Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 1, 2014

ISU KEGANASAN WANITA TIDAK BOLEH DISOROK


Khairy Jamaluddin


Kuala Lumpur - Keganasan terhadap wanita bukan merupakan isu yang boleh diterima secara senyap dan disorok, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, remaja lelaki mahupun perempuan, mesti dididik dan melengkapkan diri dengan kesedaran mengenai isu itu dan perlu mula memperkasakan diri mereka mengenai isu berkenaan.

"Isu keganasan terhadap wanita mungkin tidak sensasi seperti isu rasuah, perkauman atau politik tetapi ini adalah isu yang boleh melumpuhkan keseluruhan institusi keluarga.

"Ia boleh meninggalkan parut yang kekal kepada generasi muda yang akhirnya akan membesar untuk menjadi pemimpin negara dan pembuat keputusan," kata beliau pada forum awam, 'Keganasan Terhadap Wanita-Perspektif Lelaki' di Universiti Malaya di sini semalam.

Forum itu dianjurkan Soroptimist International Region of Malaysia (SIROM) sempena 16 hari aktivisme Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai penghapusan keganasan terhadap wanita, bermula Jumaat lepas.

Khairy berkata, sebagai sebuah negara yang hendak mencapai status negara maju, satu daripada mercu tanda penting pembangunan Malaysia ialah kewujudan masyarakat yang saling menghormati dan sokongan antara gender.

"Hanya dengan cara itu, kita boleh memberi tumpuan untuk memaksimumkan sumber manusia kami untuk manfaat negara," kata beliau.

"Kita akan gagal sebagai sebuah masyarakat apabila wanita muda dan kanak-kanak perempuan pun tidak berasa selamat dan bercampur gaul dengan mereka yang berlainan jantina. Kita akan gagal lebih lagi jika wanita diberitahu bahawa ia adalah salah mereka jika perkara ini berlaku adalah disebabkan perlakuan mereka, cara mereka berpakaian, cara mereka berjalan dan bercakap, atau kerana mereka keluar lewat malam.

"Dan, kita benar-benar gagal jika kaum lelaki membesar dengan berfikir bahawa mereka berhak memperlakukan wanita seperti objek dan bahawa tubuh badan wanita adalah hak mereka," katanya sambil berkata, subjek keganasan terhadap wanita bukan hanya isu yang berkaitan wanita. 

Khairy berkata keganasan memberi kesan kepada pelaku dan seluruh keluarga yang sering terpaksa menyaksikan perbuatan itu dan ia juga memberi kesan kepada kanak-kanak dalam isi rumah yang akan membesar dengan berfikir bahawa ia adalah perkara biasa untuk menampar seorang wanita apabila dia bertindak keterlaluan." 

Menurut statistik tahunan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) dari 2013, 70 peratus daripada pelaku dalam kes itu berasal keluarga yang mempunyai sejarah penderaan.

"Ini bermakna rantaian penderaan dan keganasan boleh berterusan selama beberapa generasi akan datang.

"Berdasarkan WAO, 39 peratus wanita pernah didera oleh pasangan masing-masing, iaitu seorang bagi setiap tiga wanita," kata Khairy.

Beliau berkata keganasan terhadap wanita tidak membataskan kelas, bangsa atau agama. Ia bukan jenayah membabitkan orang miskin, tetapi turut melibatkan mereka yang berpendidikan dan kaya yang didapati mendera pasangan mereka.

0 comments:

share2