Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 22, 2016

DISKAUN UNTUK PEMINJAM PTPTN TEPAT PADA MASANYA


PTPTN


Georgetown - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganggap insentif diskaun mulai hari ini sehingga akhir tahun ini tepat pada masanya dan akan menggalakkan mereka membayar balik pinjaman.

Mohd Farhan Najib, 25, yang juga seorang peminjam PTPTN berkata ia adalah langkah yang baik untuk menggalakkan peminjam membayar balik hutang, sekali gus menghindari mereka daripada disenaraihitamkan oleh Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan dihalang daripada melakukan perjalanan ke luar negara.

"Ambil peluang ini untuk bayar kerana PTPTN telah menawarkan diskaun. Selain itu, ramai pelajar tidak dapat membuat pinjaman PTPTN kerana bayaran balik yang diterima masih rendah," katanya.

Seorang lagi peminjam PTPTN, Clarice Ting, 22, berkata rebat 15 peratus untuk bayaran penuh adalah langkah yang baik dan pada masa sama meminta badan yang menyediakan tabung pendidikan untuk mengurang atau menghapuskan yuran kadar faedah kepada mereka yang tidak pernah culas membuat bayaran.

"Bagi mereka yang mempunyai wang, lebih baik mengambil peluang ini menyelesaikan pinjaman tetapi mereka yang kurang berkemampuan boleh membayar penuh atau separuh. Adalah lebih baik jika PTPTN tidak mengenakan yuran faedah kepada mereka ini," katanya.

Ketika membentang Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata insentif itu membabitkan diskaun 15 peratus kepada baki pinjaman untuk penyelesaian penuh.'

Insentif lain termasuk diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus terhadap baki pinjaman dalam satu bayaran serta diskaun 10 peratus bagi pembayaran menerusi potongan gaji atau debit langsung mengikut jadual pembayaran.

Pengurus Besar PTPTN Pulau Pinang, Raja Syariman Raja Halimul Rashid berkata mereka yang berdepan masalah membayar pinjaman mereka perlu tampil untuk berbincang mengenai cara pembayaran.

"Kami boleh membantu mereka yang mempunyai masalah membayar balik pinjaman pendidikan. Saya minta mereka yang berdepan masalah untuk datang berjumpa kami bagi mencari penyelesaian," katanya.


0 comments:

share2