Kuala Lumpur - Anggota Parlimen Bukit Jelutong, Jeff Ooi diminta menyerah diri kepada polis untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya yang disifatkan menyinggung perasaan orang Islam susulan komennya berhubung kematian Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setakat ini tiga lelaki berumur 50 dan 60-an telah ditahan di Shah Alam dan Bandar Utama, Selangor dan seorang lagi di Ipoh, Perak kerana menghina agama Islam di Facebook dan Twitter.
"Kesemua mereka ditahan ekoran daripada posting Facebook dan Twitter Anggota Parlimen DAP Bukit Jelutong, Jeff Ooi yang menyinggung perasaan orang Islam.
"Berikutan itu, beberapa orang pula telah buat tweet-tweet yang sama (menyinggung perasaan orang Islam) di media sosial. Kami sedang menyiasat perkara ini, kami akan panggil dia (Jeff Ooi) tetapi kalau dia mahu senang, saya minta beliau serah diri kepada polis.
"Kalau tidak kami akan cari dia," katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.
Khalid turut menasihatkan ahli politik yang 'bermulut gatal' supaya berhati-hati dalam membuat apa jua percakapan dan posting di laman sosial yang mungkin boleh menyinggung perasaan bangsa dan agama lain.
"Jangan ikut sedap mulut sahaja, fikir dulu 10 kali sebelum buat apa jua posting yang boleh singgung perasaan bangsa dan agama lain. Bila pemimpin masyarakat (seperti) anggota Parlimen membuat komen sedemikian maka pengikut-pengikutnya akan buat benda yang sama tanpa memikirkan perasaan orang lain," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan media sosial.
"Kami akan siasat daripada semua aspek termasuk alat peranti yang digunakan mereka yang mengeluarkan kenyataan sedemikian di media sosial," katanya.
"Beberapa lagi individu akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung perkara ini," katanya.
Setakat ini, sembilan laporan polis diterima berhubung kenyataan Ooi itu yang dikeluarkan pada hari sama Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
0 comments:
Post a Comment