Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 25, 2016

MEREKA TIDAK AKAN TERLEPAS


Mereka tidak akan terlepas


Seremban - Pemilik kenderaan yang dikesan menggunakan laluan kecemasan di lebuh raya tidak akan terlepas daripada tindakan saman polis.

Ini termasuk kenderaan yang didapati menggunakan laluan kecemasan ketika insiden kemalangan di Kilometer 228.6 Lebuhraya Utara- Selatan, berdekatan Rembau, Ahad lalu sehingga menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa lewat tiba di tempat kejdian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Md Dali Wahid berkata, kesemua pesalah lalu lintas yang tidak mengikut undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan yang dikeluarkan Bukit Aman.

Beliau berkata, seperti diketahui, laluan kecemasan hanya boleh digunakan untuk mereka yang mempunyai hal kecemasan sahaja terutama pasukan penyelamat dan keselamatan.

“Saya sangat kesal dengan segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan menggunakan laluan kecemasan dengan sesuka hati.

“Misalnya kes di Kilometer 228.6 tempoh hari, jelas menunjukkan ramai pengguna kenderaan mengunakan lorong kecemasan sehingga menghalang laluan ambulans.

“Ini secara tidak langsung menyukarkan operasi menyelamat, sekali gus memberi kesan kepada mangsa kemalangan yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Md Dali berkata, polis trafik kini sedang mengesan pengguna kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan tersebut sebelum mengeluarkan tindakan saman terhadap kesemua mereka yang terlibat.

Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah kemalangan tragis melibatkan nyawa dua beradik.

Difahamkan, pihak ambulans yang dihubungi terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk tiba sedangkan masa diambil sepatutnya cuma 15 minit untuk ke lokasi kejadian berikutan sikap pengguna jalan raya menyalah gunakan lorong kecemasan.

Dua beradik berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC cedera parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, bagaimanapun kelewatan menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di hospital berkenaan.


0 comments:

share2