Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 28, 2013

Kerajaan Negeri Prihatin Masalah Orang Asli


Kerajaan negeri mengakui memorandum yang diserahkan 13 wakil penduduk perkampungan Orang Asli sekitar Ulu Jelai, Cameron Highlands berhubung pencerobohan tanah adat milik mereka ada asasnya, namun tuntutan mereka untuk menghentikan Projek Empangan Hidro Elektrik Ulu Jelai sesuatu yang tidak logik.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri mengakui masalah pencerobohan tanah adat Orang Asli sekitar Cameron Highlands memang berlaku.

Menurutnya, hasil pertemuan bersama 30 Tok Batin di kawasan itu penghujung November tahun lalu,  beliau mendapat banyak aduan berhubung perkara tersebut.

“Ini kerana penduduk Orang Asli bergantung kepada tanah adat yang diwarisi sejak nenek moyang tetapi ada pihak yang menceroboh untuk pelbagai aktiviti termasuk pertanian dan sebagainya.

“Kerajaan mengambil serius hal ini, malah saya sendiri menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan perkara ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, di sini, semalam.

Adnan berkata,  perdana menteri memberi maklum balas segera dan meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib Orang Asli.

“Kita juga minta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengemukakan kertas cadangan bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertanggungjawab terhadap projek empangan tersebut difahamkan ada menyediakan penempatan semula kepada penduduk kampung yang terlibat, bagaimanapun TNB dicadangkan supaya menyediakan rumah jenis berkembar yang lebih selesa dan bukan rumah teres.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu masyarakat Orang Asli yang terlibat atas dasar keadilan dan hak mereka sebagai rakyat.

“Bagaimanapun kita minta mereka tidak terpengaruh atau menjadi alat kepada sesetengah pihak yang sengaja menjadikan isu-isu Orang Asli ini demi kepentingan mereka sendiri, sebaliknya kerajaan negeri juga yang akan menyelesaikan masalah itu.

“Kita percaya sesetengah daripada penduduk tidak mendapat maklumat jelas berhubung projek ini dan atas sebab itu mereka tampil menyerahkan memorandum,” katanya.

Kelmarin, penduduk Orang Asli sekitar kawasan Ulu Jelai termasuk dari Lembah Sungai Bertam, Telom dan Terisu, Cameron Highlands menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar dan TNB berhubung isu tanah adat yang diwarisi mereka sejak beberapa generasi lalu yang terpaksa 'diserahkan’ untuk memberi laluan kepada pembinaan empangan hidro elektrik.

Memorandum setebal dua muka surat itu diserahkan Jawatankuasa Jaringan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Cameron Highlands (JARICH) kepada TNB kira-kira jam 10.30 pagi dan diterima Ketua Bahagian Perkhidmatan Pelanggannya, Rozianis Mohd Noor, manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shamsuddin Nawawi menerima bagi pihak Adnan di Wisma Seri Pahang kira-kira jam 11.30 pagi.

0 comments:

share2