Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 31, 2015

[KUANTAN] AGIH SARAPAN SECARA PERCUMA


Agih sarapan secara percuma


Inisiatif sekumpulan sukarelawan mengagihkan sarapan pagi kepada pengunjung di Taman Gelora pada setiap hari Ahad di sini bukan sahaja dilihat sungguh harmoni tetapi dalam masa sama dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

Pengarah program, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berkata, pada permulaan, dia bersama enam rakan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengunjung di situ pada Ramadan lalu.

Menurutnya, melihat respons positif, aktiviti berkenaan diteruskan sehingga hari ini.

“Kita mengagihkan sarapan pagi ini antara jam 8 hingga 10 pagi dan saya gembira apabila pengunjung yang beriadah di sini dapat menikmati makanan yang disediakan.

“Setiap menu yang disediakan adalah sumbangan rakan-rakan yang sudi menghulurkan bantuan dan kami melakukannya secara sukarela sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program Santai “Breakfast On Us” di sini, semalam.

Hadir memeriahkan program, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Syed Azimal Amir berkata, walaupun aktiviti tersebut hanya diadakan pada hari Ahad, namun kehadiran mereka kini semakin dinanti-nantikan.

Beliau berkata, kebanyakan daripada pengunjung sudah menjadi sebahagian daripada rakan mereka malah turut menyumbang untuk aktiviti tersebut.

“Kita mahu masyarakat berbilang kaum yang ada saling memahami dan kita boleh bergaul dengan baik sebagai rakyat Malaysia.

“Usaha memupuk perpaduan bukan hanya memerlukan program yang besar-besar tetapi ia bermula daripada kecil-kecilan sebegini,” katanya.

Syed Azimal Amir berkata, program itu akan diadakan sehingga 16 September depan dan pihaknya akan merangka program lain untuk kebaikan komuniti.

Bagi pengunjung, S.Sivananda, 45, dia sering beriadah di Taman Gelora pada setiap hujung minggu dan melihat kumpulan tersebut mengagihkan makanan percuma kepada pengunjung.

Katanya, pada mulanya dia agak segan namun lama-kelamaan, mereka sudah menjadi kawan dan pada setiap Ahad mereka akan berkumpul di situ.

“Bagi saya, aktiviti ini sangat baik kerana kita dapat lihat pelbagai kaum bersama-sama beriadah dan selepas itu mereka menikmati sarapan pagi yang disediakan.

“Paling menarik, menu yang disediakan juga pelbagai antaranya nasi lemak, macaroni, sandwich, rendang dan pulut malah menu ini berbeza setiap minggu,” katanya.

Tidak ketinggalan, Wee Geen Hiang, 51, pula melahirkan kagum terhadap usaha yang dilakukan kumpulan sukarelawan berkenaan.

0 comments:

share2