayaannya. Yang dirasakan ibuku begitu. Anak ibuku yang sulung sedang menghabiskan pengajiannya di university dan anaknya yang kedua bakal mengikuti jejaknya. 

Ibuku menghantar anak sulungnya dan anak keduanya itu ke sekolah menengah harian biasa yang berasrama dengan harapan anaknya itu akan mendapat didikan yang sepatutnya diterima daripada guru‐guru bertauliah yang mengajar di sekolah itu. 

Sanggup menyusahkan dirinya ditinggal sendirian tanpa anak‐anak di sisi yang boleh membantu dirinya dalam segenap perkara. Pengorbanan yang perlu dilakukan seorang ibuku demi masa depan gemilang anak‐anak kecintaannya. Lagipun ibuku merasa tanpa suara, beliau tidak mampu mendidik anak‐ anaknya dengan cukup berkesan. 

Sekadar menulis nota‐nota pendek mengutarakan pandangan dan pengajaran kadang hanya dipandang lewa anak‐anaknya. Sakit pula hatinya. Biarlah anak‐anak ibuku tinggal di asrama dan hidup berperaturan untuk membentuk jiwa murni berhati budi mulia. Impian ibuku terhadap anak‐anaknya hanya masa menentukannya kelak, InsyaAllah. 

Dan ibuku tidak serik untuk merancang lagi demi menggembirakan hati sunyinya. Langkah longlai cuba digagahkan setakat kemampuan dirinya untuk mendusunkan tanah di belakang rumahnya. Pelbagai jenis anak benih yang ditanami ke dalam tanahnya. Ada anak benih yang disemai sendiri dan banyak juga yang dibeli di nerseri yang menjual pelbagai jenis anak benih yang menjadi pilihannya. 

Durian, cempedak, rambutan, dokong, duku, manggis yang daripada jenis berbaka baik dibeli tanpa berkira harganya. Kebanyakannya melebehi 10 rm ke atas terutama bagi durian D24 D25 D29. Musang King pun dibeli dan ditanam walau agak mahal harga anak pokoknya. Biarlah alah sedikit membeli asal menang memakai, telahan ibuku begitu pula. 

Penjual anak benih durian lulusan UPM itu menasihatkan ibuku membiarkan anak pokok durian itu di dalam polybeg selama tiga tahun atau lebih sebelum memindahkannya ke kebun untuk menanamnya. Cuma perlu baja sesekali dan siram saja. Kalau tidak disiram tentu mati kering pokoknya. 

Bersemangat sekali ibuku hendak menjayakan projek impiannya sambil berkejar dengan waktu dan cuba mengatasi kelemahan dirinya yang ternyata tidak setara semangatnya. Mengapa ketika usia ibuku masih muda dan tenaganya banyak tidak ibuku merealisasikan impiannya itu? Bukankah ianya lebih mudah untuk dilakukan. 

Banyak pula alasan yang ibuku beri. Alasan ibuku yang pertama mengaitkan kesibukannya mengurusi anak‐anaknya yang masih kecil. Langsung tiada kesempatan untuk melakukan apa saja minatnya. Dikesampingkan dulu niat itu sehingga anak‐anaknya besar sedikit. Untuk alasan kedua pula adalah kerana lebih memberi tumpuan kepada perniagaan keluarga. Sibuk turut sama membantu ayahku menguruskan perniagaan untuk mengumpul sedikit kekayaan demi anak‐anak di masa depan. 

Sudahnya terbiarlah tanah di belakang rumah itu tanpa di usahakan. Dipenuhi pula dengan semak samun yang membiakan makhluk perosak yang tidak diingini seperti tikus, ular, babi. Jikalau tikus banyakberkeliaran pasti banyak ular yang akan mengejarnya. Rantaian makanan menyebutkan ular adalah makanan tikus. Apa yang nak dihairankan pun. 

Babi yang suka menyondol sana sini akan menjadikan semak samun sebagai tempat persembunyiannya yang selesa. Keberadaannya dibimbangi membawa wabak JE pula. Bukankah amat merbahaya sekali wabak Japanesse Eclypse itu. Sebelum sesuatu yang memudaratkan berlaku eloklah diambil tindakkan yang bersesuaian dengannya. 

Kawasan rumah bahagian belakang yang kesuraman dan ditakuti untuk didatangi kini semakin bersih dan terang. Bukan ibuku yang membersih dan menerangkannya tapi dibantu anak‐anak jirannya dengan huluran sedikit upah yang seikhlasnya diterima. Kadang ibuku merasa hanya membebani mereka dengan masalahnya setiap penyelesaian kepada kemahuannya. 

Apakan-dayanya lantaran kemahuan kepada merealitikan impiannya perlu melibatkan mereka yang prihatin kepadanya dalam ertikata bersimpati dengan kekurangan dirinya. Kelebihan yang ada padanya hanya sejumlah simpanan wang yang dibelanja pun secara berhemat agar keperluan sara hidup dirinya dan anak‐anaknya tidak meminta‐minta kepada sesiapa. 

Walau kita miskin jangan sesekali menadah tangan meminta‐minta kepada mereka yang ternyata berlebihan daripada kita. Rezeki orang tentulah hak orang. Langsung tiada mengena dengan kita jikalau Allah tidak menyatakan rezeki‐Nya bersama orang itu terselit juga hak kita bersamanya. Ibuku akan hidup berpada seadanya dengan rezeki Allah yang melimpah dalam pelbagai cara dan bentuk saja. 

Hatinya yang bahagia melihat anak‐anak pokok yang ditanaminya subur menghijau tanpa kesan ragutan lembu dan kambing milik jiran yang terlepas daripada kandang juga adalah rezeki karunia‐Nya. Jikalau tanamannya habis diragut haiwan‐haiwan itu akan sedih pula hatinya walau ibuku tahu setiap tanamannya yang menjadi makanan kepada setiap apa saja makhluk Allah pahala ibuku telah dicatat malaikat pencatat pahala ke dalam kitab. 

Kelak helaian kitab itu akan dibuka pada hari pembalasan di padang Mahsyar. Janji Allah itu pasti. Sungguh lega hati ibuku melihat kondisi tanamannya sihat walafiat dan tidak kenapa‐napa. Tersenyum pula membayangkan hasilnya kelak akan dituai anak cucunya , jiran‐jirannya, saudara‐maranya dan sesiapa saja. Menggunung harapannya memohon Allah mengizinkannya. 

Hujan mencurah teramat lebat berjam‐jam lamanya tanpa diduga pada suatu malam yang pada senjanya ditabiri mendung hitam. Disertai pula angin kuat yang meliuk‐lintukan pohon‐pohon tinggi. Guruh berdentum dentam sabung menyabung, kilat memancar‐mancar cahayanya. Terdengar bunyi rekahan pohon‐pohon yang mematahkan banyak dahan pokok. Kelapa nan sebatang berdekatan dapur rumah ibuku telah tumbang menyebabkan bumbungnya pecah dan air hujan memenuhi ruang dapur. 

Ibuku mengurut dada kerusuhan sambil meraup wajah mengaminkan doa agar hujan ribut ini segera berhenti dan tidak membawa musibah banjir pula walau sudah kelihatan kepadanya air sudah naik dan membasahi ruang tamu rumahnya pula. Ruang tamu agak tinggi sedikit daripada ruang dapur. 

Pengalaman begitu bukan pertamakali buat ibuku. Namun berulangkali dialaminya tatkala musim tengkujuh menjelang akhir tahun. Sentiasa menghadapinya dengan sabar sambil bertawakal kepada Allah ketentuan‐Nya. Hidup ini bukankah ada pasang surutnya. Hujan ribut pun tidak selamanya dan pasti berhenti juga. 

Nampaknya pokok‐pokok tanaman ibu yang patah dan hanyut akibat ribut dan banjir terpaksalah ibuku sekali lagi bersusah payah menanamnya semula. Tanpa jemu tanpa ragu melakukan minatnya yang menjati diri. Moga Allah akan menganugerahinya sebuah taman yang indah sarat dengan tanaman dan buah‐buahan anekanya di jannah kelak walau di alam fana tidak sempat hendak direalisasikannya. 

Perkhabaran yang menyejukan jiwanya itu diperolehi daripada seorang ustaz yang member I kuliah di surau berdekatan rumahnya pada setiap petang jumaat. 

Hujan semakin rintik renyai dan kelihatan kepada ibuku jirannya mak cik idah berpayung ke rumahnya. “Tadi dengar macam pokok tumbang… hati kak tu bukan main bimbang lagi risaukan Izah kenapa‐ napa…” 

Ibuku tersenyum saja namun wajahnya ternyata keruh. Ibuku menunjuk ke a rah dapurnya. Mak cik idah menapak ke situ sambil kepalanya tergeleng‐geleng menyaksikannya dengan rasa keterkejutan. Mujurlah kelapa sebatang itu hanya menghempap bahagian sipi dapur rumah ibuku saja dan mak cik Idah sudah mengira hendak meminta tolong anak‐anaknya mengalihkannya secara memotong pelepah atasnya terlebih dahulu. Kemudian menguruskan pula bahagian pangkalnya. 

Lagipun siapalah yang akan membantu ketidakberdayaan ibuku melainkan jirannya yang satu ini juga jiran‐jiran terdekatnya yang amat rajin berbudi kepadanya itu.


Cerpen Karya:
Paridah Ishak,
No.54 jln s/u 20,
Taman Selayang Utama,
Bt.caves,
Selangor DE.






Read more »

Monday, March 9, 2015

[SAJAK] SAJAK UNTUK ANAK MELAYU - AZAM ABD RAHMAN



putih mata Melayu
Batu Putih jatuh ke tangan orang
seperti sejarah Temasek
dalam maknanya peribahasa Melayu;
’Ayam terlepas tapi tangan bau taik’
menangislah Melayu
airmata darah
sehingga titisan hujan juga
turut memerahkan tanah
bumi pusaka ibunda
hilang ’Batu’ Melayu itu angkara siapa?
siapa si kitul dan raja mendaliar-nya?
aku di sini dan engkau di sana
yang rugi Melayu juga -
kerana tidak bersatu,
pandanglah ke hadapan
jeling juga Pulau Mutiara
banyaknya kapal asing berlabuh
namun sauh telah dibongkar
layar telah terkembang
Melayu jangan lupa kata-kata;
apabila jong pecah, yu akan kenyang
yang tinggal hanya Melayu
- mengiggit jari
mengiggit jari sendiri.


Azam Abd Rahman
20.12.2009


Read more »

Sunday, March 8, 2015

[SAJAK] SAAT PILU - AZAM ABD RAHMAN



saat pilu dan rusuh resahku
tatkala bunga di hati layu
lalu gugur terbuang dari tangkai 
ingin aku bunuh cinta didada
dan membenamkan diri di kolam yang dalam
namun ada suara memanggilku merapat dan berkata:
'mari kuajarkan kamu tentang cinta
mengail juga perlu sabar dan tawakkal
bukan senang menanti kasih memakan umpan
cinta itu berakar pada hati
lalu bersimpul menjadi janji
ketika umpan dibawa pergi
hulurkanlah tali
kerana apabila kepenatan
akan lebih mudah mengawal pergerakan
merapat kepadamu,
kerana cinta itu;
bukan hanya menerima tetapi juga memberi
bukan hanya perasaan tetapi juga akal
bukan hanya dendam tetapi juga timbang rasa
bukan hanya suka tetapi juga sedih
aku terpukau
rupanya si pengail tua itu
lebih tau tentang cinta
lebih pandai menyusun kata
dari mengail ikan di kolam.
ketika aku melemparkan pancing
dan ingatkan diri;
'bahawa memancing juga seperti menyemai cinta
siapa lebih dahulu menarik tali
dan siapa pula yang terpaksa menyerah
untuk dikuasai',
ketika aku tengah faham akan maknanya
aku dekati pemancing tua itu
yang tidak pernah mendapat ikan
barulah aku sedari
dia memancing tanpa tali.


Azam Abd Rahman
2 May 2010



Read more »

share2