Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 17, 2017

[RAUB] RAJA BUNIAN TUNJUK TAPAK KAMPUNG


Raja bunian tunjuk tapak kampung


Terkenal sebagai salah sebuah daerah pengeluar utama raja buah, ada beberapa kampung di Raub turut memiliki nama ‘durian’ di dalamnya termasuklah sebuah kampung tradisional iaitu Kampung Durian Sebatang.

Bagi mereka yang menggunakan jalan Raub-Lipis yang juga laluan utama ke Kota Bharu, Kelantan dari sebelah Pahang Barat pasti terpandang papan tanda kampung ini di sebelah kiri jalan.

Dikatakan mula wujud pada tahun 1870, kampung ini dibuka pada tahun sama malah penulis amat bertuah kerana berkesempatan berjumpa dengan cicit pengasas kampung ini yang juga Imam Masjid Kampung Durian Sebatang.

YM Raja Puji Tengku Abdul Hamid sudi berkongsi cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya termasuk dikongsi bersama seluruh penduduk asal kampung ini.

Menurutnya, moyang beliau bernama Tengku Abdul Samad Tengku Khairul Alam dilahirkan pada tahun 1839 dan mempunyai tiga orang adik beradik.

Raja Hitam tunjuk tapak kampung

“Setelah dewasa, Tengku Abdul Samad dan kaum keluarganya telah merantau dengan menaiki perahu bagi mencari kawasan penempatan baru untuk mereka.

“Beliau berperahu ke hulu sungai dan berjumpa raja bunian, Raja Hitam yang menguasai kawasan hulu sungai.

“Raja Hitam mengarahkan Tengku Abdul Samad menghilir Sungai Dong dan membuat penempatan di satu kawasan di mana sebatang pokok durian akan ditemui,” katanya.

Ceritanya lagi, setelah dua hari berperahu beliau akhirnya ternampak sebatang pokok durian yang sangat besar dan kaum keluarga naik ke darat lalu membuat rumah di kawasan itu.

“Moyang saya itu telah menamakan kawasan itu dengan nama Kampung Durian Sebatang dan peristiwa itu berlaku pada tahun 1970. Maka secara rasminya kampung ini ditubuhkan pada tahun tersebut.

“Kata orang-orang dulu, pokok durian itu sangat besar, boleh dikata seperti sebatang pokok durian gergasi. Jika mahu diukur lebarnya secara kasar, sebanyak 12 buah dulang disusun.

“Buahnya pula boleh dimakan penduduk sekampung, rasanya sangat enak dan penduduk di daerah sebelah pun boleh nampak pokok itu dari kampung mereka kerana saiznya yang amat besar,” katanya.

Katanya lagi, tapak pokok durian gergasi itu sudah hilang namun lokasinya masih diketahui penduduk dan terletak tidak jauh dari kawasan Sungai Dong tempat moyangnya naik selepas menghilir bersama perahu,

Penduduk hidup aman dan harmoni

Sementara itu, Ketua Kampung, Mohd Fuad Samsudin yang ditemui berkata, pada hari ini terdapat 180 buah rumah didiami 500 penduduk di kampung ini.

“Setakat ini kehidupan penduduk berjalan dengan lancar malah sebarang isu atau masalah yang diutarakan penduduk dapat diselesaikan dengan baik melalui permuafakatan dan perbincangan.

“Tidak sukar mengetuai komuniti di sini kerana setia penduduk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik walaupun setiap individu mempunyai cara pemikiran dan karakter yang berbeza.

Ujarnya, keprihatinan dan sikap positif mendekatkan pemimpin dan penduduk setempat sekali gus mewujudkan kerjasama dalam setiap aspek yang merangkumi kehidupan masyarakat.

“Besar harapan kita mahu melihat masyarakat di kampung ini dapat meneruskan nilai positif seperti permuafakatan, sikap toleransi dan penekanan mengenai kepentingan jalinan hubungan yang baik antara kita semua.

“Kerjasama dalam semua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak pengurusan kampung dan masjid juga perlu diteruskan demi kebaikan kita bersama,” katanya.


0 comments:

share2