Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 19, 2016

TEMBAKAN MERIAM HARI PENUH SEJARAH


Tembakan meriam hari penuh sejarah


Shah Alam - "Peristiwa ketika menjadi penembak meriam pertama tatkala negara mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah kenangan yang paling sukar untuk dilupakan hingga akhir hayat saya," kata Maludin Limbong, 83, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau yang merupakan bekas tentera Rejimen Artileri Diraja, Pegawai Waran II pada ketika itu memberitahu peritiwa itu adalah pengalaman paling berharga dan dia dipertanggungjawabkan menembak meriam sebagai tanda negara bebas daripada penjajah.

Menurutnya, pada masa itu, sebanyak 101 das meriam ditembak mengiringi tujuh kali laungan kemerdekaan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Saya menjadi orang pertama dan terakhir menembak meriam.

“Kami dalam lima orang bergilir-gilir menembak meriam, semangat pada masa itu sukar untuk digambarkan...rasa semangatnya lain macam,” katanya bersemangat ketika ditemui di kediaman anak bongsunya di Seksyen 4, di sini, semalam.

Menurutnya, tatkala dia diberi tanggungjawab untuk menembak meriam, dia mengakui rasa gugup dan gementar memang ada.

“Pada masa yang sama, saya rasa cukup bertuah kerana diberi penghormatan menjadi penembak meriam pertama.

“Masa itu puluhan ribu rakyat berbilang kaum berkumpul di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi menyaksikan detik bersejarah yang pertama buat negara,” katanya.


'Meriam umpama nyawa saya'

Maludin berkata, ketika itu usianya baharu 24 tahun dan selepas 15 hari menyertai Rejimen Artileri Diraja, dia diberi tanggungjawab berkenaan.

“Sebelum itu, saya sertai Tentera British di Singapura pada 29 Julai 1952 ketika usia belum mencecah 18 tahun,” katanya.

Maludin yang berasal dari Kampung Kundur, Pedas, Negeri Sembilan berkata, dia turut berpeluang menjadi penembak meriam ketika majlis rasmi dan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Mohamad IV pada masa itu.

“Bukan sahaja di Kelantan, seluruh negeri saya pergi menembak meriam termasuk Sabah, pada masa itu meriam hanya ada satu sahaja, bukan macam sekarang setiap negeri ada.

“Meriam ini umpama nyawa saya, ia turut digunakan ketika berhadapan menentang komunis yang mengganas pada ketika itu,” katanya.

Ibarat aur dengan tebing begitulah perumpamaan Maludin dengan meriam, kesan menjadi penembak meriam turut memberi kesan kepada pendengarannya.

“Masa dulu, mana ada penutup telinga seperti sekarang. Ketika bertempur dengan komunis, saya tidur di bawah meriam sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan termasuk diserang hendap.

“Bunyi kuat pada ketika itu masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini,” katanya.

Sempena Hari Kemerdekaan ke-59 dan Hari Malaysia yang disambut kelmarin, Maludin mengingatkan golongan muda agar tidak melupakan sejarah kemerdekaan negara termasuk perjuangan orang-orang terdahulu.


0 comments:

share2