Kerosakan rumah akibat banjir tahun lalu pun masih belum dapat dibaiki, kali ini kerosakan yang dialami mangsa banjir boleh dikatakan berganda.
Bagi Tajuddin Mohd, 33, dan Wan Zubaidah Wan Ismail, 30, dari Kampung Bukit Rangin di sini berkata, keadaan rumah mereka yang rosak menjadi semakin teruk apabila dilanda banjir sejak lima hari lalu.
Tajuddin berkata, kerosakan akibat banjir tahun lalu masih belum mampu dibaiki dan kini terpaksa berdepan dengan kerosakan yang baharu.
“Keadaan dinding rumah sedikit tercabut malah lantai juga semakin mereput. Walaupun banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu namun kami terpaksa berdepan dengan kerosakan rumah.
“Buat masa ini, kami tidak tahu bagaimana mahu membaiki rumah yang rosak,” katanya ketika ditemui di sini.
Tajuddin berkata, tahun lalu rumahnya ditenggelami air setinggi lebih tiga meter berbanding tahun ini iaitu dua meter.
Katanya, hujan lebat minggu lalu menyebabkan rumahnya tenggelam dan terpaksa ke pusat pemindahan di Sukpa.
Bagaimanapun katanya, hanya isteri dan tiga anaknya berpindah manakala dia terpaksa tinggal di dalam khemah di hadapan rumahnya.
“Saya pasang khemah di atas jalan dan duduk di situ untuk melihat keadaan rumah,” katanya.
Katanya, kebanyakan rumah di kawasan itu ditenggelami air setinggi dua meter.
0 comments:
Post a Comment