Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 31, 2015

BERSIH 4.0 TERIMA DANA DARIPADA SHANGHAI




Kuala Lumpur – Hampir 1,000 rakyat Malaysia berketurunan Cina menyertai perhimpunan Bersih 4 di sebuah restoran di Shanghai, China baru-baru ini.

Bersih Shanghai dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berjaya mengumpulkan dana puluhan ribu ringgit untuk menaja perhimpunan haram Bersih 4 di Malaysia.

“Dana ini disumbangkan oleh ahli perniagaan rakyat dan golongan eksekutif di Shanghai,” kata kenyataan itu semalam.

Perhimpunan Bersih 4 yang didominasi oleh kaum Cina gagal mendapat sambutan majoriti rakyat Malaysia apabila hanya seramai 20,000 orang menyertai perhimpunan selama dua hari berkenaan.

Perhimpunan itu turut membangkitkan kemarahan penyokong PAS dan UMNO apabila gambar Ulama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipijak oleh peserta Bersih 4 dalam satu upacara semalam.

Read more »

[KUANTAN] AGIH SARAPAN SECARA PERCUMA


Agih sarapan secara percuma


Inisiatif sekumpulan sukarelawan mengagihkan sarapan pagi kepada pengunjung di Taman Gelora pada setiap hari Ahad di sini bukan sahaja dilihat sungguh harmoni tetapi dalam masa sama dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

Pengarah program, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berkata, pada permulaan, dia bersama enam rakan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengunjung di situ pada Ramadan lalu.

Menurutnya, melihat respons positif, aktiviti berkenaan diteruskan sehingga hari ini.

“Kita mengagihkan sarapan pagi ini antara jam 8 hingga 10 pagi dan saya gembira apabila pengunjung yang beriadah di sini dapat menikmati makanan yang disediakan.

“Setiap menu yang disediakan adalah sumbangan rakan-rakan yang sudi menghulurkan bantuan dan kami melakukannya secara sukarela sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program Santai “Breakfast On Us” di sini, semalam.

Hadir memeriahkan program, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Syed Azimal Amir berkata, walaupun aktiviti tersebut hanya diadakan pada hari Ahad, namun kehadiran mereka kini semakin dinanti-nantikan.

Beliau berkata, kebanyakan daripada pengunjung sudah menjadi sebahagian daripada rakan mereka malah turut menyumbang untuk aktiviti tersebut.

“Kita mahu masyarakat berbilang kaum yang ada saling memahami dan kita boleh bergaul dengan baik sebagai rakyat Malaysia.

“Usaha memupuk perpaduan bukan hanya memerlukan program yang besar-besar tetapi ia bermula daripada kecil-kecilan sebegini,” katanya.

Syed Azimal Amir berkata, program itu akan diadakan sehingga 16 September depan dan pihaknya akan merangka program lain untuk kebaikan komuniti.

Bagi pengunjung, S.Sivananda, 45, dia sering beriadah di Taman Gelora pada setiap hujung minggu dan melihat kumpulan tersebut mengagihkan makanan percuma kepada pengunjung.

Katanya, pada mulanya dia agak segan namun lama-kelamaan, mereka sudah menjadi kawan dan pada setiap Ahad mereka akan berkumpul di situ.

“Bagi saya, aktiviti ini sangat baik kerana kita dapat lihat pelbagai kaum bersama-sama beriadah dan selepas itu mereka menikmati sarapan pagi yang disediakan.

“Paling menarik, menu yang disediakan juga pelbagai antaranya nasi lemak, macaroni, sandwich, rendang dan pulut malah menu ini berbeza setiap minggu,” katanya.

Tidak ketinggalan, Wee Geen Hiang, 51, pula melahirkan kagum terhadap usaha yang dilakukan kumpulan sukarelawan berkenaan.

Read more »

PAS KESAL PESERTA BERSIH PIJAK GAMBAR HADI


Mohd Amar Abdullah


Bachok - Pas hari ini melahirkan rasa kesal terhadap tindakan peserta perhimpunan haram Bersih 4 yang didakwa memijak gambar Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana tindakan itu dilihat telah menghina Abdul Hadi.

"Kalau betul benda itu berlaku, bukan edit (disunting) maka memang tak sepatutnya berlaku. Gambar siapa-siapapun, terlebih lagi pemimpin tak sepatutnya kita hina, itu pendirian kitalah.

"Bukan setakat pemimpin Pas, mana-mana pemimpin pun. Kita sendiri pun tak pernah pijak gambar pemimpin (lain) walaupun kita berlawan dengan Umno atau siapa (pemimpin parti) pun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN) Bachok di sini.

Mohd Amar mengulas tindakan peserta Bersih 4 yang menjadi viral di media sosial selepas didakwa memijak gambar Abdul Hadi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata penyertaan peserta Melayu dalam perhimpunan Bersih kali ini berkurangan apabila Pas tidak terlibat secara aktif berbanding beberapa siri perhimpunan itu sebelum ini.

"Tapi pendirian Pas, kita tak arah dan tidak larang (anggota parti untuk sertai Bersih 4). Mereka (ahli parti) yang pergi atas (kapasiti) individu, bukan atas (arahan) parti," katanya.

Pas menarik diri daripada menyertai perhimpunan berkenaan selepas memutuskan hubungan dengan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, pada muktamar tahunan parti itu baru-baru ini.

Read more »

PEMUNGUT HUTANG MAUT DITEMBAK




Georgetown – Seorang pemungut hutang maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang tidak dikenali di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun dan merupakan duda anak satu, dipercayai dalam perjalanan ke rumah kenalannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata lelaki itu sedang menunggang motosikal sendirian dari arah Jelutong ke Gelugor sebelum ditembak.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang tidak dikenalinya sebelum jatuh atas jalan raya,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya suspek dipercayai lebih daripada seorang, menaiki sebuah kereta dan mereka terus melarikan diri selepas kejadian tembakan berkenaan.

Zakaria berkata pemeriksaan oleh Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor menemui beberapa kesan tembakan di kepala dan badan mangsa.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kejadian itu hanya disedari seorang pemandu bas lelaki Rapid Penang yang melalui kawasan berkenaan dan terdengar bunyi tembakan, dia kemudiannya melihat menerusi cermin sisi dan mendapati mangsa telah jatuh sebelum menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan polis turut menemui satu kesan tembakan di belakang bas berkenaan.

Zakaria turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Read more »

PKR TETAPKAN KERJASAMA BERSYARAT


PKR tetapkan kerjasama bersyarat


Johor Bahru - Meskipun menyatakan kesediaan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang berkepentingan, PKR Ayer Hitam menyatakan ia tetap bersyarat.

Ketua Cabangnya, Willham Siau berkata, meskipun bersifat terbukan namun cabang tersebut berpendirian untuk menolak kerajaan dengan pihak yang tidak berprinsip keadilan selain tidak menghormati Raja-Raja.

“Walaupun kita sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan negara dan rakyat, namun kita hanya akan berbuat demikian berasaskan Rukun Negara, Perlembagaan dan prinsip keadilan.

“Pendirian PKR Ayer Hitam adalah jelas, kami tidak akan bekerjasama dengan orang yang menentang raja; kami tidak akan bekerjasama dengan orang yang mengugut raja; kami tidak akan bekerjasama dengan orang yang menghina raja; dan kami tidak akan bekerjasama dengan orang yang cuba memperdayakan Raja,” katanya dalam satu kenyataan.

Read more »

POLIS CARI SAKSI KES SENJATA API

Polis cari saksi kes senjata api


Sungai Petani - Seorang lelaki diminta tampil bagi menjadi saksi penting untuk memberi keterangan di Mahkamah Sesyen 4 Sungai Petani berhubung kes senjata api.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Muda, Deputi Superintendan S Saravanan berkata, saksi berkenaan dikenali, Saravanan Muniandy, 38, beralamat di Jalan Telaga Air, Butterworth.

“Kita memerlukan individu ini untuk membantu memberi keterangan bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Menurutnya, orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh hubungi Inspektor Syamsul Sinring di talian 014-2841521.

Read more »

MISI 34 JAM BERSIH 4.0, AKHIRNYA KE MANA?


Himpunan Bersih 4.0 masuk hari kedua


Tempoh 34 jam yang dilalui ribuan peserta himpunan Bersih 4.0 bukan satu tempoh singkat jika dialami sendiri di lokasi dengan pelbagai cabaran termasuk cuaca yang panas terik dan hujan, faktor keselamatan, tempat untuk berehat atau tidur dan sebagainya.

Soalnya setelah tempoh panjang itu dilalui, tercapaikah matlamat dan tuntutan yang dikemukakan? Adakah ia didengari pihak yang disasarkan penganjur dan peserta Bersih 4.0?

Lima tuntutan Bersih 4.0 adalah pilihan raya bebas dan adil, sebuah kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.

Namun, sepanjang berlangsungnya himpunan tersebut, laungan mahupun gesaan mereka termasuk para pemimpin yang menyertai bantahan itu hanyalah mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Kalimah ‘undur, undur, undur Najib’ terus menjadi kalimat berhantu yang diulang ucap peserta. Tidak cukup dengan itu, pelbagai poster, sepanduk mahupun plakad dipamerkan yang mengutuk Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Persoalannya, adakah lima tuntutan yang digariskan untuk diperjuangkan Bersih 4.0 sampai kepada pihak yang ditujukan iaitu kerajaan dengan cara seperti ini?

Najib semalam mengulang pendirian bahawa beliau sama sekali tidak akan berundur sebaliknya akan terus mempertahankan negara daripada sebarang desakan yang cuba ditimbulkan kumpulan tertentu.

Sementara itu, kemunculan sebanyak dua kali bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di lokasi perhimpunan nyata disambut meriah para peserta namun ada juga yang kurang menerima kehadiran beliau dan menganggap apa yang berlaku hari ini berpunca daripada bekas pemimpin negara itu.

Bukan satu fenomena baharu, kelmarin menyaksikan ibu negara 'diselimuti' gelombang kuning apabila ribuan peserta Bersih membanjiri sekitar Dataran Merdeka meskipun kerajaan telah mengharamkan pemakaian baju T berkenaan.

Sepanjang tempoh 34 jam itu, pihak berkuasa mengawal dan memberi kerjasama yang baik malah turut dipuji peserta-peserta himpunan itu.

Semuanya bermula dengan tenang meskipun gamat dengan pelbagai bunyi jeritan, laungan serta tiupan vuvuzela namun ia berakhir dengan suasana yang agak tegang termasuk cubaan mencederakan peserta dengan mercun, pergaduhan kecil serta kedegilan sebahagian kecil peserta yang enggan pulang selepas tamat laungan merdeka.

Suspek baling mercun itu telah pun ditahan polis dan empat mangsa yang cedera telah menerima rawatan namun tiada kecederaan yang serius dilaporkan.

Dalam pada itu, menurut Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) Seksyen 20 (1) (c), Akta 736 terdapat larangan para peserta membawa kanak-kanak ke sebarang himpunan namun, masih kelihatan kanak-kanak termasuk bayi dalam kumpulan bantahan tersebut.

Himpunan kali ini juga menyaksikan gelombang anak muda dari kaum Cina yang didakwa sebagai kebangkitan ‘real Malaysian’ oleh salah seorang peserta yang ditemui kelmarin.

Kelibat pemimpin pembangkan turut kelihatan sejak hari pertama himpunan itu diadakan dan pelbagai aktiviti mengisi slot sepanjang 34 jam itu termasuk ucapan, nyanyian, puisi dan banyak lagi.

Disebalik kedegilan beberapa peserta dan orang awam yang masih berada di Datara Merdeka meskipun telah diarahkan bersurai berulang kali sejurus laungan merdeka dilaungkan.

Kawasan Dataran Merdeka lengang kira-kira 1.30 pagi meskipun masih kelihatan beberapa orang awam duduk-duduk di tepi-tepi jalan.

Sekali lagi, kita ajukan persoalan ini, setelah 34 jam berlalu, tercapaikah misi Bersih 4.0 atau ia hanya meninggalkan sisa-sisa kotoran di ibu negara saat negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-58 hari ini?

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-58 Malaysiaku. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Read more »

DI MANA GHB HENDAK BERTANDING?


(K) RIDHUAN TEE ABDULLAH


Memahami sosiobudaya politik Malaysia, seperti yang semua sedia maklum, kerusi kawasan majoriti Melayu sepatutnya ditandingi oleh calon Melayu.

Manakala, calon bukan Melayu, di kawasan majoriti mereka. Pernyataan ini bukan perkauman, tetapi itulah realiti politik, dalam konteks semenanjung. 

Biarkan Umno, Pas, PKR atau mungkin GHB bergasak sesama mereka di kawasan majoriti Melayu. Manakala, MCA, Gerakan dan DAP di kawasan majoriti Cina.

Untuk kaum India, tidak ada satu pun kawasan mereka mempunyai majoriti. Kerusi yang dimenangi sebelum ini adalah di kawasan majoriti Melayu (BN). Sedikit sangat kerusi yang dimenangi di kawasan majoriti Cina mewakili ultra kiasu. 

Jika kita pandai berstrategi dan memahami real politik, kaum yang tidak mempunyai kawasan majoriti, tidak sepatutnya bertanding. Jika wakil kaum mereka diperlukan bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan selepas PRU, maka lantiklah mereka sebagai senator.

Perkara ini pernah dilantun oleh MB Negeri Sembilan, tetapi diprotes hebat oleh ultra kiasu. Senario ini bukan sahaja di Negeri Sembilan, malah di semua negeri di semenanjung. Kerusi yang dimenangi oleh MCA, Gerakan dan MIC hari ini adalah kerusi ihsan kawasan majoriti Melayu. 

Nilaikanlah toleransi orang Melayu (Islam). Sanggup mengundi calon tidak seagama dan tidak sebangsa, tinggalkan calon seagama sebangsa, hanya kerana toleransi dan mendengar arahan parti.

Kenapa sukar sangat orang lain melakukan sedemikian? Kenapa ultra kiasu tidak meletakkan calon Melayu mereka bertanding di kawasan majoriti Cina seperti Kepong, Seputeh, Petaling Jaya dan lain-lain?

Namun, pada PRU akan datang, tidak mustahil ultra kiasu akan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina bagi menunjukkan mereka tidak rasis. Sudah pasti calon Melayu itu akan menang, kerana ultra kiasu tahu, hanya seorang dua sahaja Melayu dalam parti tersebut dan mereka tidak boleh membuat apa-apa keputusan.

Calon dan kawasan berasaskan kaum ini perlu dilihat secara serius, terutama oleh BN jika ingin terus kekal berkuasa dalam PRU akan datang. Jika sekiranya formula bertanding mengikut kuota parti terus dilakukan, tidak mustahil BN (Umno) akan kehilangan lagi kerusi. 

Siapakah yang untung dalam permainan ini kalau bukan ultra kiasu? Mereka menambah kerusi setiap kali PRU. 

Memahami situasi masa kini, pendekatan berstrategi perlu diberikan perhatian serius. Apatah lagi dengan kemunculan GHB yang sudah pasti akan memecahkan lagi undi Melayu. 

Di kawasan mana GHB akan bertanding? Apakah mereka yang menang atas tiket Pas sebelum ini akan terus mahu mengekalkan kerusinya menentang Pas sendiri, selain berhadapan parti politik lain yang pasti akan bertanding?

GBH melakukan satu dosa besar jika menentang Pas, yang telah menaikkan mereka hingga ke tahap ini. Apakah ultra kiasu akan memberi laluan kepada GBH untuk bertanding di kawasan kubu kuatnya. Jauh panggang dari api. 

Tidak mustahil, GHB akan bertanding menentang saudara seagamanya sendiri seperti yang pernah berlaku dalam sejarah IRC (Ikram) itu sendiri. IRC yang kini majoriti menganggotai GHB, masih ada dalam Pas, Umno dan Abim. 

Strategi mereka masuk ke dalam Pas untuk menguasai Pas telah dihidu oleh Pas. Begitu juga kehadiran mereka dalam Umno dan lain-lain pertubuhan. Strateginya pecahkan, bagi tujuan menguasai.

Saya menasihatkan IRC supaya berhenti melakukan kerja-kerja ini. Belajarlah erti ikhlas dalam perjuangan. Buatlah kerja-kerja yang lebih bermanfaat daripada merosakkan jemaah lain. Kamu tidak akan berjaya. 

Lebih baik buat kerja-kerja melondehkan strategi musuh Islam. Misalnya, kajian bertanyakan rakyat Malaysia sama ada Malaysian 1st, Malay 1st atau Muslim 1st. 

Sudah tentu Melayu Islam yang faham Islam, akan jawab Muslim 1st. Bukan Islam pasti akan jawab Malaysian 1st. Soalan dengan bukan Melayu tidak berkaitan dengan Tuhan, sedangkan kepada Melayu (Islam) secara langsung berkaitan.

Dalam Islam, kita diajar meletakkan agama di tempat yang paling atas, baharulah yang lain-lain. Meletakkan perkara lain di atas melebihi agama, boleh menjejaskan akidah dan tidak mustahil boleh menjadi kufur.

ALLAH tidak tanya sumbangan kita kepada bangsa atau negara. ALLAH akan tanya sumbangan kita kepada agama. Dalam agama sudah terangkum perkara berkaitan bangsa, negara dan lain-lain.

Cuba buat kajian bertanyakan soalan BM 1st, Mandarin 1st, atau Tamil 1st. Sepatutnya semua akan menjawab BM 1st. Apakah mungkin pilihan tersebut menjadi kenyataan? Moga Sambutan Kebangsaan ke-58 hari ini memberi sinar baharu kepada kita semua, bukannya gerakan harapan baharu. Merdeka!

Read more »

APA TUJUAN TUN M HADIRI PERHIMPUNAN?


'Tindakan Tun M beri tauladan kurang baik'


Melaka - Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, menimbul persoalan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Abdul Azeez berkata, beliau kesal dan sedih tindakan negarawan ulung yang disanjung tinggi dan dihormati ramai itu.

“Saya nak tanya bukan membidas, cuma nak tahu kenapa Dr Mahathir hadir ke perhimpunan Bersih 4.0. Apakah signal yang diberikan beliau biarpun hadir ke perhimpunan ini walaupun lima atau 10 minit.

“Pada hari ini (semalam) pembangkang sudah menggambarkan Dr Mahathir sebagai negarawan ulung menyokong apa yang dibuat penganjur Bersih 4.0,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Tangga Batu di Dewan Kompleks Penjara Sungai Udang, Sungai Udang, di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, berikutan tindakan pemimpin itu, beliau turut menerima banyak pertanyaan khususnya dari ahli Umno di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat memberikan sebarang jawapan dan menyifatkan tindakan Tun Mahathir boleh memberi tanggapan salah kepada ahli Umno.

Read more »

EMPAT DITAHAN SERTAI BERSIH DI ALOR SETAR


pdrm


Alor Setar - Empat lelaki memakai kemeja-T dengan perkataan Bersih 4.0 ditahan polis sewaktu menyertai perhimpunan itu di hadapan Menara Alor Setar, malam tadi.

Penahanan keempat-empat lelaki itu pada pukul 9 malam, disahkan Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.

Kesemua lelaki itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan disiasat mengikut Akta Mesin Cetak kerana memakai baju bercetak slogan Bersih 4.0, katanya.

Kira-kira 200 peserta berhimpun di hadapan Menara Alor Setar bermula 8.45 malam dan bersurai sejurus selepas 12 tengah malam.

Read more »

PENGACAU BALING MERCUN, EMPAT DILAPOR CEDERA


Bersih 4.0


Shah Alam - Empat orang awam cedera selepas seorang lelaki dilaporkan membaling mercun ke arah orang awam yang sedang berehat berdekatan Dataran Merdeka, malam tadi.

Menurut saksi, lelaki tersebut memakai baju T hitam dan cuba membaling lebih banyak mercun, namun berjaya digagalkan oleh orang awam yang lain.

"Lelaki tersebut dikepung oleh peserta perhimpunan Bersih 4.0," kata saksi dipetik laporan The Star.

Pegawai perubatan memberitahu, kecederaan mangsa tidak membimbangkan.

"Cuma kesan terbakar, itu sahaja," kata pegawai tersebut.

Sementara itu, perhimpunan Bersih 4.0 hari ini yang bersurai dengan aman setakat jam 12.45 tengah malam.

Read more »

LAUNGAN MERDEKA BERGEMA TEPAT DETIK 12 MALAM


Laungan Merdeka bergema tepat detik jam 12 malam


Kuala Lumpur - Rakyat di seluruh negara menyambut ambang Merdeka, menandakan bermulanya sambutan Hari Kebangsaan 2015 di seluruh pelusuk negara dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi.

Acara kemuncak sambutan tertumpu di perkarangan Stadium Bukit Jalil dengan acara mengira detik 12 malam menandakan tibanya 31 Ogos, hari kemerdekaan negara.

Laungan "Merdeka!" dan nyanyian lagu Negaraku dinyanyikan penuh bersemangat oleh ribuan hadirin pada detik itu sebelum cahaya bunga api menerangi langit di kawasan itu.

Di SHAH ALAM, ribuan pengunjung menyertai program ambang Merdeka peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan.

Program itu dihadiri Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan exco kerajaan negeri.

Selain bacaan ikrar Rukun Negara, program itu turut dimeriahkan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan persembahan bunga api.

Di KUCHING, majlis kesyukuran diadakan di Masjid Bahagian Limbang menandakan sambutan ambang itu dengan dihadiri antaranya Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Di JOHOR BAHARU, antara acara menarik menyaksikan pelancaran Projek Johor Free Wifi, yang bakal menyaksikan sebanyak 135 kawasan hotspot wifi percuma di seluruh Johor hari ini.

Di KUALA NERUS, lebih 10,000 orang membanjiri sekitar Kompleks Sukan Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyambut malam ambang Merdeka.

Di SEREMBAN, sambutan itu dimeriahkan dengan perarakan 16 buah kereta berhias daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, parti politik serta swasta. 

Di MELAKA, sambutan di Jalan Hang Tuah diserikan dengan nyanyian dondang sayang dan tarian joget yang sinonim dengan negeri itu.

Di KANGAR, sambutan ambang Merdeka itu didakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Sirajuddin Putra antaranya meliputi persembahan kebudayaan dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Read more »

AMANAT NAJIB JUJUR, BERTERUS-TERANG


Salleh Said Keruak


Kuala Lumpur - Amanat Hari Kebangsaan 2015 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi bersifat jujur dan berterus-terang, khususnya berkaitan kedudukan ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berharap rakyat dapat menerima dan memahami intipati amanat itu dengan minda terbuka demi masa depan negara yang gemilang.

"Dengan asas ekonomi negara yang kukuh, saya yakin negara akan dapat memacu masa depan yang gemilang," katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Najib ketika menyampaikan amanat itu berkata beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi reda.

Selain itu, katanya Malaysia berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, amanat berkenaan sangat bertepatan dengan situasi semasa negara, dan menyeru rakyat menghidupkan semangat solidariti.

"Beliau (Najib) mengingatkan seluruh rakyat berbilang kaum supaya mengenang semula semangat kemerdekaan kerana ia penting untuk menghidupkan semangat cintakan negara," kata Presiden MCA itu.

Tiong Lai berkata, mesej supaya rakyat berganding bahu dan sehati sejiwa menghadapi apa jua rintangan yang datang, amat penting supaya dapat sama-sama berjuang menyokong dasar kerajaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata mesej Perdana Menteri itu mestilah diingati, difahami serta disemat di sanubari rakyat.

"Perdana Menteri menggariskan beberapa fakta penting antaranya matlamat tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan yang membawa kepada kebebasan dan kehidupan jauh lebih maju hari ini, perlu dikenang dan dihargai," katanya.

Read more »

Sunday, August 30, 2015

ANONYMOUS MALAYSIA ANCAM BOM KL BERJAYA DITANGKAP!




Tertumpas sudah tiga individu yang dikenali sebagai Anonymous Malaysia yang dipercayai terbabit dalam memuat naik klip video provokasi menerusi laman Youtube bertajuk ‘We Will Blast Malaysia‘.

Lebih menarik penangkapan mereka dilakukan dalam beberapa serbuan di Johor Bahru, lewat Jumaat tidak sampai 24 jam video tersebut disebarkan di media sosial sempena perhimpunan haram Bersih 4.0.

Menurut laporan portal Agenda Daily, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan penahanan berkenaan berkata, semua mereka berusia 18 hingga 21 tahun.

Suspek diberkas hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman selepas mereka mengancam untuk menggodam sistem komputer dan laman web agensi kerajaan Malaysia pada lewat Khamis.

Dalam serbuan mengejut itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan peribadi milik individu terbabit untuk siasatan lebih lanjut.

Semua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan, semua mereka yang dipercayai pelajar memuat naik video berdurasi satu minit 28 saat itu menggunakan nama Anonymous Malaysia.

Ia memaparkan insiden letupan bom di kuil Erawan di Bangkok, Thailand baru-baru ini dan mendakwa akan membuat tindakan sama di Malaysia pula ketika berlangsungnya Bersih 4.0.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM memandang serius perkara itu kerana ia berupa ancaman kepada negara dan orang ramai.

“Kami tidak akan berkompromi dengan segala bentuk ancaman yang dilakukan pihak tertentu untuk menggugat keselamatan dan ketenteraman negara ini.

“Ia satu ancaman yang kita tidak pernah pandang remeh dan akan bertindak serta mengenal pasti pihak berkenaan.

Kami sedang siasat ancaman itu dan pihak yang melakukan ancaman. Kita sudah melakukannya,” katanya.

Pada masa sama, Khalid mengecam tindakan individu tertentu termasuk pengamal undang-undang yang mendakwa bahawa menyertai perhimpunan yang tiada kebenaran pihak berkuasa adalah hak rakyat.

Read more »

LAUNG AZAN BERSAMA ANAK


Laung azan bersama anak


Seri Iskandar – Seorang suri rumah sempat melihat gumpalan angin putih menerpa kawasan kediamannya sebelum bumbung rumahnya di Felcra Nasaruddin Belia, di sini diterbangkan, lewat petang kelmarin.

Norjazila Napiah, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, dia bersama anaknya sedang membaca Yasin di ruang tamu.

“Tiba-tiba saya nampak gumpalan angin putih datang laju ke arah rumah dan sekelip mata bumbung bahagian depan sudah melayang ditiup angin diikuti hujan lebat,” katanya.

Bimbang dengan kejadian lebih buruk, dia bersama anak melaungkan azan sebelum berlari ke ruang dapur untuk mendapatkan perlindungan.

Kejadian itu menyebabkan lebih 60 rumah termasuk kediaman kakitangan, masjid, tadika dan sekolah mengalami kerosakan.

Seorang lagi mangsa, Rosnita Abdul Wahab, 43, berkata, tindakannya yang segera beredar dari tingkat atas rumah menyelamatkannya apabila dinding bahagian atas, runtuh dilanda ribut.

“Saya amat bersyukur kerana jika saya berada di bahagian tingkat atas, mungkin saya tercedera kerana dihempap tiang dan dinding rumah yang runtuh,” katanya.

Bagi pengusaha kedai, Siti Normaryani Nawi, 36, pula berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda masing-masing.
“Hanya dalam masa sampai seminit, beberapa atap zink kedai sudah diterbangkan angin.

“Memang kelam-kabut pada masa itu dan saya hanya mampu berdoa moga anak-anak semua selamat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, Felcra serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera membaik pulih rumah termasuk kerja-kerja menggantikan bumbung.

“Kita juga mengambil langkah awal bagi membaiki tiga rumah peneroka yang mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Turut meninjau keadaan rumah mangsa, Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hasshim.

Read more »

'RARE JUAL PETAI DI TENGAH HIMPUNAN'


Himpunan Bersih 4.0 masuk hari kedua


Kuala Lumpur - Lari daripada kebiasaan, serta bijak mengambil kesempatan itulah yang dilakukan oleh se‎orang peniaga apabila menjual buah petai dan rambutan di tapak Himpunan Bersih 4.0 di kawasan Masjid Jamek hari ini.

Peniaga petai dan rambutan tersebut, Muhd Aizat Abdul Ghani berkata, bekalan buah dan ulam itu di datangkan dari Jelebu Negeri Sembilan.

"Cari rezeki bang... Alhamdulillah jualan saya dapat sambutan luar biasa.

"Semalam 3 bakul besar petai dan 3 bakul rambutan saya habis dijual, sementara hari ini jualan masih berlangsung," katanya yang berasal dari Gombak.

Bercerita lanjut, Aizat berkata dia menjual petainya 'seikat' (dalam 4 keping) berharga RM 5 sementara rambutan juga berharga RM 3 seplastik.

"Bila lagi nak cari duit lebih bang," katanya yang mana memperoleh RM1,000 sehingga RM2,000 sejak berniaga semalam.

‎Himpunan Bersih 4.0 berlangsung sejak semalam dan akan berakhir pada pukul 12 malam ini.

Pemerhatian Sinar Online mendapati keadaan di Dataran Merdeka masih berada dalam keadaan terkawal, sementara peserta makin bertambah dari semasa ke semasa.

Read more »

GAMBAR PESERTA BERSIH 'PIJAK' HADI VIRAL


Gambar peserta Bersih 'pijak' Hadi viral


Kuala Lumpur - ‎Kurang ajar 'upacara' pijak gambar Tuan Guru (Datuk Abdul Hadi Awang), demikian kapsyen sebuah gambar yang menjadi viral di media sosial hari ini.

‎Gambar tersebut menunjukkan bagaimana seorang peserta Bersih 4.0 memijak sebuah gambar yang memaparkan gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'berpelukan' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Himpunan Bersih 4.0 memasuki hari terakhir hari ini selepas bermula kira-kira jam 2.00 petang semalam.

Tinjuan Sinar Online pagi ini di Dataran Merdeka mendapati keadaan masih terkawal dan para peserta makin bertambah dari semasa ke semasa.

Read more »

LAPAN GRO WARGA THAILAND DITAHAN


Imigresen Malaysia


Melaka - Seramai lapan wanita warga Thailand dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Op Ikrar di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini awal pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka Mohamad Lamsah Othman berkata mereka yang berusia 20 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi tadi kerana disyaki melanggar syarat pas, permit dan pas sempadan.

"Semua wanita tersebut ditahan dalam keadaan berpakaian tidak sopan. Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial tetapi ketika serbuan, mereka sedang memberi layanan kepada pelanggan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pihaknya turut mengeluarkan saman saksi kepada seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an yang merupakan pengurus pusat hiburan tersebut untuk hadir bersama pemilik premis ke Pejabat Imigresen Melaka bagi membantu siasatan.

Mohamad Lamsah berkata serbuan kali ketiga itu dilakukan setelah risikan selama kira-kira seminggu. Dua serbuan sebelum ini tidak membuahkan apa-apa hasil.

Beliau berkata semua wanita yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Read more »

PERSEDIAAN HARI MERDEKA HAMBAR


Persediaan hari merdeka hambar


Georgetown - Persediaan menjelang Hari Kemerdekaan negara yang ke-58 dilihat hambar di sekitar negeri ini berikutan tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan pada kenderaan, sekitar jalan raya dan bangunan milik kerajaan mahupun korporat.

Pengendali katering, Roslan Hassan, 58, berkata, persediaan menyambut hari kemerdekaan kali ini kurang dirasai kerana ramai terutamanya golongan muda yang tidak memahami erti kemerdekaan sebenar biarpun negara sudah mencapai kemerdekaan lebih daripada 50 tahun.

Menurutnya, selain tidak memahami erti kemerdekaan, kempen kibar Jalur Gemilang juga dilihat kurang mendapat sambutan kerana hari berkenaan dianggap hari bercuti yang diluangkan untuk tujuan lain.

"Dulu masa kecil, kemeriahan hari merdeka dah dapat dirasai pada 1 Ogos lagi sehinggalah pada tarikh sambutan ambang kemerdekaan yang mana pakcik pasti menanti dektik 12 tengah malam untuk melaungkan 'merdeka'. 

"Bendera pula dipasang bersama kawan-kawan pada basikal dan mengelilingi kawasan sawah sepanjang bulan Ogos," katanya.

Bagi penulis bebas, Nurul Huda Jamil, 32, berkata, trend menyambut hari kemerdekaan dalam kalangan remaja kini berlainan berbanding dahulu.

"Pemasangan bendera pada bangunan kedai dan kerajaan juga kurang kelihatan," katanya. 

Pelajar kolej swasta, Chen Kah Sheng, 19, berkata, sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini kurang meriah berikutan tiada kempen dibuat secara bersungguh-sungguh oleh pihak bertanggungjawab selain tidak banyak aktiviti dianjurkan.

"Selalunya banyak program sempena hari merdeka, tapi tahun ini tak ada langsung," katanya.

Manakala peniaga kedai makan, Mohamed Yussof Abdul Majeet, 24, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap tahun.

Menurutnya, dia akan mengibarkan bendera Malaysia bagi menggalakkan rakyat peka dengan sambutan hari kemerdekaan selain merasai kehangatan sambutan penuh bersejarah itu.

"Kami mula kibarkan bendera seawal 1 Ogos lagi sebagai bukti semangat setia dan cintakan negara," katanya.

Read more »

'DALANG PERHIMPUNAN BERSIH 4.0 BERDEPAN TINDAKAN'


Ahmad Zahid Hamidi


Ipoh - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik penganjuran perhimpunan Bersih 4.0.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan para pemimpin terbabit bahawa pihak berkuasa sedang memantau tindak-tanduk mereka.

"Kita juga mengikuti setiap patah ucapan mereka. Kita tahu apa tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Ipoh Timur di Bangunan Umno Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak terbabit.

Ahmad Zahid berkata antara tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mereka ialah di bawah Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.

Read more »

HILANG: GERAKAN MENCARI DITERUSKAN


Hilang: Gerakan mencari diteruskan


Gua Musang - Tujuh murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, dekat sini, yang hilang di hutan sekitar kawasan pos berkenaan sejak Ahad lalu belum ditemui dan gerakan mencari mereka kini memasuki hari keempat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah memaklumkan, gerakan mencari murid-murid yang berasal dari Kampung Gawing dan Penat semalam bertumpu di sekitar 10 kampung berdekatan.

Menurut beliau, lebih 100 anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung berusaha mencari kesemua murid-murid berkenaan.

"Kita akan memperluaskan gerakan mencari tujuh murid Orang Asli berkenaan ke kawasan lain sebaik sahaja operasi selesai di 10 kampung berkenaan dan setelah kita berpuas hati dengan keadan di situ.

"Apa pun, kita terus beri tumpuan kepada gerakan mencari tujuh murid terbabit yang sehingga kini telah seminggu hilang tanpa diketahui keadaan mereka," katanya.

Pagi Ahad lalu, Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7 dilaporkan hilang di kawasan hutan, dipercayai melarikan diri kerana takut dikenakan tindakan oleh guru sekolah mereka selepas mandi sungai tanpa kebenaran.

Mereka yang tinggal di asrama sekolah itu keluar mandi di sungai tidak jauh dari sekolah berkenaan pada jam 3 petang, Sabtu lalu dan pulang ke asrama selepas diarahkan guru, sebelum lari dari sekolah pada pagi Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, rakan murid-murid yang hilang telah dipanggil oleh pasukan keselamatan untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian.

Dalam pada itu, beliau terkilan kerana ada pihak menuduh masyarakat Orang Asli mereka-reka cerita mengenai kehilangan murid terbabit sedangkan ibu bapa mereka masih berasa sedih apabila anak-anak mereka belum ditemui.

"Bagi saya itu satu tuduhan berat dan tidak masuk akal. Keluarga murid-murid berkenaan turut mencari bersama-sama pasukan keselamatan sejak hari pertama sehingga sekarang," katanya.

Read more »

MAUT SELEPAS KELUAR DARI LORONG KUBUR


Maut selepas keluar dari Lorong Kubur


Machang - Seorang lelaki maut manakala enam cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal yang turut membabitkan kebakaran kenderaan di Kampung Simpul, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd Ashraf Ali Kutty memberitahu, kemalangan di Kilometer 46.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai itu berlaku pada kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, penunggang motosikal, Mohd Ramadan Ismail, 29, maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit serta lima penumpang cedera dan dihantar ke Hospital Machang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dari arah Machang ke Kuala Krai gagal mengelak motosikal ditunggang mangsa yang keluar dari Lorong Kubur, Kampung Simpul, dekat sini.

"Akibat pelanggaran, kereta tersebut dipercayai terbabas dan melanggar pokok lalu terbakar. Bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Machang," katanya.

Tambahnya, kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Read more »

`ADA SEBAB PEMBANGKANG SERANG SEORANG SAHAJA'


Najib Tun Razak


Papar - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan anggota parti di semua peringkat supaya tidak terpengaruh dengan agenda pembangkang untuk melemahkan Umno dengan menggunakan strategi menyerang Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pembangkang menggunakan strategi itu kerana ia boleh menggugat keyakinan ahli Umno terhadap presiden parti sekali gus melemahkan kedudukan presiden.

"Sebab itu, (parti pembangkang) menyerang seorang sahaja iaitu Presiden Umno kerana (cara) lemahkan parti ialah (dengan) lemahkan presiden parti. Inilah yang mereka sedang lakukan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Papar di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail dan Timbalannya Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar serta Ahli Parlimen Papar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shrlin. 

Ismail Sabri berkata, walaupun serangan terhadap Najib cuma berupa fitnah, namun ada dalam kalangan ahli parti Umno terpengaruh sehingga lupa siapa musuh mereka sebenarnya.

"Tindak-tanduk segelintir ahli parti itu menyenangkan tugas pembangkang kerana mereka tidak perlu bekerja keras menyerang Najib kerana ahli Umno sendiri membantu mereka mencapai agenda melemahkan pentadbiran beliau," katanya.

Ismail Sabri berkata, ahli Umno perlu kembali memberi keyakinan kepada Najib untuk menerajui kepimpinan negara dan parti kerana Umno dan BN mesti terus berkuasa bagi memastikan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera di negara ini terus terbela.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri itu terus menikmati arus pembangunan.

Read more »

SUSPEK SERANGAN BOM BANGKOK DITAHAN


Suspek serangan bom Bangkok ditahan


Bangkok - Polis Thailand semalam telah menahan seorang warga asing berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom berkembar di daerah komersial Ratchaprasong di sini, 17 Ogos lepas.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi televisyen, jurucakap polis, Lt.Jen Prawuth Thavornsiri berkata suspek ditahan di sebuah blok apartmen empat tingkat di Soi Chueam Samphan 11, daerah Nong Chok di sini, pada kira-kira 2 petang semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan status kewarganegaraan suspek berkenaan.

Siasatan awal menunjukkan tangkapan itu ada kaitan dengan dua serangan bom berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya.

Prawuth berkata polis Thailand percaya suspek merupakan anggota kumpulan sama terbabit dalam insiden letupan tersebut.

Sebelum ini, polis Thailand berkata sekurang-kuranag 10 orang mungkin terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan 130 mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu.

Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam insiden di jeti Sathorn, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok. 

Prawuth juga menunjukkan bukti yang terdapat di bilik sewa suspek seperti bahan untuk membuat bom dan beberapa pasport tetapi enggan mendedahkan negara yang mengeluarkan pasport tersebut.

Menurut seorang pegawai penyiasat, yang enggan dinamakan, suspek menggunakan pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.

Setakat hari ini, 34 mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk enam berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang dalam sesi taklimat media pula berkata suspek telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Somyot, yang menyoal siasat suspek, enggan mengulas lanjut.

Taklimat itu berhenti secara tiba-tiba apabila seorang wartawan tempatan bertanya dalam bahasa Thai sama ada suspek yang ditahan oleh polis itu hanya sebagai kambing hitam.

Somyot dengan nada marah dan menyoal wartawan lelaki itu sama ada beliau seorang warga Thailand.

"Soalan anda benar-benar tidak membina...pergi dari sini. Saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak kisah tentang anda. Orang di sini begitu bersemangat ketika ini (atas penahanan suspek) tetapi anda menyoal sama ada kami menahan kambing hitam!," katanya.

Kemudian, Somyot berkata suspek tersebut bukan pengganas merentas sempadan tetapi melakukan perbuatan itu disebabkan marah terhadap sesuatu yang berlaku kepada kawan-kawannya.

Khamis lepas, Kedutaan Turki di Thailand mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kekesalan terhadap analisis berbaur spekulasi dan laporan berita yang cuba mengaitkan warganya dalam serangan bom di Kuil Erawan.

Read more »

BERSIH 4.0: KHEMAH ROSAK AKIBAT LETUPAN


Bersih 4.0: Khemah rosak akibat letupan


Kuala Lumpur- Satu kejadian letupan dipercayai berlaku di Rumah Persekutuan Kuala Lumpur, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di Jalan Sultan Hishamuddin kira-kira jam 6.20 petang semalam.

Letupan pertama dipercayai berlaku kira-kira jam 6.20 petang disusuli letupan kedua pada 7.30 petang.

Letupan pertama mengakibatkan kerosakan pada khemah manakala letupan kedua merosakkan pokok berhampiran khemah tersebut.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Abu Obaided Mohamad mengesahkan kejadian berkata, berlaku dua letupan dipercayai bom ‘molotov cocktail’ dibaling dari arah Jalan Kinabalu.

"Pasukan bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran 10 minit selepas bahan letupan itu dibaling.

"Kebakaran menyebabkan sebuah khemah yang diletakkan di pekarangan premis rosak. Khemah tersebut dipercayai untuk kegunaan program esok," katanya.

Tambah beliau, serpihan botol telah dikutip di lokasi kejadian dan kes masih disiasat.

Read more »

MELAKA UNITED JUARAI PIALA LIGA FAM


Melaka United


Melaka United memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menjuarai Piala Liga FAM selepas menewaskan Perlis 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam tadi.

Nurshamil Abd Ghani muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan hatrik, sekali gus membolehkan skuad Sang Kancil menjulang piala tersebut buat pertama kali.

Perlawanan sengit itu juga menyaksikan pertembungan dua 'ayam tambatan' - Nurshamil dan Mohd Syafiq Azmi dari Perlis yang menjaringkan kedua-dua gol pasukan Singa Utara.

Untuk rekod, kedua-dua pemain merupakan penjaring terbanyak Liga FAM dengan masing-masing menjaringkan 12 gol.

Pada perlawanan yang menyaksikan buat pertama kali pada musim ini kehadiran penuh penonton di Stadium Hang Jebat memuatkan 40,000 penonton itu, Perlis terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti Mohd Syafiq setelah pemain pelawat dikasari dalam kotak penalti.

Biarpun ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat pemain Melaka United untuk melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Perlis dan hasilnya Nurshamil berjaya merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan agak perlahan dengan masing-masing lebih berhati-hati.

Namun, Perlis yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah kembali berada di hadapan pada minit ke-59 apabila Mohd Syafiq menjaringkan gol kedua pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan itu anak buah Mat Zan Mat Aris menggandakan asakan dan Nurshamil berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71.

Ketika perlawanan dilihat bakal diheret ke masa tambahan, Nurshamil muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan tuan rumah pada masa kecederaan (minit ke-91).

Selaku juara Piala Liga FAM, Melaka United membawa pulang piala dan wang tunai RM60,000 manakala Perlis meraih RM30,000.

Perlawanan akhir Piala Liga FAM itu menemukan Melaka United selaku juara Kumpulan B liga berkenaan setelah mengutip 36 mata, berdepan juara Kumpulan A, Perlis yang mengumpul 42 mata.

Kedua-dua pasukan telah layak beraksi dalam saingan Liga Perdana, musim depan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Read more »

Saturday, August 29, 2015

ANGKA 4: APAKAH BERSIH 4.0 BAWA SIAL?




Aneh dan pelik… sudah diberi amaran berkali-kali bahawa himpunan Bersih 4.0 adalah haram dan tidak berdaftar, masih ada juga golongan yang memekakkan telinga membenarkan diri dieksploitasi dengan menyokong dakyah menjatuhkan kerajaan.

Lebih parah, ramai mengangkat diri mereka sebagai sebagai wira tidak berdendang yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa dan harta dalam menyertai demokrasi jalanan kononnya untuk menuntut perjalanan pilihan raya bersih dan adil.

Sebelum ini, habis dicanang seluruh media propembangkang kononnya himpunan Bersih 4.0 kali ini bakal mencipta sejarah terbesar daripada segi saiznya berikutan kemarahan terhadap petadbiran yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, ternyata itu semua hanyalah omong kosong semata-semata apabila hasil kajian sebuah agensi bancian bebas yang selama ini mesra pembangkang, Merdeka Center jelas membuktikan 47 peratus rakyat Malaysia membantah himpunan haram ini.

Walaupun ramai yang membantah, kajian bertaraf antarabangsa ini juga melaporkan kaum Cina adalah golongan yang paling ramai menyokong acara himpunan haram tersebut dengan catatan 81 peratus.

Melihat senario gambar yang dikongsi netizen menerusi laman sosial, tidak dinafikan himpunan ini hampir 100 peratus dibanjiri oleh kaum Cina.

Sebahagian besar yang datang itu pun sebab hendak melihat aksi ‘gedik’ serta ‘iklan percuma’ wanita seksi Tionghua memakai baju-T Bersih 4.0 berwarna kuning.

Tidak kurang juga, muncul jenaka mendakwa ianya barangkali menjadi perhimpunan kaum Cina lawan kerajaan Melayu!

Ironinya, umum tahu bahawa dalam kepercayaan kaum Cina sendir, nombor 4 adalah angka yang tidak disukai ekoran dipercayai boleh membawa nasib malang dan kecelakaan.

Hal ini kerana sebutan nombor 4 iaitu ‘Se‘ hampir sama dengan sebutan ‘Si‘ dalam bahasa Cina yang memberi maksud mati.

Bagaimanapun, nampaknya masyarakat liberal Cina sendiri sudah tidak kisah dan sanggup melanggar pantang larang nenek moyang mereka kononnya demi menegakkan keadilan politik Malaysia!

Sedangkan, melihat situasi demokrasi jalanan yang diadakan tahun-tahun lalu jelas membuktikan himpunan ini hanyalah membuang masa dan mendatangkan keganasan serta menimbulkan huru-hara semata-mata.

Sememangnya, kaitan angka 4 dan kematian dalam masyarakat Cina tidak dapat dipisahkan.

Begitu juga warna kuning yang menurut fahaman kaum Cina membawa maksud kurang baik, bahkan ada mengaitkannya dengan konotasi sundal atau jahat.

Di sebalik itu, warna kuning sebenarnya adalah warna larangan; eksklusif hanya untuk kerabat diraja dan orang biasa-biasa ‘haram’ memakai warna itu jika tidak mahu ditimpa bala musibah!

Jelaslah angka 4 dan warna kuning yang dipopularkan penganjur Bersih 4.0 mungkin membawa makna malang dan tidak sesuai digunakan dalam kehidupan harian.

Justeru, adakah perhimpunan haram kali ini membawa apa-apa makna tidak elok untuk edisi Bersih kali ini? Mungkinkah ada kematian dalam kalangan kaum Cina yang menjadi majoriti besar peserta Bersih 4.0.

Siapakah yang bakal menjadi mangsa pertama itu. Opsss! Senang cakap, kita tunggu dan lihat natijah demo haram ini pada 11.59 malam esok.

Read more »

GEMPAR BABI TERGANTUNG DI KILANG TEPUNG GANDUNG


Gempar babi tergantung di kilang tepung gandum


Johor Bahru - Gempar di laman sosial Facebook, semalam apabila gambar babi tergantung di depan kilang tepung gandum di Taman Mount Austin, di sini menjadi viral.

Setiausaha Ahli Majlis Zon Bandar Dato’ Onn, Noorman Kamsani berkata, kilang tepung gandum seperti yang tertera di papan tanda dikatakan sudah lama menamatkan operasi di premis itu dan berpindah ke lokasi lain.

Menurutnya, kilang memproses babi yang sedang beroperasi di lokasi tersebut didakwa tidak berlesen sehingga mengelirukan orang ramai.

“Saya dimaklumkan pengusaha baharu belum menurunkan papan tanda lama dan operasi memproses babi berjalan secara haram.

“Kita minta pihak bertanggungjawab lebih peka supaya tidak lagi menimbulkan isu seperti ini yang mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Noorman berkata, pihaknya tidak pasti tujuan sebenar babi itu digantung.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan ia membabitkan sensitiviti masyarakat agama lain.

“Tak elok haiwan ini yang menjadi perkara sensitif kepada masyarakat Islam ditayang sebegini dalam situasi kita hidup berbilang kaum di negara ini.

“Diharap pengusaha lebih berwaspada membabitkan isu yang menyentuh sensitiviti agama lain supaya perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Katanya, papan tanda kilang tepung gandum telah diturunkan petang semalam atas arahan pihak polis.

Read more »

80 PEKERJA HILANG MATA PENCARIAN


80 pekerja hilang mata pencarian


Georgetown - Kira-kira 80 pekerja pemunggah dan pengendali muatan kapal bakal hilang mata pencarian apabila diberhentikan kerja.

Difahamkan, mereka diberhentikan selepas syarikat terpaksa menamatkan operasi apabila lesen untuk mengendalikan kerja-kerja pemunggahan dan pengendali muatan kapal tidak lagi disambung.

Seorang pekerja terlibat yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia kini buntu selepas keseluruhan pekerja syarikat berkenaan diarah berhenti.
“Sumber pendapatan kami bukanlah banyak mana antara RM1,300 hingga RM1,500 sebulan dan kini semuanya hilang begitu sahaja.

“Kami harap SPPP (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang) dapat menangguhkan hasrat mereka untuk menamatkan kontrak perkhidmatan syarikat kami kerana keseluruhan pekerja di sini adalah Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Veteran Umno negeri, Datuk Arshat Kasa berkata, pembatalan lesen berkenaan dipercayai berpunca selepas SPPP mengeluarkan lesen tambahan kepada syarikat pengendali bukan Bumiputera bagi kerja terbabit.

“Tindakan SPPP ini turut menjejaskan satu-satunya syarikat Bumiputera yang mengendalikan urus niaga dalam bidang perkapalan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai perhimpunan aman bersama pekerja yang terlibat di sini, Rabu lalu.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Veteran Umno negeri, Abdul Wahab Eusoff dan Presiden Kesatuan Kerja-Kerja Pelabuhan Pulau Pinang, K Gunaselan.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan daripada SPPP tidaj berhasil apabila panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab.

Read more »

LETAK MAYAT DEPAN PEJABAT TENTERA




Timika (Indonesia) – Mayat dua penduduk yang maut ditembak sekumpulan askar di Timika, Papua awal pagi semalam diletakkan di tengah jalan berhadapan pejabat unit polis tentera sebelum dikebumikan.

Keranda yang mengandungi mayat mangsa diletakkan di tengah jalan berkenaan sejak jam 10 pagi (waktu tempatan) untuk upacara penghormatan terakhir.

Dua penduduk itu maut selepas dua askar Indonesia melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk dalam satu pergaduhan pada jam 2.35 pagi (waktu tempatan) semalam.

Kejadian berlaku apabila dua askar yang menunggang motosikal bergaduh dengan 100 penduduk yang berpesta di tepi jalan.

Pergaduhan tercetus selepas penduduk yang mabuk memarahi dan mengerumuni askar berkenaan kerana menunggang motosikal dengan laju.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila tiga lagi askar tiba di lokasi kejadian untuk membantu rakan mereka sebelum dua daripada mereka melepaskan tembakan.

Tembakan itu menyebabkan dua penduduk Yulianus Okoare, 18, dan Imanuel Marimau, 23, maut manakala dua lagi cedera parah.

Upacara penghormatan terakhir dua mangsa berkenaan diadakan di depan pejabat unit polis tentera, lokasi dua askar berkenaan ditahan.

Jeneral tentera Indonesia di Papua, Paulus Waterpauw yang hadir ke upacara berkenaan, disambut dengan raungan serta tangisan keluarga mangsa.

Read more »

[KUANTAN] MENGAKU SAKIT JIWA ELAK DIDAKWA


Mengaku sakit jiwa elak didakwa


“Saya mengalami masalah sakit jiwa, saya nak cari peguam, saya nak ikat jamin,” kata seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul seorang wanita di halaman sebuah rumah di Taman Tas dekat sini.

Tertuduh, Teoh Ak Huat, 42, beberapa kali memberitahu mahkamah dia mahu mencari peguam dan memohon ikat jamin selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Peniaga stoking jalanan yang beralamat di Taman Tas itu dituduh melakukan serangan ke atas seorang peniaga warga emas dengan menggunakan sebatang kayu dan sebatang besi dengan niat melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan berdepan dengan hukuman di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh menghadapi dua pertuduhan iaitu menyerang pengadu dan melakukan pencerobohan jenayah dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Majistret, Noor Aisah Mohamed memerintahkan pengadu membayar ikat jamin sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Read more »

PULUHAN MAYAT PENDATANG DITEMUI DALAM TRAK


Puluhan mayat pendatang ditemui dalam trak


Vienna - Sekurang-kurangnya 71 mayat pendatang yang sudah reput ditemui dalam sebuah trak yang ditinggalkan di lebuh raya Austria, dekat sempadan Hungary.

Menurut pihak berkuasa Austria, jumlah tersebut melebihi daripada anggaran awal antara 20 hingga 50 mayat.

Susulan penemuan mengejutkan itu, polis menahan tiga suspek disyaki anggota sindiket penyeludupan manusia.

Semalam, menurut laporan AFP, polis mengesahkan antara mayat yang ditemui adalah lapan wanita termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi.

Canselor Jerman, Angela Merkel, yang hadir pada sidang kemuncak bersama pemimpin Balkan bagi membincangkan krisis pendatang di Vienna berkata, beliau terkejut terhadap berita yang “mengerikan” itu.

“Ini adalah amaran supaya kita mengatasi isu pendatang ini dengan pantas dan dengan semangat Eropah, bermakna semangat solidariti dan mencari penyelesaian,” kata Merkel.

Read more »

PAS LEBIH KUAT SEJAK HARAPAN BARU


Mohd Hayati Othman


Alor Setar - Pas Kedah kini lebih mantap sejak sekumpulan ahlinya bertindak menubuhkan Harapan Baru.

Timbalan Pesuruhjaya 1, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kepimpinan yang ada dalam Pas sekarang tidak lagi dihadapkan dengan polemik dalaman parti yang berpanjangan.

“Situasi aman yang wujud dalam Pas kini menyebabkan kita mampu merancang dan mengatur pelbagai program dengan lebih baik dan berkesan.

“Buktinya apabila Pas Kedah mengadakan Himpunan Tolak BN baru-baru ini. Ahli dan penyokong hadir dalam jumlah sangat besar memberi sokongan padu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib yang menyebut Pas ibarat diserang angin ahmar akibat tekanan politik yang banyak sehingga melahirkan serpihan dan kumpulan baru.

Md Shukri berkata, situasi itu berlaku kerana tumpuan Pas bukan lagi pada melemahkan Umno dan BN, tetapi mempertahankan parti dari godaan politik Harapan Baru.

Mohd Hayati berkata, kenyataan itu adalah propaganda kerana realiti yang berlaku dalam Pas tidak seperti yang digambarkan.

“Malah sejak kewujudan kumpulan serpihan Harapan Baru, Pas dilihat semakin kuat dan mantap,” katanya.

Menurutnya, ahli Pas Kedah juga semakin bertambah dengan mendadak iaitu lebih 5,000 orang dalam tempoh sebulan dan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, kekuatan baharu yang wujud dalam Pas pasti akan menyemarakkan lagi semangat, azam dan kemaraannya menuju ke Putrajaya.

“Bagi Pas Kedah, dunia sudah tahu bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menghadapi tentangan daripada ahli bawahannya sendiri akibat pelbagai masalah," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pendang itu turut berpandangan bahawa berdasarkan senario yang ada, Umno bukan sahaja diserang angin ahmar tetapi sakit jantung dan diabetes.

“Kesan dari pelbagai penyakit dalaman yang menyerang Umno selaku parti memerintah, maka kerajaan Malaysia dilihat tidak stabil dan masyarakat antarabangsa khususnya pemain ekonomi hilang keyakinan terhadap negara ini.

“Penganalisis ekonomi dan politik, Tun Daim Zainuddin juga pernah mendedahkan bahawa kepimpinan negara yang hilang wibawa dan kemerosotan keyakinan oleh pihak luar menjadi faktor penting terhadap kejatuhan nilai ringgit sekarang,” katanya.

Read more »

share2