Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 9, 2017

KERAJAAN KOMITED SEDIA PELUANG PEKERJAAN


Najib Tun Razak


Putrajaya - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited menyediakan peluang pekerjaan yang luas untuk graduan dengan memastikan ekonomi negara terus berkembang.

Beliau berkata kira-kira 300,000 graduan daripada universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej akan tamat pengajian setiap tahun dan mereka mengharapkan pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu mengembangkan ekonomi negara, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia akan membawa kepada penambahan peluang pekerjaan. Kita tidak mahu apabila ada pertumbuhan ekonomi tetapi peluang pekerjaan tidak bertambah.

"Bukan perkara mudah menyediakan peluang pekerjaan kepada 300,000 graduan setiap tahun tetapi kerajaan berazam melakukan yang terbaik untuk generasi muda negara.

"Saya percaya kita boleh mengembangkan ekonomi negara sekali gus menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada anak-anak kita," katanya pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana di sini malam tadi.

Majlis berbuka puasa itu dihadiri kira-kira 1,200 pelajar universiti awam dan swasta, politeknik, alumni pelajar luar negara, badan bukan kerajaan (NGO) dan gabungan belia.

Hadir sama ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Najib berkata kerajaan berjaya menyediakan banyak peluang pekerjaan malah pelaksanaan dasar transformasi negara sejak 2010 berjaya menambah 2.2 juta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan komited untuk terus menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dengan yuran yang rendah kepada mahasiwa di negara ini.

"Universiti awam di negara ini adalah satu-satunya perkhidmatan di mana yurannya tidak pernah naik sejak merdeka malah bantuan untuk pelajar turut disediakan," katanya.

Najib juga mahu Malaysia menjadi hab pendidikan tinggi di rantau ini, dengan menarik lebih ramai pelajar asing khususnya dari Asean dan Timur Tengah untuk melanjutkan pengajian di sini.

Pada majlis itu, Najib dan Rosmah turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 80 anak-anak Permata.


0 comments:

share2