Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 31, 2015

AMANAT NAJIB JUJUR, BERTERUS-TERANG


Salleh Said Keruak


Kuala Lumpur - Amanat Hari Kebangsaan 2015 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi bersifat jujur dan berterus-terang, khususnya berkaitan kedudukan ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berharap rakyat dapat menerima dan memahami intipati amanat itu dengan minda terbuka demi masa depan negara yang gemilang.

"Dengan asas ekonomi negara yang kukuh, saya yakin negara akan dapat memacu masa depan yang gemilang," katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Najib ketika menyampaikan amanat itu berkata beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi reda.

Selain itu, katanya Malaysia berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, amanat berkenaan sangat bertepatan dengan situasi semasa negara, dan menyeru rakyat menghidupkan semangat solidariti.

"Beliau (Najib) mengingatkan seluruh rakyat berbilang kaum supaya mengenang semula semangat kemerdekaan kerana ia penting untuk menghidupkan semangat cintakan negara," kata Presiden MCA itu.

Tiong Lai berkata, mesej supaya rakyat berganding bahu dan sehati sejiwa menghadapi apa jua rintangan yang datang, amat penting supaya dapat sama-sama berjuang menyokong dasar kerajaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata mesej Perdana Menteri itu mestilah diingati, difahami serta disemat di sanubari rakyat.

"Perdana Menteri menggariskan beberapa fakta penting antaranya matlamat tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan yang membawa kepada kebebasan dan kehidupan jauh lebih maju hari ini, perlu dikenang dan dihargai," katanya.

0 comments:

share2