Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 30, 2015

LAUNG AZAN BERSAMA ANAK


Laung azan bersama anak


Seri Iskandar – Seorang suri rumah sempat melihat gumpalan angin putih menerpa kawasan kediamannya sebelum bumbung rumahnya di Felcra Nasaruddin Belia, di sini diterbangkan, lewat petang kelmarin.

Norjazila Napiah, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, dia bersama anaknya sedang membaca Yasin di ruang tamu.

“Tiba-tiba saya nampak gumpalan angin putih datang laju ke arah rumah dan sekelip mata bumbung bahagian depan sudah melayang ditiup angin diikuti hujan lebat,” katanya.

Bimbang dengan kejadian lebih buruk, dia bersama anak melaungkan azan sebelum berlari ke ruang dapur untuk mendapatkan perlindungan.

Kejadian itu menyebabkan lebih 60 rumah termasuk kediaman kakitangan, masjid, tadika dan sekolah mengalami kerosakan.

Seorang lagi mangsa, Rosnita Abdul Wahab, 43, berkata, tindakannya yang segera beredar dari tingkat atas rumah menyelamatkannya apabila dinding bahagian atas, runtuh dilanda ribut.

“Saya amat bersyukur kerana jika saya berada di bahagian tingkat atas, mungkin saya tercedera kerana dihempap tiang dan dinding rumah yang runtuh,” katanya.

Bagi pengusaha kedai, Siti Normaryani Nawi, 36, pula berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda masing-masing.
“Hanya dalam masa sampai seminit, beberapa atap zink kedai sudah diterbangkan angin.

“Memang kelam-kabut pada masa itu dan saya hanya mampu berdoa moga anak-anak semua selamat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, Felcra serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera membaik pulih rumah termasuk kerja-kerja menggantikan bumbung.

“Kita juga mengambil langkah awal bagi membaiki tiga rumah peneroka yang mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Turut meninjau keadaan rumah mangsa, Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hasshim.

0 comments:

share2