Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 30, 2015

PERSEDIAAN HARI MERDEKA HAMBAR


Persediaan hari merdeka hambar


Georgetown - Persediaan menjelang Hari Kemerdekaan negara yang ke-58 dilihat hambar di sekitar negeri ini berikutan tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan pada kenderaan, sekitar jalan raya dan bangunan milik kerajaan mahupun korporat.

Pengendali katering, Roslan Hassan, 58, berkata, persediaan menyambut hari kemerdekaan kali ini kurang dirasai kerana ramai terutamanya golongan muda yang tidak memahami erti kemerdekaan sebenar biarpun negara sudah mencapai kemerdekaan lebih daripada 50 tahun.

Menurutnya, selain tidak memahami erti kemerdekaan, kempen kibar Jalur Gemilang juga dilihat kurang mendapat sambutan kerana hari berkenaan dianggap hari bercuti yang diluangkan untuk tujuan lain.

"Dulu masa kecil, kemeriahan hari merdeka dah dapat dirasai pada 1 Ogos lagi sehinggalah pada tarikh sambutan ambang kemerdekaan yang mana pakcik pasti menanti dektik 12 tengah malam untuk melaungkan 'merdeka'. 

"Bendera pula dipasang bersama kawan-kawan pada basikal dan mengelilingi kawasan sawah sepanjang bulan Ogos," katanya.

Bagi penulis bebas, Nurul Huda Jamil, 32, berkata, trend menyambut hari kemerdekaan dalam kalangan remaja kini berlainan berbanding dahulu.

"Pemasangan bendera pada bangunan kedai dan kerajaan juga kurang kelihatan," katanya. 

Pelajar kolej swasta, Chen Kah Sheng, 19, berkata, sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini kurang meriah berikutan tiada kempen dibuat secara bersungguh-sungguh oleh pihak bertanggungjawab selain tidak banyak aktiviti dianjurkan.

"Selalunya banyak program sempena hari merdeka, tapi tahun ini tak ada langsung," katanya.

Manakala peniaga kedai makan, Mohamed Yussof Abdul Majeet, 24, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap tahun.

Menurutnya, dia akan mengibarkan bendera Malaysia bagi menggalakkan rakyat peka dengan sambutan hari kemerdekaan selain merasai kehangatan sambutan penuh bersejarah itu.

"Kami mula kibarkan bendera seawal 1 Ogos lagi sebagai bukti semangat setia dan cintakan negara," katanya.

0 comments:

share2