
Georgetown - Kira-kira 80 pekerja pemunggah dan pengendali muatan kapal bakal hilang mata pencarian apabila diberhentikan kerja.
Difahamkan, mereka diberhentikan selepas syarikat terpaksa menamatkan operasi apabila lesen untuk mengendalikan kerja-kerja pemunggahan dan pengendali muatan kapal tidak lagi disambung.
Seorang pekerja terlibat yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia kini buntu selepas keseluruhan pekerja syarikat berkenaan diarah berhenti.
“Sumber pendapatan kami bukanlah banyak mana antara RM1,300 hingga RM1,500 sebulan dan kini semuanya hilang begitu sahaja.
“Kami harap SPPP (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang) dapat menangguhkan hasrat mereka untuk menamatkan kontrak perkhidmatan syarikat kami kerana keseluruhan pekerja di sini adalah Bumiputera,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Veteran Umno negeri, Datuk Arshat Kasa berkata, pembatalan lesen berkenaan dipercayai berpunca selepas SPPP mengeluarkan lesen tambahan kepada syarikat pengendali bukan Bumiputera bagi kerja terbabit.
“Tindakan SPPP ini turut menjejaskan satu-satunya syarikat Bumiputera yang mengendalikan urus niaga dalam bidang perkapalan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai perhimpunan aman bersama pekerja yang terlibat di sini, Rabu lalu.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Veteran Umno negeri, Abdul Wahab Eusoff dan Presiden Kesatuan Kerja-Kerja Pelabuhan Pulau Pinang, K Gunaselan.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan daripada SPPP tidaj berhasil apabila panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab.

0 comments:
Post a Comment