Persepakatan persatuan-persatuan radio amatur di Pahang mengerakkan bantuan komunikasi bagi menyelaraskan logistik bantuan banjir ke kawasan terjejas membantu melancarkan usaha banyak pihak dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
Bantuan yang dihulurkan amat praktikal terutama di kawasan-kawasan yang mengalami gangguan komunikasi akibat terputus bekalan elektrik, kerosakan struktur komunikasi dan kesesakan talian akibat peningkatan penggunaannya secara mendadak.
Presiden Penaja Persatuan Rekreasi Radio Amatur Pahang (Riadah), Musharizal Abdullah berkata, pihaknya bersama beberapa persatuan lain termasuk pemegang lesen radio amatur secara individu mengambil inisiatif membantu bagi melancarkan pergerakan bantuan banjir ke kawasan kritikal.
Menurutnya, dalam konteks di Pahang ianya lebih kepada bantuan komunikasi dan bukan hingga ke peringkat komunikasi bencana seperti yang berlaku di Kelantan.
“Kita gerakan anggota secara sukarela di kawasan-kawasan atau pusat pemindahan kritikal termasuk di Kuantan, Pekan, Temerloh dan beberapa daerah lain yang terlibat banjir bagi memudahkan maklumat disampaikan memandangkan komunikasi radio antara agensi kerajaan berbeza malah ada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiada kemudahan sedemikian.
“Jadi kita ambil inisiatif atas kemampuan yang ada untuk mengerakkan bantuan komunikasi ini melalui bilik-bilik operasi yang dibuka supaya bantuan dari luar dapat digerakkan ke kawasan yang memerlukan dengan mudah selain penyaluran maklumat dari kawasan terputus perhubungan untuk tindakan segera pihak berwajib,” katanya.
Musharizal berkata, secara keseluruhan terdapat kira-kira 11,000 pemegang lesen radio amatur di Pahang bagaimanapun yang bergerak aktif sepanjang banjir ini antara 50 hingga 60 orang termasuk secara berkumpulan atau individu dan sebahagian besarnya berada di Kuantan.
“Sebelum ini tiga persatuan radio amatur, Pertubuhan Komuniti Perpaduan dan Komunikasi (Unikom), Persatuan Radio Amatur Melayu Malaysia (Komuniti ASTRA Pahang) dan Jawatan Kuasa Penaja Riadah mengadakan Kursus Asas Komunikasi Bencana (Emergency Communication-Emcomm).
“Kursus Emcomm selama sehari itu dikendalikan penceramah daripada Malaysian Amateur Radio Emergency Services Society (MARES) yang sangat berpengalaman dalam menyediakan komunikasi bencana di dalam dan luar negara,” katanya.
Dia berkata, peserta kursus diberi pendedahan dan pengetahuan baru kerana komunikasi bencana ini amat berbeza dengan komunikasi radio yang digunakan seharian.
“Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum diputuskan kaedah yang sesuai untuk mendirikan sesebuah stesen radio di lokasi-lokasi yang diperlukan dengan mengambil kira bentuk muka bumi, jarak perhubungan, peralatan radio yang ada, bilangan pengendali radio yang diperlukan dan sebagainya," katanya.
0 comments:
Post a Comment