Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 17, 2017

[JENGKA] 'KITA TAK PAKSA IBU BAPA'


‘Kita tak paksa ibu bapa’


Jumlah sumbangan PIBG sebanyak RM79 bagi Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 11 (SK Jengka 11) diputuskan dan mendapat sokongan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung PIBG, tahun lalu.

Yang DiPertua PIBG sekolah tersebut, Kamaruzaman Mat Yusof berkata, mesyuarat agung diadakan penghujung tahun lalu, di mana Ahli Jawatankuasa PIBG mencadangkan kenaikan sebanyak RM16 menjadikan jumlah RM75 setiap pelajar, berbanding RM59 tahun sebelumnya.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu dibuat apabila tiada sebarang bantahan daripada ibu bapa sewaktu ditanyakan di dalam mesyuarat berkenaan.

“Ibu bapa tak membangkang sewaktu ia diusul dalam mesyuarat. Oleh sebab tiada yang membangkang, maka ia jadi keputusan sebulat suara. Sebab itu kita laksanakan kadar baharu itu pada tahun ini. 

“Mesyuarat juga bersetuju bahawa bayaran dikutip per kepala bukan per keluarga. Bagi pelajar atau anak kedua dan seterusnya, diskaun RM18 diberikan.

“Bermakna sekiranya dua pelajar sekeluarga, ibu bapa atau penjaga perlu membayar RM79 anak pertama dan pertambahan RM57 sahaja bagi anak kedua menjadikan total sebanyak RM132.

“Begitu juga bagi anak ketiga dan seterusnya. Hanya bayar RM57,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Kamaruzaman berkata, sumbangan PIBG adalah bagi tujuan program peningkatan akademik yang dirangka pihak sekolah setiap tahun.

Katanya, yuran dikutip seperti yang diamalkan pada mana-mana persatuan, tetapi ia berbeza kerana disebut sumbangan. 

“Kalau nama sumbangan bererti ibu bapa yang tak mampu boleh dikecualikan dari membayarnya. Dengan syarat, ibu bapa atau penjaga hendaklah datang ke pejabat sekolah atau bertemu saya untuk memaklumkan hal tersebut.

“Malah ada ibu bapa yang langsung tak buat sumbangan. Kita tak paksa dan tidak pula akan cari mereka untuk bayar. Tiada paksaan dalam sumbangan PIBG. Cuma kita harap ibu bapa boleh bantu pihak sekolah dalam memastikan pendidikan anak-anak terpelihara dan mencapai sasaran maksima,” katanya.

Mengulas mengenai kutipan sumbangan yang dibuat pada awal pembukaan persekolahan, Kamaruzaman berkata, ini bagi memudahkan pihak sekolah merencana perbelanjaan sejajar dengan program yang telah disusun.

“Kita ingin memudahkan pihak sekolah. Namun jika ia bertentangan dengan dasar pendidikan negara, kita akan perbaikinya di masa akan datang.

“Ruang sentiasa terbuka untuk berbincang. Berjumpalah dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian.


0 comments:

share2