Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 30, 2013

Anwar Akhirnya Menyokong DAP


SEPERTI dijangka Anwar Ibrahim mengambil pendirian bersama dengan DAP dan Lim Guan Eng dalam isu penggunaan kalimah Allah. Pertama, Anwar tidak menghormati proses syura yang merupakan asas penting dalam sesebuah jemaah Islam. Isu yang berbangkit bukan isu biasa. Ia menyentuh mengenai perkara pokok dalam Islam iaitu akidah tauhid.

Kedua, sekian lama Anwar memimpin ABIM dulu, penulis percaya proses syura sifatnya binding atau terikat sebagai suatu keputusan yang sah dan perlu dipatuhi.

Sebagai 'tokoh' perjuangan Islam suatu ketika dulu, apakah Anwar tidak memahami proses ini sehingga berkeras mahukan Haji Hadi Awang menerima keputusan mesyuarat pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu supaya kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Anwar tentu tahu bahawa penggunaan kalimah Allah berhubung dengan Bible dan agama Kristian mempunyai implikasi akidah, ibadah, syariah dan akhlak.

Kalimah Allah tidak sekadar suatu istilah yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak kerana ia membawa makna Allah Yang Satu, sedangkan God atau My Lord dalam Bible membawa konsep Trinity iaitu Satu Dalam Tiga dan Tiga Dalam Satu.

Apakah bila Allah dalam Bible versi Melayu membawa maksud Allah Yang Satu dan membawa makna penyembahan Allah Yang Satu terhubung dengan patung dan salib yang diamalkan oleh orang Kristian.

Bukan maksud penulis menghina agama Kristian kerana perbezaan adalah sesuatu yang wujud dalam anutan agama. Al-Quran memberi pedoman, "kamu agama kamu dan kami agama kami." Rasulullah SAW menasihatkan supaya jangan menghina agama lain nescaya penghinaan juga boleh berlaku terhadap agama kamu.

Isu yang berbangkit ialah mengapa pihak Kristian dan Anwar berkeras mahu menggunakan kalimah Allah dalam versi Bible bahasa Melayu sedangkan mereka tahu bahawa ia adalah isu sensitif dan boleh membawa kepada kufur dan syirik, kata Dr. Haron Din.

Datuk Harun Taib, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasrudin Tantawi berkeras supaya kalimah Allah tidak digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Karpal Singh berkeras supaya persetujuan 8 Januari dalam kalangan pimpinan utama pakatan termasuk Haji Hadi binding dan perlu dipatuhi.

Persetujuan 8 Januari itu bukan keputusan Syura. Haji Hadi khilaf membuat pendirian sebegitu sebelum merujuk kepada Majlis Syura. Lazimnya amalan sebuah jemaah politik Islam akan berpegang kepada keputusan syura sebagai sesuatu yang binding atau terikat dan perlu dipatuhi.


Khalayak menunggu kenyataan tegas Haji Hadi mengenai perkara ini setelah Anwar menyatakan pendiriannya. Kalau Haji Hadi seperti pemimpin Pas yang lain bertegas dengan keputusan Majlis Syura, Haji Hadi tidak ada pilihan lain melainkan kena terima keputusan Majlis Syura.

Kalau Haji Hadi tidak menyatakan dengan tegas dan jelas mengenai pendiriannya sebaliknya masih bertahan dengan kenyataan 8 Januari bersama dengan Anwar dan DAP - bermakna kedudukan Haji Hadi sebagai Presiden Pas tidak lagi relevan. Ia menjadi tidak relevan kerana sebagai Presiden, keputusan Majlis Syura adalah binding. Mahu tidak mahu Haji Hadi kena patuh dan taat dengan keputusan itu.

Anwar masih bertegas dengan pendiriannya tentang penggunaan kalimah Allah atas pertimbangan politik pilihan raya. Anwar ingin segera menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Pas mengambil pertimbangan syarak kerana isu kalimah Allah adalah perkara pokok dalam akidah Islamiah. Apakah Pas sanggup menggadaikan prinsip syarak dan mengutamakan matlamat politik Anwar?

Kalaulah isu pokok ini Pas tidak mampu bertegas dan masih cair dengan strategi Anwar, apa makna perjuangan Islam yang sekian lama didukung oleh Pas.

Takdirnya pakatan pembangkang menang kali ini (minta dijauhkan Allah) apakah agenda pokok Negara Islam dan syariah Islamiah boleh berjalan di Malaysia?

Atau Anwar ingin menggunakan Pas sebagai batu loncatan untuk menjadi Perdana Menteri dan DAP bersama dengan Pas untuk mendapat kerusi lebih supaya dominasi politik terjadi. Akhirnya Pas dapat apa?

Read more »

Lagi Penyokong PAS Disesat Pemimpin Sendiri


Seorang bekas penyokong tegar Pas yang terlalu taksub dengan Amanat Haji Hadi, mendedahkan bagaimana dia mendirikan solat Jumaat ‘berimamkan’ siaran langsung solat Jumaat menerusi saluran radio kerana menganggap imam di kampungnya kafir.

Menurut Aziz Jusoh, 53, dari Kampung Gong Guchil dekat sini, selepas menyedari tindakannya itu bertentangan dengan ajaran Islam, dia terus bertaubat dan nekad meninggalkan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendapati ia merosakkan akidah.

Katanya, sebagai pengikut parti yang ilmu agama cetek, tindakan memulaukan imam atau orang UMNO dan mengkafirkan mereka dianggap halal serta jihad dalam memperjuangkan Islam bersama Pas.

“Setiap kali Jumaat, sebuah radio pasti berada di hadapan saya yang siap sedia untuk menunaikan solat dua rakaat. Saya akan mendengar khutbah dan berimamkan suara yang berkumandang.

‘‘Sampai begitu sekali keterlanjuran saya kerana terlalu taksub kepada perjuangan Pas tanpa berfikir amalan sedemikian adalah bidaah dan tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Dia mengulas pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani bahawa puluhan ribu penyokong Pas masih berpegang dengan Amanat Haji Hadi.

Paling taksub, dakwa Aziz, pada masa itu ada penyokong tegar Pas yang menunaikan solat dengan meletakkan gambar atau poster pemimpin parti di bawah sejadah.

Aziz mendakwa, sepanjang menyokong Pas lebih 15 tahun lalu, arahan supaya mengkafirkan orang UMNO masih kuat dalam ingatannya hingga sekarang dengan menyaksikan akad nikah semula rakan-rakannya yang mempercayai pernikahan mereka yang dilakukan oleh imam UMNO tidak sah.

“Bagi mengelak perzinaan berterusan, mereka diakad nikah semula oleh ‘pak lebai’ Pas yang tidak bertauliah. Kami juga diajar supaya terus mengkafirkan orang UMNO secara lantang. Kalau tidak berani, cukup sekadar mengkafirkan orang UMNO dengan hati bagi mendapat ganjaran pahala," katanya.

Aziz mendakwa, sehingga sekarang masih ramai penyokong tegar Pas yang lantang mengatakan orang UMNO adalah ahli neraka.

Dia juga mengakui salah seorang ahli Pas yang tidak makan daging sembelihan orang UMNO, memulaukan kenduri-kendara, tahlil dan apa sahaja berkaitan dengan orang yang dilabelkan kafir oleh pemimpin Pas serta dipandang jijik olehnya.

Dakwa Aziz lagi, daging sembelihan orang UMNO dianggap sebagai bangkai dan haram dimakan menjadi pesanan serta pegangan ahli keluarganya ketika itu.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas menyedari kesilapan pegangan itu, dia memaklumkan kepada keluarganya untuk tidak bersama perjuangan Pas memandangkan pada masa sama, arwah ibunya juga penyokong tegar Pas dan pernah menghalaunya dari rumah.

“Ibu saya sendiri menganggap saya sudah kafir (setelah tidak lagi menyokong perjuangan Pas). Itulah penangan Amanat Haji Hadi yang jelas memecah-belahkan perpaduan umat Melayu yang wajib diperbetulkan semula oleh Presiden Pas itu tanpa perlu berdolak-dalik," katanya.

Read more »

Misteri Menyelubungi Pemecatan Nasharuddin


Tindakan Majlis Syura Ulama Pas mengumumkan pemecatan bekas Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya kelmarin menimbulkan misteri dan pelbagai persoalan yang masih tidak terjawab.

Antara persoalannya ialah punca pemecatan itu berlaku sama ada disebabkan kegagalan Ahli Parlimen Bachok berkenaan hadir ke mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas atau ekoran tindakannya mengiringi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.

Malah sumber berkata, tidak mustahil berita pemecatan yang diumumkan sejurus selepas kepulangan Nasharudin mengiringi lawatan Perdana Menteri ke Gaza bertujuan mengalihkan isu kalimah Allah yang sebelum ini menjadi perbualan hangat dalam masyarakat.

“Lebih menimbulkan persoalan selain berita pemecatan itu lewat diumumkan iaitu selepas dua minggu keputusan dibuat (13 Januari), surat mengenai pemecatan ini juga sehingga kini masih belum diterima oleh Nasharudin," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan sumber itu berkata, jika alasan tidak hadir mesyuarat digunakan untuk memecat Nasharudin, mengapa salah seorang ahli Majlis Syura Ulama Pas iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga sering tidak hadir mesyuarat tidak dikenakan tindakan sama.

“Sepatutnya Daud Iraqi juga wajar dipecat kerana sering tidak hadir dalam mesyuarat. Bagaimana pula tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering keluar mesyuarat awal dengan pelbagai alasan. Paling lama sepuluh ke 15 minit. Adakah ini dibolehkan?" ujar sumber itu.

Sumber itu berkata lagi, tidak keterlaluan juga tindakan yang sama wajar dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang sering tidak hadir ke mesyuarat.

Berhubung kegagalan Pas menyerahkan surat pemecatan kepada Nasharudin sumber itu memberitahu, keadaan itu sememangnya menimbulkan misteri dan persoalan kerana keputusan pemecatan itu telah berlaku pada 13 Januari lalu.

“Di mana keberkesanan pentadbiran Majlis Syura Ulama Pas dan Setiausaha Agung Pas menguruskan perkara ini. Satu lagi persoalan adakah benar keputusan memecat Nasharudin itu telah dibuat pada 13 Januari lalu.

“Atau kemungkinan juga pemecatan itu dibuat selepas pemimpin-pemimpin Pas melihat Nasharudin mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini. Segala-galanya mungkin," katanya lagi.

Satu lagi perkara yang boleh dipertikaikan kata sumber itu, Pas tidak mengikut tata cara pemecatan yang betul kerana Nasharudin sebelum dipecat tidak diberi surat tunjuk sebab dan haknya untuk membela diri.

Dalam pada itu sumber tersebut berkata, sekiranya tindakan Nasharudin mengiringi Perdana Menteri ke Gaza dianggap satu kesalahan, dua lagi pemimpin kanan Pas juga perlu dikenakan tindakan sama kerana mengiringi seorang Menteri Kabinet ke Eropah baru-baru ini.

“Dua pemimpin ini merupakan Ahli Parlimen Pas. Mereka dikatakan telah mengiringi seorang Menteri Kabinet ke Eropah. Sekiranya Nasharudin dikatakan bersalah kerana mengiringi Perdana Menteri, dua pemimpin kanan ini juga boleh dikenakan tindakan atas alasan yang sama," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kata sumber itu, Nasharudin bukan sekali dua diberi peluang untuk mengiringi pemimpin utama kerajaan ke luar negara bahkan beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi wakil Malaysia.

“Pernah satu ketika iaitu pada tahun 2011 Nasharudin telah diberi kepercayaan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mewakilinya dalam persidangan Speaker negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Damsyik meskipun Nasharudin seorang Ahli Parlimen Pas," katanya lagi.

Sementara itu Nasharudin mengesahkan bahawa beliau belum menerima surat pemecatan sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas setakat hari ini.

“Saya masih menanti surat itu, sepatutnya saya sudah menerimanya kalau betul keputusan pemecatan dilakukan pada 13 Januari lalu," katanya.

Read more »

Monday, January 28, 2013

Kerajaan Negeri Prihatin Masalah Orang Asli


Kerajaan negeri mengakui memorandum yang diserahkan 13 wakil penduduk perkampungan Orang Asli sekitar Ulu Jelai, Cameron Highlands berhubung pencerobohan tanah adat milik mereka ada asasnya, namun tuntutan mereka untuk menghentikan Projek Empangan Hidro Elektrik Ulu Jelai sesuatu yang tidak logik.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri mengakui masalah pencerobohan tanah adat Orang Asli sekitar Cameron Highlands memang berlaku.

Menurutnya, hasil pertemuan bersama 30 Tok Batin di kawasan itu penghujung November tahun lalu,  beliau mendapat banyak aduan berhubung perkara tersebut.

“Ini kerana penduduk Orang Asli bergantung kepada tanah adat yang diwarisi sejak nenek moyang tetapi ada pihak yang menceroboh untuk pelbagai aktiviti termasuk pertanian dan sebagainya.

“Kerajaan mengambil serius hal ini, malah saya sendiri menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan perkara ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, di sini, semalam.

Adnan berkata,  perdana menteri memberi maklum balas segera dan meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib Orang Asli.

“Kita juga minta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengemukakan kertas cadangan bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertanggungjawab terhadap projek empangan tersebut difahamkan ada menyediakan penempatan semula kepada penduduk kampung yang terlibat, bagaimanapun TNB dicadangkan supaya menyediakan rumah jenis berkembar yang lebih selesa dan bukan rumah teres.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu masyarakat Orang Asli yang terlibat atas dasar keadilan dan hak mereka sebagai rakyat.

“Bagaimanapun kita minta mereka tidak terpengaruh atau menjadi alat kepada sesetengah pihak yang sengaja menjadikan isu-isu Orang Asli ini demi kepentingan mereka sendiri, sebaliknya kerajaan negeri juga yang akan menyelesaikan masalah itu.

“Kita percaya sesetengah daripada penduduk tidak mendapat maklumat jelas berhubung projek ini dan atas sebab itu mereka tampil menyerahkan memorandum,” katanya.

Kelmarin, penduduk Orang Asli sekitar kawasan Ulu Jelai termasuk dari Lembah Sungai Bertam, Telom dan Terisu, Cameron Highlands menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar dan TNB berhubung isu tanah adat yang diwarisi mereka sejak beberapa generasi lalu yang terpaksa 'diserahkan’ untuk memberi laluan kepada pembinaan empangan hidro elektrik.

Memorandum setebal dua muka surat itu diserahkan Jawatankuasa Jaringan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Cameron Highlands (JARICH) kepada TNB kira-kira jam 10.30 pagi dan diterima Ketua Bahagian Perkhidmatan Pelanggannya, Rozianis Mohd Noor, manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shamsuddin Nawawi menerima bagi pihak Adnan di Wisma Seri Pahang kira-kira jam 11.30 pagi.

Read more »

Kaki Minum Ditahan


Kehadiran sekumpulan lelaki datang melepak di sebuah taman permainan kanak-kanak sambil membawa minuman bungkus saban malam menimbulkan tanda tanya penduduk Padang Tengku, Lipis sejak beberapa bulan lalu.

Kecurigaan penduduk itu berasas apabila mereka mendapati kumpulan terbabit melepak dalam keadaan mabuk sedangkan tiada botol arak di temui di kawasan itu sebaliknya hanya plastik bungkusan minuman yang bertaburan.

Susulan kecurigaan mereka itu, penduduk tampil membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk memantau dan mengambil tindakan lanjut berhubung aktiviti kumpulan tersebut.

Hasil aduan penduduk, seramai 15 pegawai penguat kuasa diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Mohd Anis Mohd Azmi  dengan kerjasama polis menjalankan pemeriksaan di kawasan taman permainan itu sebelum menahan 13 lelaki berusia antara 25 hingga 65 tahun untuk siasatan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, pihaknya mendapati 10 daripada mereka berada dalam pengaruh alkoho.

Menurutnya, agak mengejutkan apabila minuman yang ditemui mendapati ianya mengandungi minuman keras yang dipercayai dibungkus terlebih dahulu sebelum dibawa ke lokasi itu bagi mengaburi masyarakat.

“Kita tidak pasti sama ada mereka membeli minuman keras itu dan membungkus sendiri atau ada kedai yang menyediakan arak bungkus untuk pelanggan beragama Islam. Ini kali pertama kita berdepan dengan taktik ini namun atas kerjasama masyarakat dan polis kita berjaya mengesan dan membongkar aktiviti itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ahmad Raffli berkata, semua yang ditahan termasuk seorang warga emas itu dibawa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Lipis untuk siasatan lanjut atas kesalahan meminum arak mengikut Seksyen 136

Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

“Semua yang terlibat berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun dan tidak kurang enam sebatan,” katanya.

Read more »

Saturday, January 26, 2013

Pemimpin PAS Menghina Usaha Membantu Umat Islam

SEPERTI diduga ada pihak khususnya penyokong-penyokong Pas bagaikan cacing kepanasan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri yang pertama dari Malaysia menjejak kaki ke Palestin tetapi juga pemimpin Islam pertama dari bukan dalam kalangan negara Arab berbuat demikian.

Walaupun lawatan itu dibuat atas niat yang ikhlas bagi menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis, namun bagi puak-puak berkenaan mereka lebih suka melihatnya dari sudut politik yang sempit dan dangkal.

Justeru serangan dilakukan melalui facebook, blog dan tidak terkecuali khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memperlekehkan keberanian Najib memasuki zon perang seperti mana dipuji oleh media-media Arab. Pelbagai andaian mereka lakukan kononnya pihak Palestin tidak menerima kehadiran Najib, biar pun sepanjang lawatan itu Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh berada di dalam satu kereta meninjau situasi di Gaza bersama Perdana Menteri.

Mungkin akibat kekurangan ilmu dan maklumat serta dibaluti pula perasaan politik kebencian yang mendalam maka bantahan oleh pergerakan Fatah dijadikan modal untuk memperlekehkan lawatan Najib.

Inilah sikap puak-puak yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi di hati mereka terpalit perasaan dengki dan iri hati apabila melihat lawatan kemanusiaan Najib itu mendapat pujian majoriti rakyat Malaysia.

Perdana Menteri melakukan lawatan berkenaan bukan atas tujuan politik apatah lagi mempunyai udang di sebalik batu, Najib tidak melakukan lawatan itu semata-mata untuk mencari populariti, mencari populariti politik dengan memasuki zon perang bukanlah tindakan politik yang bijak.

Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Najib ialah untuk menunjukkan sokongan padu Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin yang sebelum ini didahului dengan pelbagai bantuan melalui kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara kita.

Kehadiran Najib dianggap kemuncak kepada sokongan berkenaan dan memberikan mesej yang jelas kepada Palestin serta dunia bahawa Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Tetapi puak-puak yang hati mereka sudah dikotori dengan politik kepartian dan kebencian peduli apa, mereka berusaha memperlekehkan lawatan Najib kerana lawatan berkenaan adalah satu tamparan kepada mereka. Selama ini tidak ada pemimpin utama mereka yang menjejak kaki ke bumi Palestin. Mereka berdegar-degar bercakap soal Islam, menjerit-jerit menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan meletakkan Israel sebagai rejim laknatullah. Tetapi tiada seorang pemimpin mereka pun berani memasuki zon perang tersebut.

Sepatutnya, mereka berbangga sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia, Najib bersedia mempertaruhkan nyawa bersama rombongan beliau memasuki Gaza yang boleh dimusnahkan dalam sekelip mata oleh rejim Zionis. Najib melakukan lawatan itu bukan atas nama Presiden UMNO atau Pengerusi Barisan Nasional (BN) tetapi atas nama Perdana Menteri Malaysia, ertinya kalau mereka rakyat Malaysia, mereka pasti akan tumpang berbangga dengan kejayaan lawatan Najib itu.

Namun oleh kerana fikiran sudah ditutup dengan ketaksuban politik dan di hati diselubungi dengan perasaan iri hati hanya kerana berbeza ideologi politik maka tindakan Najib yang boleh dianggap satu jihad bagi membantu sesama Islam dipolitikkan.

Justeru tidak hairanlah apabila mereka juga mengatur 'serangan' bertubi-tubi ibarat serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin kepada Nasharudin Mat Isa yang mengikuti lawatan berkenaan. Pelbagai SMS diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas itu termasuklah menuduh beliau tali barut UMNO, munafik, ada udang di sebalik batu dan macam-macam lagi kata nista hanya kerana Nasharudin yang juga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia menyertai lawatan yang amat mulia di sisi Islam tersebut.

Apa yang memalukan, ketika puak di dalam Pas menghamburkan pelbagai kata nista kepada Nasharudin dan Perdana Menteri dengan tujuan memperlekehkan lawatan ke Gaza, Nasharudin turut menerima SMS daripada rakyat Malaysia bukan Islam yang bangga dengan lawatan bersejarah itu. Persoalannya kenapakah puak-puak ini begitu iri hati dengan lawatan Perdana Menteri? Kenapakah perlu mengutip dosa-dosa kering dengan melakukan tohmahan, fitnah dan tuduhan kepada peserta-peserta rombongan khususnya Nasharudin?

Kalau pun sudah tidak ada modal politik berikutan pelbagai kemelut dan masalah yang berlaku kepada pakatan pembangkang, janganlah soal memperjuangkan nasib rakyat Palestin pun mahu dipolitikkan!

Sememangnya penulis akui ada bantahan daripada Fatah kerana berlaku salah tafsir terhadap tujuan lawatan Najib, mereka melihat dari sudut politik kononnya lawatan Najib itu akan memberi kelebihan kepada politik Hamas. Tetapi hakikatnya, ia adalah lawatan kemanusiaan dan bukannya lawatan bagi mencampuri urusan dalaman Palestin termasuk penubuhan kerajaan perpaduan antara Fatah dan Hamas.

Tetapi kerajaan Malaysia bukan seperti kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang yang menjadi pak turut kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tetapi Malaysia adalah negara berdaulat dan berhak membuat keputusansendiri. Apatah lagi menjejak kaki ke bumi Palestin sudah lama menjadi idaman Najib sejak beliau menjadi menteri lagi dan sekarang apabila berada dalam kedudukan yang boleh dijadikan platform bagi menunjukkan manifestasi kemuncak sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin maka Najib melangkah ke Gaza, apakah itu satu dosa?

Daripada puak-puak tersebut terus menghabiskan masa memperlekehkan usaha Najib dan kerajaan Malaysia dalam isu Palestin adalah lebih baik mereka memberi sedikit ruang untuk berdoa agar perjuangan rakyat Palestin mencapai kejayaan. Langkah itu lebih baik daripada terus mengutip 'dosa-dosa' kering akibat sudah semakin pekak, buta dan tuli untuk membezakan yang mana tindakan bertujuan politik dan yang mana satu mencari keredaan Allah SWT serta menyahut seruan Rasulullah SAW agar umat Islam sentiasa prihatin terhadap nasib umat Islam yang lain.

Justeru tidak perlulah kita melayan dan berasa gundah dengan sebarang usaha memperlekehkan lawatan kemanusiaan Najib ke Gaza kerana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, apa pun yang dilakukan oleh beliau dan pemimpin kerajaan khusus UMNO pasti akan dipolitikkan oleh golongan yang semakin muflis modal politik akibat dibaluti politik kebencian mendalam!

Read more »

Azam Malaysia Damaikan Hamas - Fatah


KUNJUNGAN Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza menunjukkan keazaman bersungguh-sungguh Malaysia untuk melahirkan penyatuan antara dua kumpulan yang berbeza dan saling berkonflik dalam menentukan arah haluan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.

Konflik Hamas dan Fatah dikatakan bermula pada 2005 setelah kematian pengasas Pertubuhan Pembebasan Palestin, Yasser Arafat November 2004. Ia bertambah buruk apabila Hamas memenangi pilihan raya Palestin yang pertama penghujung 2006, dan berkuasa di Gaza manakala Fatah menguasai Tebing Barat.

Keputusan pilihan raya itu tidak diiktiraf oleh Israel kerana Hamas bukan sebuah pertubuhan yang menyokong perjanjian untuk mengiktiraf kedudukan negara Yahudi sebagai sebuah negara. Bagi Israel, hanya Pertubuhan al-Fatah sahaja berhak memerintah Palestin atas alasan dalam pilihan raya tersebut, Hamas kalah dalam pemilihan jawatan presiden.

Kumpulan Hamas atau Harakat al-Muqawwamatul Islamiyyah atau Pergerakan Pertahanan Islam ditubuhkan 1987 di Gaza manakala al-Fatah atau Harakat at-Tahrir al-Wathani al-Filasthini atau Pertubuhan Pembebasan Palestin ditubuhkan 1958. Al-Fatah adalah salah satu kumpulan yang bergabung dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin atau dikenali sebagai PLO yang ditubuhkan oleh Yasser Arafat dan menjadi pemimpin tertinggi selama lebih tiga dekad (1969-2004).

Setelah kematian Yasser Arafat, Hamas mula merasakan kedudukannya semakin kuat dan dominan. Apabila al-Fatah melantik Mahmoud Abas sebagai pemimpin utama menggantikan Yasser Arafat, Ismail Haniyeh yang pernah dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin mengambil sikap membantah dan kembali mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dengan mengambil pendirian memisahkan Gaza sebagai sebahagian daripada negara Palestin.

Hamas memilih kaedah perjuangan dengan kekerasan manakala Pihak Berkuasa Palestin di bawah pimpinan Mahmud Abas memilih pendekatan perundingan selari dengan prinsip Islam.

Pemisahan psiko-politik kesan konflik Hamas-Fatah menyebabkan Israel begitu mudah untuk mengkhianati sebarang persetujuan damai yang pernah ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Bahkan ketika marahkan kemenangan Hamas, Israel melakukan serangan kejam dengan mengebom, membedil dan menggunakan senjata kimia bagi menyiksa penduduk Gaza. Seluruh pintu masuk ke Gaza dikepung menyebabkan kehidupan rakyat Palestin menjadi semakin getir dan sukar.

Kepungan itu membangkitkan semangat sukarelawan seluruh dunia melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza, dan Israel semakin marah. Pada 2003, askar Israel menggunakan jentolak menghalang Rachel Corrie, ketika itu berusia 23 tahun dari Amerika Syarikat (AS) bersama-sama kumpulan International Solidarity Movement (ISM) daripada menyekat kerja-kerja meruntuhkan sebuah rumah penduduk di Rafah.

Ketika Corrie terbunuh, ia tidak memberikan impak besar kerana Israel berjaya menipu masyarakat dunia bahawa kematian itu disebabkan kemalangan dan bukannya digelek jentolak secara sengaja oleh pihak tentera. Hanya setahun kemudian Kolonel Lawrence Wilkerson (Ketua Staff Kementerian Luar dan ketika itu, Menteri Luar AS, Collin Powell) memberitahu ibu bapa Corrie, hasil siasatan Israel mengenai kematiannya adalah tidak benar.

Pada 2005, ibu bapa Corrie mengambil tindakan undang-udang ke atas tentera Israel dan pengeluar jentolak jenama Caterpillar bagi mendapat keadilan. Bagaimanapun, saman ke atas pengeluar jentolak yang berpengkalan di Illionis, AS digugurkan (2007) kerana ia bukanlah ada kaitan dengan dasar luar Washington.

Pengguguran ke atas saman tersebut telah membangkitkan semangat kemanusiaan yang lebih besar kepada masyarakat antarabangsa sehingga mencetuskan lebih banyak dan besar misi kemanusiaan ke Gaza. Bagaimanapun, misi kemanusiaan gagal mencapai matlamatnya akibat sekatan Israel dan kerjasama tentera Mesir yang menghalang penggunaan jalan darat terutama melintasi sempadannya, di Rafah.

Pada 2010, sukarelawan daripada pelbagai negara termasuk dari Malaysia menyusun strategi menyampaikan bantuan kemanusiaan menerusi jalan laut, bergerak dari Ankara, Turki pada minggu terakhir Mei. Misi kemanusiaan itu dikenali sebagai Flotila Pembebasan Palestin, disertai oleh tujuh buah kapal yang diketuai oleh Kapal Mavi Marmara dan sebuah pertubuhan kemanusiaan dari Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH).

Tengah malam 30 Mei, kapal Marvi Marmara dikepung oleh komando tentera laut Israel ketika masih berada di perairan antarabangsa dan kemudiannya mengarahkan kapal itu menuju ke pelabuhan Ashdod, iaitu sebuah pelabuhan Israel. Kepungan itu tidak diendahkan oleh sukarelawan dan menjelang awal pagi 31 Mei, komando tentera laut menyerang kapal tersebut sehingga membunuh lapan sukarelawan, termasuk tujuh adalah rakyat Turki.

Akhir tahun lalu, Israel sekali lagi melakukan serangan kejam ke atas Gaza menyebabkan ratusan kanak-kanak dan wanita terbunuh sebagai reaksi balas anggota Hamas yang melancarkan roket ke arah beberapa buah kampung di kawasan sempadan. Roket dan peluru berpandu Hamas itu dikatakan hasil keluaran atau bantuan Iran, yang sedang ditekan oleh Israel dan AS atas keengganan Presiden Ahmadinejad menghentikan proses pembangunan dan pengayaan teknologi nuklear.

Kehadiran Perdana Menteri ke Gaza dua hari lalu membawa mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia yang mempelopori gerakan kesederhanaan benar-benar membuktikan keazaman untuk menamatkan konflik di Asia Barat dengan memulakan langkah membantu menyelesaikan perpecahan dan permusuhan antara Hamas dan Fatah.

Hamas dan Fatah melaksanakan beberapa rundingan untuk menamatkan konflik bersaudara sejak kedua pemimpinnya muncul dalam sebuah rancangan televisyen, Debat Doha pada Mac 2010.

Pada 27 April 2011, Fatah dan Hamas mencapai persetujuan menamatkan konflik di Kaherah. Kedua pihak bersetuju, satu bentuk kerajaan perpaduan perlu diwujudkan dan mengadakan pilihan raya di kedua-dua wilayah dalam tempoh setahun pembentukan kerajaan perpaduan. Pada 4 Mei 2011, Fatah yang diwakili oleh Mahmoud Abas dan Hamas oleh Khaled Meshal membentuk rangka kerajaan "peralihan" bagi merancang persediaan mengadakan pilihan raya perundangan dan presiden dengan membenarkan kemasukan Hamas dalam PLO serta memegang jawatan dalam Majlis Kebangsaan Palestin.Hamas akan terus menjaga keselamatan di Gaza manakala Fatah di Tebing Barat.

Dengan kepintaran helah Isreal, AS turut membantah perjanjian itu dan menjadi azam Malaysia untuk membantu merealisasikannya sebagaimana kejayaan yang dirintis menyelesaikan sengketa antara Bangsamoro dengan Manila tahun lalu.

Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, Malaysia mengambil berat mengenai permasalahan rakyat dan keprihatinan itu perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa menerusi pendekatan kesederhanaan.

Pendekatan sedemikian sudah diterima baik oleh AS dan beberapa negara Barat, maka usaha yang baharu sahaja bermula di Gaza itu akan memberikan petunjuk betapa ikhlasnya penyertaan Malaysia untuk mempelopori keamanan sejagat.

Tindakan tersebut dilihat sebagai tamparan hebat kepada parti-parti pembangkang di Malaysia kerana tidak membuktikan apa yang mereka sering perkatakan kepada rakyat. Misalnya, mengenai seruan kepada perpaduan dan penyatuan kepentingan, parti-parti pembangkang tidak benar-benar melaksanakannya, bahkan dalam masa sama, ketiga-tiganya seringkali bercanggah termasuk pendirian mengenai penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.

Cara bersemuka yang dipelopori oleh Perdana Menteri dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah menampakkan impak diplomatik bagi membina dan mengukuhkan hubungan antara dua negara. Ketika berhadapan dengan pelbagai kesukaran, Najib menjadi lebih kreatif dan mampu membentuk kaedah penyelesaian terbaik berbanding pemimpin pembangkang, ketika berhadapan dengan masalah secara tuntasnya cuba membebaskan diri dengan membuat dakwaan, permainan pihak media, keadaan tertekan dan mengugut, "perlu minta maaf, kalau enggan bakal disaman."

Transformasi Najib mula membuahkan hasil, dan kejayaan itulah memberikan keyakinan masyarakat antarabangsa bahawa memangnya Malaysia mampu melibatkan diri secara berkesan membantu menyemai pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan bukan sahaja dalam negara bahkan masyarakat antarabangsa.

Read more »

Friday, January 25, 2013

BN Guna Pendekatan Wasatiyyah


CHENOR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan pendekatan wasatiyyah dengan tidak mempolitikkan isu sensitif membabitkan agama seperti dilakukan Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, umat Islam perlu bersatu dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang juga membangkitkan sensitiviti itu terutama menyentuh hak Islam.

Menurutnya, setiap masyarakat mempunyai peranan dalam memastikan keamanan negara ini dipertahankan dan menolok sebarang usaha menggugat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil bagi mengelak pandangan negatif pihak luar terhadap agama Islam yang kini telah dipolitikkan secara berleluasa.

“Pendirian PR terhadap keputusan Majlis Syura membuktikan bahawa mereka hanya menerima keputusan tersebut, tetapi tidak berganjak dari cadangan membenarkan kalimah ALLAH digunakan untuk bukan Islam.

“Sebagai seorang umat Islam, kita tidak boleh berkompromi dengan perkara sedemikian kerana ia menyentuh soal akidah selain mengancam keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal  Persekolahan  di  Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Mahmudi, Pekan Awah. Ismail berkata, pihak pembangkang diingatkan agar tidak mempolitikkan bidang pendidikan kerana kerajaan sentiasa mementingkan dan mengambil berat aspek berkenaan sejak dahulu.

Menurutnya, bantuan persekolahan berkenaan boleh merangsang anak-anak untuk meneruskan persekolahan dan melakukan transformasi seperti disaran kerajaan.

“Dulu jika nak buka sekolah, ibu bapa pening kepala kerana perlu bayar yuran, buku teks, pakaian seragam. Sekarang sudah ada buku teks percuma, yuran tak perlu bayar dan mulai tahun lalu kerajaan beri pula bantuan khas awal persekolahan,” katanya.

Read more »

Poligami Mampu Menambah Bilangan Murid

Tahzir menyampaikan bantuan kepada pelajar tahun 4, Mohd Ilham Juljani diiringi ibunya Sarimah Hassan, 47, pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM100 di SK Felda Mengkuang

FELDA MENGKUANG - Isteri peneroka perlu membenarkan suami mereka berkahwin lain untuk menambah zuriat dan penduduk tanah rancangan ini.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Felda Mengkuang, Zaharudin Ibrahim berkata, cadangan itu berikutan jumlah murid semakin berkurangan setiap tahun.

Katanya, pada tahun ini, hanya terdapat 98 murid di sekolah itu dan dijangka angka tersebut terus menurun lima tahun akan datang.

“Sejak lima tahun lalu, jumlah pelajar berkurangan dan kita bimbang keadaan ini bertambah serius,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM100 disampaikan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bera, Tahzir Husain, semalam.

Hadir sama, Guru Besar, Sazali Baba.

Zaharudin berkata, bagi sesi persekolahan 2013, murid bakal memasuki tahun 1 adalah seramai 10 orang, manakala 2014 pula kurang daripada 10 orang berdasarkan jumlah kanak-kanak prasekolah dan kelas literasi di sini.

Katanya, lebih membimbangkan apabila sepanjang dua tahun lalu, tiada rekod kelahiran dicatatkan di tanah rancangan ini.

“Jika tiada penduduk luar menghantar anak mereka ke sekolah ini, kemungkinan bermula 2018, tiada pendaftaran murid baru bagi tahun 1. Kita tidak mahu perkara seumpama itu berlaku kerana sekolah ini mampu menampung ramai murid.

“Bagi mengatasi masalah itu, PIBG dan pengurusan sekolah melaksanakan kempen di kawasan sekitar terutama pekan Mengkuang dan Simpang Bukit Mendi supaya penduduk menghantar anak mereka bersekolah di sini,” katanya.

Read more »

Semangat Satu Ummah.


HUSSEIN AL JABARI, mungkin tidak memahami apa-apa apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memeluk dan memangkunya. Namun kanak-kanak berusia enam tahun itu pasti mengerti bahawa kehadiran Perdana Menteri Malaysia ada kaitan dengan kematian bapanya, Ahmed Al-Jabari yang terbunuh dalam serangan roket oleh Israel pada 14 November lalu.

Sebelum itu, sebaik-baik sahaja tiba di pusat Imigresen Sempadan Rafah-Gaza, Najib dibawa melihat kereta Allahyarham Ahmed Al-Jabari yang musnah dalam tindakan ganas rejim Zionis itu.

Kematian Komander Briged Al-Qassam itu merupakan permulaan kepada serangan selama lapan hari berturut-turut oleh rejim Zionis ke atas Bandar Gaza dan ia juga terus membakar semangat jihad rakyat Palestin.

Serangan Israel itu seperti biasa bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat Palestin tetapi juga memusnahkan harta benda termasuk pejabat Perdana Menteri Ismail Haniyeh, masjid, stadium dan sekolah.

Ternyata sasaran Israel bukanlah kem atau penempatan tentera Palestin tetapi orang awam dan kelmarin Najib dapat melihat sendiri kekejaman rejim Zionis berkenaan.

Sambil menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel itu sama sekali tidak mematuhi peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Najib mengakhiri lawatan bersejarahnya ke bumi Palestin dengan menyeru dua pergerakan utama dalam perjuangan rakyat Palestin iaitu Hamas dan Fatah supaya bersatu.

Walaupun menempuh program lawatan yang cukup padat dan singkat serta pantas, namun kepuasan jelas terbayang di wajah Perdana Menteri pada akhir lawatan.

Ia memandangkan, lawatan tersebut bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang berbuat demikian malahan Najib juga adalah pemimpin Islam yang pertama daripada bukan kalangan negara Arab yang menjejak kaki ke bumi Palestin. Semua itu dilakukan seperti mana kata Najib dalam ucapannya ketika pertemuan dengan Kabinet Palestin ia berdasarkan kepada gerak hati.

‘‘Tiada cara yang lebih baik, selain menjejaki kaki ke Gaza dan bumi Palestin bagi menunjukkan tanda sokongan kami yang tidak berhenti-henti terhadap perjuangan rakyat Palestin," kata Najib.

Malahan Najib menegaskan, perjuangan di bumi Palestin bukan berkaitan rakyat Palestin sahaja tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya.

Sebab itulah, Najib sebelum meninggalkan bumi para Syuhada dan Anbiya itu mahu melihat Hamas dan Fatah mencapai kata sepakat dalam pelan perdamainan yang diusahakan oleh Mesir.

Penyatuan antara kedua-dua pertubuhan itu amat penting kerana jika mereka terus bertelagah sesama sendiri yang akan untung ialah Israel manakala di bumi Palestin lebih ramai kanak-kanak akan menerima nasib seperti Hussein Al-Jabari.

Fatah dikatakan menguasai wilayah yang mempunyai lebih 4 juta rakyat Palestin manakala Hamas pula sekitar 1.5 juta, oleh itu mahu tidak mahu kedua-dua pihak perlu mencapai kata sepakat untuk membolehkan pembentukan sebuah negara merdeka tercapai.

Seperti mana kata Najib dalam ucapannya, beliau menempuh perjalanan sejauh 7,500 kilometer untuk bersama rakyat Palestin, sepanjang perjalanan berkenaan beliau melalui Indonesia yang mempunyai lebih 200 juta penduduk Islam, India dan Pakistan yang masing-masing mempunyai 170 juta umat Islam dan negara-negara Teluk.

Walaupun jarak, bahasa dan budaya berbeza namun kesemua mereka adalah ‘Satu Ummah’. Semangat ‘Satu Ummah’ inilah yang seharusnya menjadi sandaran utama kepada Fatah dan Hamas untuk mencapai kata sepakat sesama mereka.

Tidak dinafikan bahawa antara kedua-dua pergerakan itu ada perbezaan pendapat tetapi mereka tidak boleh selama-lamanya bertelagah kerana matlamat utama mereka adalah memerdekakan Palestin.

Setakat ini pelan perdamaian yang diusahakan mendapat sambutan positif kedua-dua belah pihak dan semangat itu diharapkan oleh Najib akan berkekalan.

Persefahaman antara kedua-dua pihak bakal menentukan masa depan rakyat Palestin yang sudah cukup sengsara ditindas oleh rejim Zionis, mereka tidak mampu lagi menempuh pula pertelingkahan berpanjangan sesama sendiri.

Selain itu, atas semangat Satu Ummah itu juga, Najib menjejak kaki ke bumi Palestin dan kehadiran beliau ternyata disambut dengan penuh meriah oleh pemimpin-pemimpin Palestin apabila Ismail Haniyeh sendiri mengiringi Najib ke semua lokasi lawatan Perdana Menteri Malaysia itu.

Bagi rakyat Palestin, mereka begitu berbesar hati menerima kehadiran Najib. Selain di sepanjang jalan dan di tempat disinggahi di bandar Rafah dan Gaza, mereka melaungkan nama Malaysia.

Lawatan itu turut mendapat liputan seluruh media di Palestin yang dianggap oleh seorang pegawai Perdana Menteri, ‘cukup mengagumkan dan luar biasa’.

Bagi warga Palestin, lawatan Najib adalah satu kenangan manis kepada mereka.

‘‘Selama ini kami hanya menerima bantuan daripada rakyat Malaysia sahaja tetapi hari ini (Selasa) kami dapat melihat wajah Perdana Menterinya…ini satu kenangan yang cukup manis dan pasti akan meningkatkan lagi semangat rakyat Palestin dalam perjuangan suci mereka," kata Dr. Hussein, pensyarah kanan di Universiti Al-Aqsa, Gaza.

Dr. Hussein sememangnya ‘rapat’ dengan Malaysia kerana beliau melanjutkan pelajaran dalam peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan fasih berbahasa Melayu.

Ketika penulis menemui beliau di pintu Sempadan Rafah-Gaza bagi menanti ketibaan Perdana Menteri, beliau menceritakan bagaimana bangga dan terharunya rakyat Palestin menerima lawatan Najib.

‘‘Kami ingin menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib bahawa rakyat Palestin benar-benar menghargai sokongan rakyat Malaysia terhadap kami dan malahan kami juga terkejut kerana Najib sanggup menjejak kaki ke bumi Palestin," katanya.

Dr. Hussein seperti juga pihak lain melihat Najib sepanjang lawatan berkenaan telah memberikan mesej yang jelas kepada rakyat Palestin iaitu mereka mesti bersatu jika ingin mencapai keamanan dan kemakmuran.

Apa pun lawatan Najib adalah satu sejarah dan membuktikan keikhlasan Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Pujian juga harus diberikan kepada Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Mesir dan pelbagai agensi kerajaan lain yang memainkan peranan cukup penting untuk memastikan lawatan kali pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia menjadi satu kenyataan.

Kejayaan itu sekali gus meningkatkan imej Malaysia di mata dunia khususnya negara-negara Islam bahawa Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.

Semoga lawatan Najib akan meningkatkan lagi semangat rakyat Palestin untuk meneruskan perjuangan bagi membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka, aman, makmur dan bermaruah melalui semangat Satu Ummah.

Read more »

Wednesday, January 23, 2013

Najib Tun Razak Melakar Sejarah


Datuk Seri Najib Tun Razak yang hari ini mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengadakan lawatan ke bumi Palestin menawarkan bantuan Malaysia untuk menjayakan pelan perdamaian antara Hamas dan Fatah.

Sambil menyatakan Malaysia bersedia melakukan apa juga cara bagi menjayakan usaha itu, Perdana Menteri berkata, tawaran tersebut atas keyakinan hanya melalui perpaduan sahaja keamanan dan kemakmuran akan tercapai.

Menurut Najib, hasrat Malaysia itu juga berdasarkan kepada pengalaman menjadi orang tengah bagi melaksanakan rundingan damai di Selatan Filipina yang dilanda perang saudara sejak 40 tahun lalu.

Melalui dialog, ujar beliau, rundingan dan perdamaian, akar permasalahan yang mencetuskan konflik berjaya ditamatkan sehingga membolehkan usaha mewujudkan perdamaian dilakukan di sebuah rantau yang sepanjang masa hanya berperang.

''Pelan Perjanjian Damai yang ditandatangani di Filipina baru-baru ini telah menamatkan penderitaan dan kesengsaraan yang ditempuh bergenerasi lamanya. Ia adalah proses yang perlahan dan sukar, kejayaan dicapai secara berperingkat-peringkat bukan sekelip mata.

''Tetapi Malaysia berbangga kerana memainkan peranan untuk membawa kedua-dua pihak bersama, membantu mengadakan dialog dan menggerakkan perundingan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam majlis penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa Gaza.

Turut hadir Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh; Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd. Zain.

Malaysia sejak bertahun-tahun memberi sokongan penuh dan berdiri teguh bersama-sama perjuangan rakyat Palestin dalam konflik dengan Israel.

''Kami percaya kepada hak manusia untuk hidup aman, selamat dan bermaruah. Atas sebab itulah Malaysia secara konsisten menggesa dunia supaya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan isu Palestin sama ada di peringkat serantau, atau melalui Kerjasama Negara-negara Islam dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

''Komitmen kami dalam usaha untuk memastikan penyelesaian dalam konflik penuh kezaliman ini adalah jelas, kami mahu menyaksikan sebuah negara Palestin yang bersatu dan merdeka serta dapat menikmati keamanan dan keselamatan yang menjadi hak semua umat di dunia ini," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Najib mengumumkan Malaysia menawarkan tempat dan biasiswa kepada mana-mana pelajar Palestin yang berhasrat melanjutkan pelajaran di Malaysia dalam peringkat ijazah pertama dan sarjana.

''Adalah menjadi harapan kami, pengajian di peringkat berkenaan akan membantu anda dalam membangunkan semula dan melaksanakan pembangunan di negara anda," katanya.

Read more »

Rebat Smartphone - Peniaga Catat Keuntungan


Para pengedar telefon dan penyedia telekomunikasi tempatan kini mengalami lonjakan jualan yang besar selepas kerajaan memutuskan untuk membenarkan pemberian rebat RM200 bagi kesemua jenis telefon pintar.

Malah, sesetengahnya berhadapan masalah baharu, iaitu mereka tidak mempunyai telefon yang mencukupi untuk dijual, berikutan lonjakan permintaan tersebut.

Langkah kerajaan mengetepikan had membeli telefon pintar bernilai RM500 satu atau kurang dijangka memanfaatkan kira-kira sejuta belia berusia antara 21 dan 30 tahun yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Sdn Bhd Jason Lo berkata sejak pengumuman tersebut, permintaan mendapatkan telefon pintar telah meningkat lebih 50 peratus.

Tune Talk adalah salah satu penyedia perkhidmatan bagi pakej itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Pengumuman itu adalah langkah yang baik oleh kerajaan. Kami menerima sekitar 10 hingga 15 permohonan baharu mendapatkan rebat setiap hari dan bilangan itu semakin meningkat," katanya. - BERNAMA

Read more »

Tuesday, January 22, 2013

Majlis Syura Diperlekeh Rakan PAS


Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh tanpa berselindung meneruskan asakannya kali ini dengan nada 'merayu' menuntut PAS supaya menarik balik keputusan Majlis Syura Ulama parti itu untuk menghalang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam khususnya dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Bunyinya seperti mendayu-dayu memujuk, tapi ramai yang faham itu hanya isyarat bernada 'lembut' yang jelas kehendaknya. Suka atau tidak, PAS terhimpit antara memartabatkan pendirian rasmi Majlis Syura ataupun mendahulukan kepentingan politiknya dalam PR.

Sebelumnya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah tampil dengan kenyataan tegas bahawa pakatan pembangkang, PR tetap kekal dengan keputusan Majlis Pimpinan Tetinggi PR pada 8 Januari 2013 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible.

"Kami terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," kata Azmin dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas.

Demikian hinanya kedudukan Majlis Syura Ulama PAS di mata PKR, sedangkan sebagai rakan sepakatan sepatutnya PKR dan DAP perlu belajar menghormati rakan sendiri sekalipun mereka sudah masak sangat dengan sikap lalang PAS yang kerap berubah pendirian mengikut kehendak politik kepartian.

Jika dilihat dari segi struktur organisasi PAS, kedudukan Majlis Syura adalah yang tertinggi dalam parti berlabel Islam itu. Seandainya PAS mendominasi pengaruh dan kedudukannya dalam PR, tentunya desakan mendayu dari DAP dan kenyataan tegas yang memperlekehkan taraf Majlis Syura oleh PKR tidak akan timbul.

Tapi disebabkan kedudukan PAS dalam PR sekarang hanyalah setaraf balaci yang terdesak mahu mencapai angan-angan untuk sama-sama ke Putrajaya bersama PR, maka senanglah DAP dan PKR memanfaatkannya untuk kepentingan mereka.

Lagipun Karpal Singh dan Azmin Ali yang diketahui ramai adalah suara rasmi PR dalam isu-isu sensitif, kedua-duanya amat faham benar selagi PAS kekal bersama PR, mahu tidak mahu PAS perlu menurut keputusan muktamad yang telah lama dipersetujui.

Kalau PAS benar-benar jantan dan bermaruah, sudah lama mereka tinggalkan PR dan tidaklah termalu sendiri dengan pendirian flip flop Mursyidul Am dan Presiden PAS sekejap patuh kehendak PR dan kemudiannya bila teruk dikecam khalayak barulah menyerahkan keputusan selanjutnya kepada Majlis Syura pula.

Antara kemahuan politiknya utk kekal dengan PR dan kesucian kalimah Allah s.w.t yang wajib dipertahankan, telah meletakkan PAS dalam keadaan tersepiot dan terhimpit. Inilah bahananya apabila satu kerjasama politik yang longgar hanya ditemukan dengan titik persamaan berkongsi musuh yang sama sahaja.

Tatkala kerjasama dalam BN wujud demi membangunkan negara & rakyat, PR pula yang menggabungkan DAP, PKR dan PAS atas asas rapuh seringkali diselubungi isu-isu yang tidak berkesudahan dan masing-masing pula langsung tiada sikap hormat menghormati sesama sendiri.

Bila sudah demikian, tak sukar untuk rakyat jangkakan yang negara ini akan berantakan sepanjang masa sekiranya PR diberi peluang walau sepenggal pun untuk memerintah tanahair tercinta ini. - Beruang Biru

Read more »

Monday, January 21, 2013

20 MEI TARIKH AKHIR UNTUK PRU 13


Semua orang masih lagi ternanti - nanti pengumuman yang bakal dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia bagi tarikh Pilihan Raya Umum ke 13.

Yang ghairah untuk mengetahui tarikh tersebut tentunya dari kalangan puak Pakatan Rakyat. Keghairahan mereka itu didorong oleh sifat tamak untuk merampas kuasa.

Ditambah pulak dengan keinginan yang tinggi dari Anwar Ibrahim sendiri. Nampak gayanya, dia sudah tidak sabar - sabar untuk jadi Perdana Menteri Boneka DAP.

Namun persoalannya, bila tarikh tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri? Bila Pilihan Raya Umum akan diadakan?

Pelbagai spekulasi telah pun dibuat oleh Pakatan Pembangkang. Termasuklah yang tak masuk akal. Mereka menganggarkan PRU ke 13 ini akan diadakan pada musim Haji.

Sekarang, musim Haji pun sudah berlalu. Jelas, anggaran mereka sudah jauh meleset. Maka, berputih mata sajalah ahli - ahli PAS yang telah menangguhkan ibadah mereka.

Jika diperhatikan secara teliti, Parlimen Malaysia akan terbubar sendiri secara automatik pada 28 April yang akan datang. Maka, SPR ada tempoh 60 hari untuk memanggil PRU.

Bermakna, tarikh akhir untuk mengadakan PRU dalam tempoh tersebut ialan pada 27 Mei. Berikut disenaraikan tarikh pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri:

21 Mac - Johor, 26 Mac - Negeri Sembilan, 7 April - Pahang, 22 April, Selangor, 24 April - Perak, 26 April - Melaka, 28 April - Perlis & Kelantan, 29 April - Sabah, 2 Mei - Pulau Pinang & Kedah, 5 Mei - Terengganu.

Kebarangkalian untuk Terengganu membubarkan Dewan Undangan Neferi berasingan dengan Kerajaan Persekutuan adalah tipis. 

Kemungkinan mereka akan bubar serentak dengan Kerajaan Pusat sebaik sahaja Parlimen dibubarkan kelak. Maka tinggallah Pulau Pinang dan Kedah.

Memandangkan Pulau Pinang dan Kedah dibawah pemerintahan Pakatan, maka kemungkinan mereka akan membubarkan DUN secara berasingan.

Maka, jika Parlimen bubar pada 28 April dan Pulau Pinang serta Kedah bubar pada 2 Mei, kemungkinan SPR akan memanggil PRU pada 3 Mei manakala penamaan calon pada 6 Mei.

Diberikan tempoh 14 hari untuk berkempen, bermakna Pilihan Raya Umum ke 13 akan diadakan pada 20 Mei 2013. Itulah tarikh yang paling sesuai.

Walau apa pun, segala keputusan akan dibuat oleh YAB Perdana Menteri juga. Tidak seperti Pakatan Pembangkang, Barisan Nasional sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan. Andaikata PM panggil PRU sekarang, BN sedia menumbangkan Pakatan.

Read more »

PAS Terus Dihina Rakan Pakatan


Suka atau tidak, PAS perlu menerima hakikat kehadirannya dalam gabungan longgar pakatan pembangkang, PR tidak membawa sebarang kesan signifikan yang bermanfaat untuk kepentingan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Dalam banyak keadaan, PAS lebih banyak beralah dan terpaksa menggadaikan prinsip perjuangannya sendiri semata-mata untuk menjaga hati rakan sepakatan. Di masa yang sama DAP dan PKR berterusan menuntut PAS berubah mengikut corak yang mereka tentukan.

Demikian halnya dalam isu tuntutan kalimah Allah s.w.t untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa melayu yang kembali dihangatkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa beliau menyampaikan perutusan Kristmas 2012 tempohari.

Gara-gara isu itu PAS bagaikan tersepit diantara keperluan menjaga kesucian agama Islam dengan tuntutan politik PR. Bagaikan lembu yang dicucuk hidung akhirnya PAS mengalah lagi dan menurut sahaja tuntutan itu untuk dijadikan dasar rasmi PR.

Berikutan desakan demi desakan bertali arus dari luar dan dalam parti, PAS kemudiannya cuba menunjukkan kejantanannya kepada DAP dan PKR dengan merubah semula keputusan dari setuju kepada sebaliknya.

Namun langkah PAS melalui Majlis Syura Ulamanya yang bersidang pada 13 Januari 2013 itu bagaimanapun dipandang sepi seolah-olah tiada nilainya di mata PR apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan PR tetap berpegang pada keputusan 8 Januari 2013.

"Isu Allah telah selesai dan tidak pernah berubah. Baru-baru ini, Presiden Pas mengesahkan kedudukan Pas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Jan, dan ia adalah sama seperti pada tahun 2010.

"Kami terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," tegas Azmin ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas.

Maksudnya, apa sahaja keputusan Majlis Syura Ulama PAS, ia tidak mengubah pendirian PR yang telahpun dipersetujui oleh Presiden PAS pada 8 Januari 2013 untuk membenarkan orang bukan Islam khususnya penganut Kristian menggunapakai kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible.

Pendirian PR seperti yang ditegaskan oleh Azmin itu tentunya meletakkan PAS sekali lagi terumbang ambing dan serba salah, namun itulah akibat yang perlu diterima bila mana PAS selama ini terlampau mendahulukan kepentingan politik berbanding keutamaan pada agama.

Menyedari situasi semasa PAS dalam gabungan PR sudah sama seperti balaci dan pencacai yang sering diarah itu dan ini, muncullah suara-suara lantang di kalangan kepimpinan PAS menuntut parti itu mengambil keputusan tegas demi kepentingan agama dan maruah parti.

Golongan pendesak ini mahukan PAS segera keluar daripada gabungan liberal PR dan kembali bergerak sendirian kerana percaya itulah langkah terbaik untuk mengembalikan semula jatidiri PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Mereka sudah selangkah di hadapan apabila desakan merubah keputusan dan pendirian PAS dalam isu kalimah Allah s.w.t sudah membuahkan sedikit hasil. Sekiranya desakan drastik yang diusulkan itu turut mendapat sokongan meluas, berkemungkinan PAS bakal mengumumkan langkah drastik keluar dari PR.

Namun demikian, selama mana golongan pendesak perubahan ini mampu bertahan sukar ditentukan memandangkan hampir di setiap peringkat kepimpinan PAS dari bawah ke atas sebahagian besarnya sudah dikuasai oleh pemimpin PAS yang berkiblatkan ideologi Anwarinas. - Beruang Biru

Read more »

Saturday, January 19, 2013

Nik Aziz Permainkan Kalimah Allah..

Read more »

Friday, January 18, 2013

Kalimah Allah - Umat Islam Harus Bersatu


POLEMIK penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama samawi lain kembali bergema. Jika diimbas kembali, isu ini sebenarnya pernah menggamit perhatian pada 2009 apabila Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Seperti biasa, Melayu Islam seakan melupakannya sehinggalah Ketua Menteri Kerajaan DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengungkitnya semula pada awal tahun ini.

Tanpa takwil, agama rasmi majoriti penduduk Malaysia adalah Islam dan secara lazimnya, penganut agama ini ialah Melayu. Bagi sesuatu agama samawi, ia diturunkan bersesuaian dengan bahasa dan kaumnya, Islam diturunkan kepada penutur Bahasa Arab dan tuhan dipanggil Allah.

Bagi Yahudi, kitab mereka diturunkan dalam bahasa pertuturan mereka iaitu Ibrani dan nama tuhan mereka disebut 'Yahweh'. Begitu juga agama Hindu dan Buddha, mereka juga mempunyai nama tuhan masing-masing yang disesuaikan dengan bahasa pertuturan.

Oleh itu, sekiranya disyorkan nama tuhan mereka ditukar kepada 'Allah', pasti mereka tidak akan bersetuju dan menolak, malah menganggapnya sebagai tidak masuk akal!.

Selain itu, amalan ibadah setiap agama juga mempunyai nama khusus, sekali lagi secara logiknya mesti bersesuaian dengan bahasa pertuturannya, walaupun maksudnya secara teori bahasa adalah sama.

Contoh mudah ialah solat yang bermaksud sembahyang. "Ahmad sedang solat Maghrib, tetapi jika disebut Muthusamy sedang solat" ia amat janggal dan tidak dapat diterima walaupun maksudnya adalah sama iaitu menyembah tuhan.

Mengikut ilmu teologi, semua penganut agama di dunia mengakui wujudnya Allah iaitu tauhid rububiyah, mempercayai bahawa Allah mencipta dan mengatur segalanya di atas muka bumi ini, bezanya mereka tidak mempercayai tauhid uluhiyah apabila menyekutukan-Nya dengan tuhan lain.

Bagi Muslim, mereka wajib mempercayai kedua-duanya sekali, tauhid rububiyah dan uluhiyah, termasuk mematuhi setiap larangan-Nya pada setiap masa tanpa sebarang kompromi!.

Perbezaan itu boleh dirujuk daripada inti pati surah al-Ikhlas iaitu sifat Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada tandingan dan menjadi tumpuan semua makhluk.

Berbeza dengan orang bukan Islam, walaupun mereka mempercayai wujudnya Allah namun mereka tetap menyembah sekutu lain, mempercayai wujudnya anak bagi Allah dan mempercayai wujudnya kuasa selain Allah yang hampir setanding dengan-Nya.

Sementara itu, dalam isu yang sesuai disebut sebagai 'perebutan' penggunaan kalimah Allah ini, terdapat beberapa perkara negatif dan positif yang perlu semua pihak mengambil iktibar daripadanya dengan mata hati, bukannya dengan mata kasar.

Tindakan 'merampas' kalimah Allah daripada orang Islam adalah suatu bentuk provokasi agama, sekali gus menidakkan toleransi umat Islam negara ini yang selama ini tidak pernah sekali pun mengganggu-gugat ajaran agama lain.

Jika penganut agama lain berjaya sekali pun, ia boleh mengundang musibah dan mudarat jangka masa panjang. Seperti apa yang menghantui negara-negara luar apabila setiap kali isu agama tercetus, kekerasan yang menjadi pilihan. Akibatnya dendam atau konflik agama tidak mampu sama sekali untuk dipadamkan

Ledakan daripada itu juga akan menyuburkan lagi fahaman pluralisme agama hingga mengakibatkan masyarakat awam tidak lagi mampu mengenal Allah yang sebenar atau yang palsu. Ini kerana antara intipati pluralisme agama ialah semua agama mempunyai tuhan yang sama iaitu Allah, apa yang membezakannya hanya wadah atau jalan untuk mencari keredaan-Nya.

Bagi sudut pandangan positif, isu ini mampu menyedarkan Melayu-Islam untuk memantapkan lagi kefahaman mengenali siapa Allah, bukan hanya sekadar bersungguh-sungguh mempertahankan nama-Nya sahaja tetapi pada masa sama dengan sewenang-wenangnya pula mengingkari larangan-Nya.

Diharap isu ini menjadi titik transformasi Melayu-Islam untuk mengenali siapakah sebenar Allah yang mereka tuhani kerana hanya mereka yang benar-benar bertaqwa sahaja diterima di sisi Allah.

Cukuplah sekadar memartabatkan Allah hanya pada keindahan seni khat bagi dijadikan perhiasan dinding rumah atau pejabat. Langsung tiada gunanya Melayu-Islam menjuarai penggunaan kalimah Allah tetapi pada masa sama mengungguli statistik rasuah, zina, pembuangan anak, budaya tahyul, khurafat, tidak menutup aurat, tidak mengerjakan solat dan menunaikan zakat serta meminum arak tanpa segan silu.

Pernahkah anda sama ada sebagai seorang pemimpin politik, ketua jabatan, ahli korporat, guru, bapa, ibu, abang, petani dan buruh menegur ahli keluarga atau orang bawahan kenapa tidak menutup aurat, sudahkah mengerjakan solat, kenapa melakukan maksiat dan sebagainya. Sedangkan semua ini adalah perintah mutlak pemilik nama Allah itu.

Penulis amat tertarik dengan pendedahan pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah beberapa tahun lalu bahawa hasil daripada kajiannya mendapati 80 peratus umat Islam di negara ini tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari.

Statistik ini tidak boleh dipandang mudah kerana solat adalah tiang agama, sekiranya tiang sesuatu struktur itu tidak kuat maka bangunannya boleh runtuh pada bila-bila masa. Renungkanlah, kerana sekali lagi solat itu adalah perintah mutlak pemilik nama Allah itu.

Diyakini sehingga kini, statistik itu masih tidak berubah, malah tidak mustahil semakin merudum berdasarkan kepada kegilaan Melayu-Islam terhadap segala jenis pesta yang melalaikan, contoh terdekat semasa sambutan tahun baharu yang baru selesai.

Berapa ramai Melayu-Islam yang mabuk dan berzina, tunggulah waktu menuai kira-kira sembilan bulan lagi pasti akan hiruk-pikuk dengan kes pembuangan bayi. Sekali lagi, semua maksiat ini jelas melanggar perintah pemilik nama Allah itu. Tepuk dada tanyalah selera!.

Read more »

Bawani Penyokong Tegar PSM


Bawani diangkat sebagai seorang hero hanya kerana 'keberaniannya' dalam membuat kekecohan dalam sebuah forum di University Utara Malaysia, beberapa hari lalu. Semua telah melihat bagaimana Bawani membuat kecoh di forum tersebut di saat-saat akhir forum, dan berkeras untuk mempersoalkan tentang hak berdemonstrasi, kebebasan bersuara dan pendidikan percuma, dan mahu  Puan Sharifah Zohra, moderator, bukan ahli panel forum tersebut, untuk menjawab segala persoalan yang diberi.

Jelas, Bawani telah membuat persediaan dalam memberikan hujah-hujah. Mengharapkan penjelasan daripada Puan Sharifah terhadap persoalan yang diajukan adalah seperti meminta penjelasan daripada seorang pakar Matematik tentang Undang-Undang.

Apa yang menghairankan adalah publisiti yang diterima Bawani. Dari ucapan yang diberi hinggalah segala komen di Youtube dan juga artikel yang dikeluarkan tentang perkara ini, segalanya boleh Bawani dari seorang hero kepada pelajar yang gagal.

Facebook Bawani menjelaskan pandangan politiknya, itu hak Bawani. Rangkaian komuniti sosial UUM pula menjelaskan minat Bawani terhadap dunia politik, juga hak Bawani. Jadi, ini jelas menunjukkan bahawa Bawani adalah penyokong tegar Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tidak mengapa, itu hak Bawani.

Namun, rakyat sering memandang sinis terhadap PSM kerana PSM adalah dari Parti Komunis Malaya (PKM). Apabila pihak komunis mula berundur, PKM mula beroperasi melalui parti-parti politik, terutamanya, DAP, dimana rakyat dapat lihat pendirian mereka terhadap Hak Melayu, Institusi Diraja, Islam sebagai agama rasmi, dan sebagainya.

Pada 13 Mei 1969, puak komunis ini telah membuat serangan terhadap musuh mereka - kaum Melayu, kerajaan dan islam. Namun, tindakan mereka gagal. Kegagalan mereka telah membawa kepada pecahan parti tersebut kepada beberapa tempat seperti  Parti Buruh, Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan kesatuan pekerja.

Kemudian, pecahan-pecahan ini disatukan semula dan dikenali sebagai Parti Sosialis Malaysia. Bagaimanapun, pendaftaran parti ini tidak dibenarkan pada tahun 1998 oleh kerana kaitan mereka dengan komunisme. Jadi, mereka bertanding di bawah DAP bagi pilihanraya 1999, dan di bawah PKR pada pilihanraya 2004. Berjaya mengambil kesempatan akibat daripada kepimpinan yang lemah pada masa itu, PSM akhirnya berjaya bertanding secara rasmi di bawah nama parti itu sendiri pada tahun 2008.


Jadi, itulah Bawani. Segala apa yang dipersoalkan tentang Cuba, Argentina, Denmark, Finland, Sri Lanka dan Turki tentang pendidikan percuma hanyalah salah satu cara untuk memburuk-burukkan Malaysia. Kerana jika Bawani benar-benar tahu akan keadaan sebenar di negara-negara tersebut di mana rakyat terpaksa dikenakan cukai yang tinggi untuk mendapatkan pendidikan percuma, dia tidak akan menimbulkan isu tersebut.

Motif Bawani? Prejudis, Publisiti, Kebencian dan Kuasa. Mudah.

Dengan sikap prejudis dan kebencian yang membuak-buak, mungkin Bawani terlepas pandang akan hak eksklusif yang dapat dinikmati oleh kaumnya di negara ini, atau hak untuk berkongsi kuasa di kabinet, atau peluang untuk menguasai ekonomi lebih daripada kaum Melayu sendiri, dan juga cuti awam khas bagi perayaan agamanya, segalanya di Malaysia. - Beruang Biru

Read more »

Pakatan Tidak Senang Penambahan Umat Islam Sabah


Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan tenang sahaja berdepan dengan gembar gembur pembangkang yang melabel beliau adalah pengkhianat kerana meluluskan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah semasa era pentabirannya dulu.

Bekas Perdana Menteri itu tanpa apologetik mengakui peranan kerajaan pimpinannya dulu tetapi menegaskan semua kelulusan berhubung pemberian kerakyatan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.

Dalam sidang media selepas wacana di Karang Kraf Shah Alam pada petang Khamis, Dr Mahathir berkata pembangkang boleh tuduh beliau apa saja termasuk pengkhianat tetapi semua yang dilakukan berdasarkan undang-undang.

"itu tak jadi masalah kerana dituduh (pengkhianat) oleh ramai orang. Tapi ada juga yang puji,"ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ramli Kamarudin bahawa kerajaan pada ketika itu terlibat memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing (beragama Islam) di Sabah.

Ramli ketika menjadi saksi kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) berkenaan pendatang asing di Sabah mendakwa menerima arahan daripada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub agar mengeluarkan resit bagi membenarkan pendatang asing di Sabah mengundi pada pilihan raya negeri itu pada 1994.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia sentiasa menerima orang asing untuk menjadi warga negara sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.

"Ramai yang ada di Sabah, mereka berada di situ bukan satu dua hari, satu dua tahun... ada 20, 30 tahun. Mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka berhak untuk menjadi rakyat. Yang menjadi masalah ialah ialah ada orang yang tidak senang kalau mereka jadi rakyat."

"Orang ini sebelum kita merdeka pun, mereka berulang alik daripada selatan Filipina ke Sabah kerana mereka tidak terima sempadan yang digaris oleh penjajah. Seperti juga di Sumatera dan Semenanjung. Kita terima sesiapa yang ada di sini sebagai rakyat, kenapa kita nak tolak mereka?

Kalau mereka lakukan jenayah, mereka terdedah kepada undang-undang kita juga. Tetapi mereka diperlukan oleh Sabah."

Walau diasak bertalu-talu oleh wartawan, Dr Mahathir relaks jawab satu persatu persoalan yang dilontarkan.

Bahkan di satu peringkat, beliau memulangkan 'paku buah keras' kepada soalan seorang wartawan pro pembangkang yang mempersoalkan kenapa beliau beri kerakyatan kepada pendatang Islam warga asing di Sabah.

"Tunku Abdul Rahman lebih teruk dari saya, dia bagi kerakyatan kepada satu juta orang dahulu tanpa pemeriksaan teliti. Saya tidak nafikan pembabitan saya (di Sabah) tapi Tunku beri satu juta kerakyatan di Semenanjung selepas merdeka tiada siapa pertikai..."katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kerajaan pimpinannya sengaja memberikan status kerakyatan kepada pendatang asing sebelum pilihan raya Sabah pada 1994 agar kumpulan berkenaan mengundi menyokong kerajaan, Dr Mahathir berkata ia mungkin berlaku secara kebetulan.

"Ia mungkin dilakukan sebelum pilihan raya negeri, tapi ia sama ada secara tak sengaja atau dirancang...saya tak pasti. Tapi ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang. Jika ia berlaku sebelum pilihan raya (negeri), ia tak bermakna bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Berhubung sama pemberian status warga negara kepada pendatang asing di Sabah merupakan alasan politik agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negeri itu, Dr Mahathir berkata: "Tidak...ini adalah hak mereka (mendapat kerakyatan bagi yang layak).

"Bila mereka menjadi warga negara, sama ada mereka sokong Umno, BN atau siapa sahaja, itu hak mereka.
"Ia adalah fakta bahawa bukan semua mereka menjadi penyokong BN," katanya.

Beliau bahkan turut mengatakan kesediaannya untuk menjadi saksi kepada Suruhanjaya Diraja tersebut jika keterangan beliau diperlukan.

"Jika mereka minta saya hadir, saya akan pergi" ujarnya.

Read more »

Thursday, January 17, 2013

Keceluparan Bawani Memakan Diri


Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, semestinya tidak menjangkakan bahawa jemputan yang diterima beliau untuk menjadi moderator bagi satu forum di UUM beberapa hari lalu akan mengubah hidup beliau. Sharifah Zohra bukanlah salah seorang daripada panel bagi forum tersebut (Forum Wanita dan Politik), jadi, bukanlah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan para peserta. Namun, seorang pelajar, Bawani, bertindak mengajukan soalan kepada  Sharifah pada saat-saat akhir forum dan enggan 'berhenti bercakap'.

Tidak salah bagi sesiapa untuk mengesyaki bahawa walaupun Syarifah tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku, Bawani mungkin telah membuat rancangan awal terhadap insiden tersebut.

Masa yang dipilih oleh Bawani untuk mengajukan soalan adalah satu perkara. Namun, satu lagi perkara yang tidak boleh diterima adalah nada dan kelakuan Bawani terhadap Syarifah. Budaya timur tidak boleh menerima kelakuan buruk seperti itu, terutamanya kelakuan Bawani kepada seorang yang lebih berusia darinya.

Namun, Bawani hanyalah seorang pelajar, seorang wanita yang masih lagi muda yang masih lagi mentah, penuh dengan perkara yang mahu dilepaskan. dan sama seperti mana-mana golongan muda terpelajar, Bawani percaya bahawa dia adalah lebih arif berbanding orang lain, termasuklah, terutamanya, kerajaan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, dan dalam kes ini, Sharifah.

Syarifah bagaimanapun, gagal untuk mengawal provokasi yang dibuat oleh Bawani. Penulis percaya bahawa Syarifah mungkin mampu mengawal pelajar tersebut jika beliau lebih bersedia. Sebagai moderator, Syarifah tidak bertanggungjawab untuk menjawab soalan, beliau bertanggungjawab terhadap masa, dan ketika itu, masa bagi forum tersebut telah tamat.

Kami faham bahawa bagi Sharifah, tindakan pelajar tersebut dalam melakukan provokasi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Atas sebab itulah beliau memberikan respon-respon yang tidak relevan. Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata.

Kita dapat lihat bagaimana Youtube mampu mengubah kehidupan seseorang; dalam masa sekelip mata, Syarifah dianggap sebagai seorang agen kerajaan yang tidak sensitif dan bodoh sementara Bawani dianggap sebagai seorang hero.

Tiba-tiba, insiden tersebut bertukar menjadi isu politik, lengkap dengan elemen-elemen perkauman, pegawai kerajaan yang tidak bertauliah dan juga mangsa yang berani.

Soalan yang diajukan oleh Bawani bukanlah berbentuk 'killer question'. Penulis pasti Sharifah pasti mampu menjawab persoalan tersebut jika beliau berada dalam situasi yang berlainan. Dengan segala fakta yang diberkan oleh bawani terhadap pendidikan percuma di beberapa negara, mungkin Bawani rasa bahawa dia adalah lebih besar daripada mana-mana kabinet kerajaan. Namun, seperti apa yang penulis katakan, Bawani adalah seorang anak muda yang belum matang dan naif. Memerintah sebuah negara dan memberikan pendidikan percuma bukanlah semudah ibu bapanya memberikan wang belanja kepada dia dan adik-adiknya.

Nampaknya, Bawani sebenarnya tidak begitu arif tentang isu ini. Bawani membandingkan Malaysia dengan negara-negara seperti Cuba, Argentina, dan Brazil berkenaan dengan pendidikan percuma. Mungkin dia tidak tahu bahawa untuk mendapatkan sistem pendidikan percuma, kos untuk perkara-perkara lain akan meningkat. Untuk memberikan pendidikan percuma, Argentina dan Cuba kekal sebagai negara miskin. Mereka tidak mampu menggunakan sebarang dana untuk memajukan sektor-sektor lain. Selain itu, pendidikan percuma juga tidak memberikan sebarang jaminan bahawa negara tidak akan dibelenggu masalah lain. Argentina sebagai contoh, akibat daripada kemiskinan, masalah rasuah adalah terlalu tinggi dan kemudiannya membawa kepada ketidakseimbangan dalam peluang pendidikan yang mana nisbah pelajar dari keluarga kaya dan golongan pelajar miskin untuk mendapat peluang untuk mendapatkan pendidikan tertiari adalan 9:1.

Dan hanya 10% pelajar-pelajar di Sri Lanka berpeluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi, selebihnya hanya mampu mendapatkan pendidikan menengah. Brazil juga memberikan pendidikan percuma, namun, kadar cukai di negara tersebut adalah tinggi.

Hampir kesemua negara-negara maju tidak memberikan pendidikan percuma. Denmark sebagai contoh, walaupun memberikan pendidikan percuma, mereka terpaksa mengenakan kadar cukai yang amat tinggi kepada rakyat. Turki dan Malaysia pula adalah sama, pendidikan hanyalah percuma hingga ke sekolah menengah.

Cukai pendapatan di Finland mencecah kadar 50% berbanding dengan Malaysia pada kadar 26% dan rakyat Malaysia masih mampu menikmati subsidi bagi pendidikan tinggi dimana pelajar hanya perlu membayar 5% daripada kos keseluruhan pembelajaran.

Jadi, Bawani, penulis mahu mencadangkan Bawani supaya membuat satu thesis tentang perkara ini dan berikan idea-idea bernas dalam memberikan pendidikan percuma tanpa perlu menaikkan kadar cukai dan memastikan kadar inflasi stabil. Jika Bawani berjaya, kami akan pastikan Bawani mendapat tempat di Kabinet. Dan hanya jika Bawani berjaya berbuat demikian, barulah Bawani layak digelar sebagai seorang hero. - Beruang Biru

Read more »

PAS Tidak Istiqamah Didalam Perjuangan


APAKAH 'kebenaran' sentiasa berubah-ubah mengikut masa dan keadaan? Apakah 'kebenaran' itu harus dihitung dari segi untung dan rugi dari segi kepentingan politik semasa semata-mata?

Jawapannya tampak begitu jelas apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini seakan-akan mempersetankan pandangan pelbagai pihak termasuk kalangan ulama yang bimbang dengan pendiriannya dan Pas apabila merestui penggunaan kalimah Allah dalam amalan penganut agama lain.

Persoalan yang melingkungi isu kalimah menyentuh perkara paling besar dalam Islam yang membezakan akidah umatnya dengan penganut agama lain itu seolah-olah cuba disesuaikan dengan pandangan para pemimpin parti-parti dalam pakatan pembangkang.

Pada 8 Januari lalu, Abdul Hadi dalam satu kenyataan menegaskan Pas mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini kerana Islam tidak menghalang penganut agama lain mengggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Abdul Hadi dalam kenyataannya berkata, al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah." Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran:64)

Malah Abdul Hadi menyalahkan UMNO yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebas-bebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.

Pendirian Abdul Hadi dan Pas ini disokong seketika oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bagaikan tanpa mengambil kira kemaslahatan umum dalam senario rakyat di negara ini.

Namun Majlis Syura Ulama Pas malam kelmarin mengembalikan rasional dan membuat keputusan mengejutkan - bertentangan sama sekali dengan keputusan dan hujah Abdul Hadi dalam sidang akhbar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sebelum ini.

Entah apa sebabnya Nik Abdul Aziz menjadi kendur apabila beliau bersama timbalannya, Datuk Dr. Haron Din yang mengetuai Majlis Syura Ulama Pas, memutuskan kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar daripada kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ia salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata," ujar Majlis Syura Ulama dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Abdul Hadi sendiri menyedari bahawa "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Malah katanya kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu umat Islam pelbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

Sememangnya ia mudah mengelirukan dan terbuka untuk disalahgunakan apabila penggunaan Allah seoalh-olah mahu disamakan dengan konsep Trinity dalam Kristian.

Sebenarnya isu ini berbangkit semula apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan membenarkan kalimah itu dimuatkan dalam bible Bahasa Melayu.

Tidakkah ini menimbulkan syak wasangka atau keraguan yang sangat berasas tentang agenda di sebaliknya dalam hubungan agama kerana kalimah itu mahu digunakan dalam bible edisi bahasa Melayu dan tidak dalam bahasa-bahasa lain.

Jika penerimaan Pas pada awalnya ini cuba dikaitkan dengan suatu dakwah apabila kalimah Allah dimuatkan dalam kitab lain, mengapa tidak Pas membantu menyebarluaskan penggunaan terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu.

Justeru kali ini ayat mana pula nantinya Abdul Hadi akan bacakan untuk mengukuhkan hujahnya 'membenarkan' pendirian baru yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Apakah yang menyebabkan Pas mengubah pendirian dalam situasi sekarang? Mungkinkah kerana pilihan raya semakin hampir dan merasakan penerimaan bukan Melayu terhadap parti itu tidak banyak memberi makna berbanding membiarkan keresahan yang berombak menjadi gelombang penolakan umat Islam terhadapnya?

Read more »

PAS Sentiasa Didalam Kerugian


DIANGGARKAN 90 peratus daripada mereka yang menyertai himpunan pembangkang di Stadium Merdeka, Sabtu lalu adalah orang Melayu dan seperti diduga 70 peratusnya adalah penyokong Pas.

Itulah 'bergunanya' Pas kepada pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP iaitu mengumpulkan penyokong sebanyak mungkin.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP amat memahami bahawa penyokong-penyokong Pas adalah penyokong tegar dan sedia berbuat apa sahaja jika diarahkan oleh pemimpin mereka.

Oleh itu, kelemahan ini digunakan oleh PKR dan DAP untuk memperalatkan Pas bagi memastikan penyokong Pas termasuklah Unit Amalnya memenuhi majlis-majlis pembangkang.

Tetapi biar apa pun yang dilakukan oleh Pas, kerjasama dalam pakatan pembangkang tidak menguntungkan parti itu, sebaliknya sentiasa sahaja meletakkan mereka dalam kerugian.

KORBANKAN PERJUANGAN NEGARA ISLAM KEPADA NEGARA BERKEBAJIKAN

Dalam sejarah politik tanah air, tidak pernah ada mana-mana parti yang bersedia mengorbankan prinsip atau dasar perjuangan mereka untuk menjaga hati rakan sekutunya. Tetapi tidak kepada Pas yang bersedia mengorbankan perjuangan negara Islamnya kerana tunduk kepada penentangan PKR dan DAP.

Walaupun perjuangan menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud adalah modal terbesar Pas untuk bertapak dalam arena politik negara sejak 1951, namun Pas bersedia mengorbankan semua itu semata-mata menjaga hati sekutunya.

Sehubungan itu, Pas mengubah dasar perjuangannya dari negara Islam kepada negara berkebajikan manakala hukum hudud ditinggalkan begitu sahaja.

Biar pun Pas mendakwa tiada bezanya antara negara Islam dan negara berkebajikan namun ia sekadar alasan.

Apa yang malang, ketika pemimpin-pemimpin DAP begitu konsisten menentang sebarang usaha Pas untuk melaksanakan negara Islam dan hukum hudud, pemimpin-pemimpin Pas dilihat tidak konsisten sama sekali.

Tambahan pula dalam Pas wujud pemimpin-pemimpin yang dilihat lebih sehaluan cara politik dengan PKR dan DAP berbanding Pas sendiri.

SEKADAR NAMA DI PULAU PINANG, BAGAI PENUMPANG DI SELANGOR, TIDAK BERMAYA DI KEDAH

Di ketiga-tiga negeri ini, Pas merupakan antara parti yang bergabung dalam kerajaan negeri. Ketika pilihan raya umum 2008 diumumkan, penyokong-penyokong Pas bergembira kerana akhirnya mereka berjaya menumbangkan BN di ketiga-tiga negeri itu. Tetapi kegembiraan itu tidak lama kerana segala jasa mereka seolah-olah tidak dihargai.

Di Pulau Pinang, Pas hanya menjadi pemerhati sahaja terhadap apa juga tindak-tanduk kerajaan negeri yang diketuai oleh DAP. Pas tidak bersuara langsung biar pun banyak tindakan kerajaan negeri dikatakan menyinggung perasaan orang Melayu dan umat Islam.

Di Selangor, Pas sekadar pak turut, tidak mampu bersuara. Datuk Dr. Hasan Ali yang suatu ketika berusaha melaksanakan hasrat perjuangan Pas dalam menegakkan perkara berkaitan Islam akhirnya dipecat hanya kerana beliau menyeru orang ramai tidak menghadiri perhimpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebenarnya, itu hanya alasan, Pas sememangnya sudah mendapat tekanan daripada PKR dan DAP untuk mencari helah bagi membolehkan Dr. Hasan dipecat berikutan kelantangan beliau dalam memperjuangkan isu berkaitan dengan orang Melayu dan pelaksanaan Islam di Selangor.

Bagi Pas, selagi Dr. Hasan berada dalam kerajaan negeri pimpinan PKR itu, kerjasama politik Pas dengan parti tersebut dan DAP boleh tergugat. Oleh itu mahu tidak mahu Dr. Hasan perlu dikorbankan. Apa yang lebih malang posisi menjaga hal ehwal agama tidak diberikan kepada pemimpin Pas yang menggantikan Dr. Hasan sebaliknya ia disandang oleh Menteri Besar.

Di Kedah pula, biar pun Pas menjadi teraju utama dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun Pas tidak berupaya melawan kehendak DAP biar pun DAP hakikatnya hanya ada satu kerusi sahaja. Ini terbukti apabila kerajaan negeri membatalkan keputusan untuk menutup pusat hiburan pada Ramadan yang lalu akibat penentangan DAP.

HANYA MENJADI TUKANG SORAK DAN BERHIMPUN

PKR dan DAP amat memahami kekuatan Pas bukan sahaja untuk menarik undi orang Melayu tetapi juga boleh 'diperkudakan' untuk mengerahkan penyokong-penyokong parti itu memenuhi majlis-majlis dan ceramah pakatan pembangkang.

Itulah yang kita saksikan apabila dalam apa juga perhimpunan sudah pasti yang terangguk-angguk datang ialah penyokong-penyokong Pas.

Tetapi persoalannya, apakah pengorbanan mereka dihargai? Sudah tentu tidak, sebab itulah PKR dan DAP tetap tidak membenarkan Pas dominan dalam pakatan pembangkang.

Apa yang lebih kasihan kepada penyokong Pas ialah hasrat mereka untuk melihat Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memerintah ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP.

Biar pun dari segi moral dan latar belakang agama, Abdul Hadi lebih layak tetapi DAP khususnya tetap mahukan Anwar. Sekali lagi, kita melihat Pas mengalami kerugian. Pemimpin-pemimpin mereka langsung tidak dilihat layak dipertimbangkan sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang.

SEMAKIN TERHAKIS IMEJ ISLAM

Pas begitu marah apabila orang menuduh mereka meninggalkan perjuangan Islam, pemimpin-pemimpin parti itu menganggap mereka yang membuat tuduhan berkenaan sengaja mahu memecah belahkan pakatan pembangkang.

Tetapi cubalah lihat, apakah sikap Pas dalam isu-isu berkaitan Islam. Pas sebenarnya diperalatkan oleh PKR dan DAP. Sebagai sebuah parti yang disertai oleh alim ulama, Pas paling layak dipergunakan untuk 'menghalalkan' apa juga tuntutan dan tindakan kedua-dua parti itu berkaitan Islam.

Terbaru isu kalimah Allah, Pas gagal mempertahankan imejnya sebagai parti memperjuangkan Islam apabila bersedia bersekongkol dengan PKR dan DAP untuk mendesak supaya bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah suci tersebut.

Tuntutan asal ini datang daripada pemimpin DAP dan mereka memahami bahawa apabila pemimpin Pas bercakap ia boleh meyakinkan umat Islam. Oleh itu Abdul Hadi 'diberi penghormatan' oleh Anwar untuk membuat kenyataan media mengenai pendirian Pas.

Maka tersenyumlah pemimpin-pemimpin PKR dan DAP kerana Pas sekali lagi menuruti kehendak mereka tetapi yang terjejas ialah Pas apabila umat Islam melihat parti tersebut bersedia menjadi 'pak turut' hanya kerana mahukan kuasa politik.

Malahan kehadiran ribuan penyokong Pas ke Stadium Merdeka, Sabtu lalu diuar-uarkan oleh penyokong-penyokong PKR dan DAP sebagai tanda sokongan Pas kepada perjuangan DAP untuk membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah biar pun ulama Pas menentang persetujuan parti itu dalam soal tersebut.

Sekali lagi Pas berada dalam kerugian kerana umat Islam berpendapat parti itu semakin terhakis imej Islamnya. Kalau kalimah Allah pun tidak boleh dpertahankan, apa lagi dalam soal Islam lain.

Justeru berdasarkan huraian di atas, jelaslah dalam kerjasama dengan PKR dan DAP, Pas sentiasa berada pada kedudukan golongan yang rugi. Oleh itu tahniah kepada penyokong Pas kerana kesetiaan mereka akan memperkuatkan PKR dan memperkukuhkan DAP tetapi menghakis keutuhan Pas, itulah nasib 'pak turut'.

Read more »

share2