Lebih 200 penumpang terkandas ekoran kebanyakan syarikat bas ekspres yang beroperasi di Terminal Sentral Kuantan (TSK) terpaksa membatalkan perjalanan selepas Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran tol Temerloh ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter, sejak Sabtu lalu.
Notis berhubung pembatalan jadual perjalanan bas ditampal di kebanyakan kaunter untuk makluman pengguna.
Hasil tinjauan di TSK petang semalam mendapati kebanyakan syarikat bas tidak mahu mengambil risiko untuk meneruskan perjalanan yang dijadualkan walaupun mendapat rungutan daripada penumpang terutama bagi mereka yang sudah membeli tiket bas lebih awal.
Pembatalan jadual perjalanan bukan saja melibatkan laluan ke Kuala Lumpur dan utara malah laluan ke negeri pantai timur lain seperti Terengganu dan Kelantan juga turut dibatalkan berikutan keadaan banjir yang masih belum pulih sepenuhnya.
Seorang penumpang, Nor Syafiqa Abdullah, 23, berkata, dia bersama dua rakan sepatutnya menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur kelmarin selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sini, Sabtu lalu.
“Kami bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas pada Jumaat lalu dan ketika melalui kawasan berhampiran persimpangan keluar ke Temerloh sudah dinaiki air namun ketika itu masih boleh dilalui semua kenderaan.
“Kami merancang untuk untuk pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad dan dijadualkan menaiki bas pada jam 11 pagi semalam (kelmarin) memandangkan hari ini (semalam) kami sudah mula bekerja,” katanya.
Dia berkata, ketika tiba di TSK untuk menaiki bas semalam, syarikat bas berkenaan memaklumkan semua perjalanan dibatalkan dan duit kami dipulangkan semula,” katanya ketika ditemui, semalam.
“Saya dan rakan buntu memikirkan cara untuk pulang ke Kuala Lumpur memandangkan hampir kesemua syarikat bas membatalkan perjalanan masing-masing malah mereka sendiri tidak pasti bila jadual perjalanan akan dimulakan kembali,” katanya.
Nor Syafiqa berkata, dia masih menunggu jika ada syarikat bas lain menawarkan perjalanan ke Kuala Lumpur menggunakan jalan alternatif iaitu melalui Muadzam Shah atau mereka terpaksa mengambil keputusan bermalam di bandar ini sementara keadaan pulih seperti sedia kala.
Sementara itu, seorang petugas kaunter sebuah syarikat bas ekspres yang mahu dikenali sebagai Lan, berkata, sejak laluan LPT ditutup, pihaknya terpaksa membatalkan semua perjalanan dan memulangkan semula wang pelanggan yang sudah membeli tiket.
"Sekiranya penumpang mahu ke Kuala Lumpur dan utara, pihaknya kini hanya menggunakan laluan alternatif iaitu menerusi Muadzam Shah-Serting-Kuala Pilah namun mereka perlu membayar tambang yang lebih tinggi.
“Walaupun ada jalan alternatif namun kami tidak membuka banyak ‘trip’ sebaliknya hanya dua trip sehari iaitu pada pagi dan malam kerana jarak yang terlalu jauh dan memakan masa agak lama berbanding laluan biasa,” katanya.
Katanya, ada penumpang yang terdesak untuk ke Kuala Lumpur merayu supaya membuka lebih banyak trip namun permintaan mereka tidak dapat dipenuhi memandangkan kekangan yang hadapi.
0 comments:
Post a Comment