Laluan ke Bandar 32 Bera dan beberapa perkampungan Felda Gugusan Bera bakal terputus hubungan dalam beberapa jam berikutan air Sungai Bera yang semakin naik.
Sehingga jam 3 petang semalam, laluan berdekatan jambatan Sungai Bera itu sudah dinaiki air, dan hanya kenderaan berat sahaja yang boleh melaluinya.
Penduduk, Ismayuddin Suib berkata, keadaan banjir tahun ini hampir serupa dengan bah pada tahun 2007, malah lebih teruk terjejas.
“Jika laluan itu terputus hubungan, kami akan terkepung dan mungkin akan menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan makanan.
“Bagaimanapun, setakat ini, penduduk masih boleh memperoleh barangan keperluan dan stok makanan di beberapa kedai runcit di setiap perkampungan Felda dan pasar raya di Bandar Bera,” katanya.
Berdasarkan pengalaman sebelum ini, penduduk pernah menghadapi kekurangan makanan, dan ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menjual dengan harga yang mahal.
Baginya, persediaan bekalan makanan dan keperluan harian sudah disediakan namun berharap, penduduk di kawasan ini turut diberikan perhatian sekiranya mereka terkepung untuk beberapa hari.
Difahamkan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa jambatan berdekatan Loji Air Bera akan tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua air berdasarkan trend air Sungai Bera yang semakin naik.
Semua penduduk di Felda Sebertak, Tementi, Rentam, Kumai, Kepayang, Purun, Mayam, Triang 3 dan Felda Plantation bersedia dengan bekalan makanan dan keperluan lain.
0 comments:
Post a Comment