Raub - Tidak sampai satu minit dua perompak berjaya melarikan tiga dulang emas dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas, di sini pada jam 1.45 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika umat Islam sedang mengerjakan solat Jumaat.
“Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 petang di mana dua orang lelaki memakai helmet penuh masuk ke kedai emas terbabit.
“Dua lelaki terbabit kemudiannya bertindak memecahkan cermin meja terletaknya barangan kemas di kedai tersebut lalu melarikan sekitar tiga dulang barang kemas,” katanya.
Tambahnya, polis mengesyaki kes terbabit dilakukan lebih dari dua orang suspek dan dikatakan menggunakan senjata tukul dan pistol, namun ia masih dalam siasatan.
Katanya, polis menerima laporan sejurus selepas kejadian berlaku dan telah melakukan Ops Tutup bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes terbabit.
“Berdasarkan siasatan, kami menemui sebuah kereta Perdana di belakang premis perniagaan yang terletak di Taman Raub Jaya 1.
“Kami dapati kereta ini tidak punyai nombor pendaftaran dan disyaki ditinggalkan oleh suspek yang kemudiannya dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan lain,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, pihak polis akan melakukan siasatan ke atas kenderaan terbabit bagi mengesan penjenayah tersebut.
Menurutnya, kes terbabit di siasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
“Kami percaya tindakan pantas yang dilakukan oleh suspek menunjukkan bahawa ia telah dirancang sejak sekian lama,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kepada orang ramai agar sering berwaspada dengan keadaan sekeliling dan jika seseorang melakukan tindakan mencurigakan masuk ke dalam premis perniagaan, diminta mengambil langkah sewajarnya.
“Ia adalah satu bentuk kesedaran buat masyarakat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling, sekali gus mengelak kejadian sebegini berulang,” katanya.
Sementara itu, jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala pemilik premis terbabit enggan ditemu bual.
0 comments:
Post a Comment