Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 25, 2016

[KUANTAN] IBU TABAH BESARKAN LIMA ANAK


Ibu tabah besarkan lima anak


Hanya berbekalkan gaji RM600, seorang ibu tunggal gigih membesarkan lima anaknya yang berusia 10 hingga 17 tahun selepas kematian suami pada 2013.

Mislia Wan Ibrahim, 49, berkata, selain pendapatan yang diterima sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad itu, dia juga turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450.

Menurutnya, bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan bulanan diperlukan.

“Tapi, sumber kewangan yang ada terpaksa saya catu...maklum sajalah kos sara hidup sekarang, semuanya mahal.

“Anak sulung saya, Haris Hamdani Mukhlis, 17, ambil upah bekerja di pasar malam, empat anak lain pula masih bersekolah.

“Walaupun saya kurang setuju, tapi dia bertegas mahu bantu saya dapat wang belanja lebih,” katanya kepada pemberita ketika menerima sumbangan keperluan sekolah menerusi Program Sepasang Kasut Sebuah Harapan@RM25 di Taman Tas, di sini.

Mislia berkata, dia hanya mampu menyediakan keperluan persekolahan anak-anak secara sederhana .

Katanya, empat anaknya, Muhamad Safwan, 14, dan Puteri Khairul Bariyah, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan manakala Muhamad Syafik, 12 dan Nabilah Saleha, 10, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad.

“Saya bersyukur dan hargai usaha pihak berkenaan yang sudi bantu saya sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, program itu merupakan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dengan kerjasama Reka Seni Cetak.

Wan Emril Nizam berkata, pihaknya melancarkan program berkenaan sejak tahun lalu sebagai platform untuk mendapatkan bantuan berterusan kepada golongan memerlukan.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan sumbangan pihak yang berminat sama ada persendirian mahupun syarikat korporat bagi menjayakan program itu menjelang Ramadan tidak lama lagi.

“Bantuan seperti keperluan harian dan kelengkapan persekolahan antara sumbangan yang diperlukan.

“Setakat ini, GPMS sudah mengenal pasti beberapa penerima yang layak untuk menerima sumbangan seterusnya,” katanya.

Pada program itu, empat anak Mislia menerima sepasang kasut setiap seorang, seragam sekolah dan barangan keperluan harian selain wang tunai.


0 comments:

share2