Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 31, 2014

NAJIB SIFATKAN BANJIR KELANTAN MALAPETAKA BESAR

Foto - Sumber


KOTA BAHARU, 30 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bencana banjir buruk yang melanda Kelantan adalah malapetaka besar yang membawa banyak kemusnahan.

Beliau yang meninjau kesan akibat banjir besar itu di Gua Musang dan Kuala Krai, Selasa, berkata kedua-dua jajahan berkenaan merupakan kawasan yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini.

"Mereka (penduduk) menganggap bencana itu bukan sebagai satu fenomena banjir tetapi ia adalah bencana atau malapetaka besar kerana keadaan air naik begitu tinggi dan mendadak sehingga banyak rumah tenggelam," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Baharu, selepas meninjau keadaan di kedua-dua jajahan.

Hadir sama mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir negeri Kelantan.

Najib berkata selain melihat sendiri rumah yang musnah sama sekali dan yang rosak teruk, beliau dimaklumkan penduduk bahawa beratus rumah musnah dan mereka hilang tempat kediaman.

"Saya lihat begitu banyak kerosakan dan ia amat menyedihkan dan menyayat hati," katanya, dengan menambah kerajaan akan mengambil beberapa tindakan untuk membantu mangsa banjir di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai.

Perdana Menteri berkata sekarang ini kerajaan dalam usaha yang berterusan membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan dan juga membantu mereka pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir pulih.

Beliau berkata kerajaan akan membuat taksiran secepat mungkin setiap rumah yang musnah dan rosak akibat banjir.

"Tindakan yang perlu diambil ialah membina rumah sementara supaya dapat didiami oleh mangsa-mangsa banjir yang ketiadaan rumah," katanya.

Najib berkata kerajaan akan membina kediaman kekal untuk mangsa banjir di Kuala Krai di kawasan yang lebih selamat daripada ancaman banjir.

Bagaimanapun, kerajaan pusat akan berunding dengan kerajaan negeri Kelantan memandangkan tanah untuk dijadikan kawasan penempatan baharu itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, katanya.

Perdana Menteri berkata pembinaan rumah di kawasan tanah rizab sungai tidak boleh dibenarkan kerana ia amat berisiko tinggi apabila dilanda banjir.

Ditanya adakah faktor utama berlaku malapetaka itu disebabkan pembukaan tanah yang berleluasa di kawasan berbukit di dua jajahan itu, Najib tidak menolak kemungkinan kecuaian manusia menjadi faktor penyumbang bencana.

"Pembukaan tanah secara berleluasa terutama sekali pembalakan yang berlebihan memberi kesan kepada alam sekitar kerana tidak ada penahan semulajadi untuk menahan air daripada terus ke sungai-sungai dengan begitu pantas," katanya.

Beliau berkata kayu balak yang banyak hanyut dalam sungai membawa kesan iaitu tersangkut di jambatan menyebabkan air tidak dapat mengalir dan melimpah ke kawasan sekitar dan menyebabkan banjir besar.

"Ini semua pengajaran buat kita supaya ambil tindakan menjamin pembangunan yang lestari dan mampan dan peringatan ini Allah SWT kepada kita sebenarnya, jadi kita patut ingat panduan yang diberikan dalam al-Quran, manusia adalah punca, Tuhan tidak menzalimi kita tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri," katanya.

Perdana Menteri memuji tindakan petugas Hospital Kuala Krai ketika sebahagian daripada hospital itu dinaiki air, berjaya menguruskan pesakit dan mangsa banjir yang berlindung di hospital berkenaan dengan baik.

"Apa yang dilakukan oleh jururawat dan doktor di hospital itu adalah di luar kebiasaan, dalam keadaan tertekan, maka khidmat bakti mereka perlu disanjungi," katanya.

Najib juga memuji usaha menyelamat mangsa yang terperangkap akibat bencana tersebut oleh agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia.

Ditanya adakah kos untuk pembinaan rumah dan infrastruktur lain yang rosak termasuk dalam peruntukan RM500 juta kepada mangsa banjir yang diumumkannya baru-baru ini, Najib berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan lain bagi tujuan tersebut.




0 comments:

share2