SEJAK kebelakangan ini dalam kehangatan merentasi pecutan akhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), ramai yang mula menyuarakan kebimbangan sekiranya segala persediaan dan yang dilakukan sejak pasca PRU 12 pada 2008 akan tercemar dengan masalah yang dihadapi dalam hampir kesemua PRU iaitu masalah dalaman parti.
Dalam PRU 12, rata-rata perubahan calon di saat-saat akhir menyebabkan jentera parti tidak berfungsi dan kemarahan serta kekecewaan diterjemahkan dalam bentuk pengundian. Maka, 'undi protes' besar-besaran dilakukan oleh ahli dan penyokong tegar parti kerana mahu menyedarkan kepimpinan bahawa zaman untuk mengikut apa sahaja ketetapan yang dilakukan oleh badan pemilihan calon tidak boleh bertindak dengan autoriti mutlak tanpa mendapat maklum balas daripada peringkat akar umbi.
Hakikatnya, sabotaj dalam parti boleh berlaku dalam pelbagai cara. Ia boleh dilakukan secara makro dan mikro membabitkan pemimpin, ahli, calon, jentera dan lawan parti. Kesemua ini terjadi kerana masing-masing hanya mahu menjadi 'ahli parti' dan bukan 'orang parti'. Jika sekadar menjadi ahli yang penuh dengan hasad dengki, tamak, ego, tamakkan kuasa, pangkat serta kedudukan; maka golongan ini tidak teragak-agak menggunakan apa sahaja kaedah yang hanya bersifat kepentingan diri dan bukan memperkasakan parti.
Cuba selami kisah kedudukan Khalid Al-Walid sebagai Panglima Perang di zaman Khalifah Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Ia wajar dijadikan iktibar dan iltizam oleh pemimpin hari ini dan kepimpinan akan datang. Bagaimanakah wujud nilai di sebalik mengapa perlu digugur dan pada waktu yang sama tidak menjejaskan jentera serta kemampuan parti merupakan dilema yang sedang dihadapi oleh parti politik agar tidak menjejaskan pencapaian dan perubahan yang cuba diketengahkan sejak 2008. Malahan ini merupakan antara yang akan dinilai terutama oleh pengundi bandar dan pengundi atas pagar agar keyakinan dan kepercayaan pulih berasaskan kepada 'kemuafakatan' dan keteguhan parti.
Parti UMNO jelas serius untuk menangani isu ini dengan penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang turut mengepalai Lembaga Disiplin parti. Begitu juga dengan cadangan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong agar nama calon diumum awal untuk mengelak daripada sabotaj ketika PRU supaya pemimpin yang digugur atau gagal menjadi calon dapat dipujuk agar kesetiaan kepada parti diutamakan. Ini kerana salah laku sabotaj juga boleh menjejas barisan jentera parti apatah lagi jika menggunakan emosi untuk memujuk penyokong mereka tidak membantu seseorang calon sehingga menghasut agar menggagalkan misi parti sendiri.
Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kedah ada menyatakan bahawa Kedah adalah winnable state jika selesai masalah dalaman; dan ia juga merupakan nasihat dan peringatan kepada keseluruhan gerak kerja seluruh negara kerana Muhyiddin ada menyatakan bahawa PRU akan datang adalah misi 'hidup atau mati' demi mempertahankan kedudukan parti yang terhakis sokongan dalam PRU yang lalu.
Perebutan jawatan dan pangkat bukan baharu dalam mana-mana parti tetapi masalahnya adalah apabila ia terbawa-bawa sehingga mengganggu proses 'merapatkan barisan' sebaik-baik sahaja selesai pemilihan Pengerusi Bahagian, negeri dan Majlis Tertinggi parti. Ada yang rela mengorbankan parti kerana tidak selesa dengan calon yang menang atau terpilih menjadi calon PRU. Apakah mereka lebih rela parti kalah kerana tidak dicalonkan?
Masalah dalaman boleh dihindar jika masing-masing berpegang kepada asas mengapa menyertai parti politik dan mendalami perjuangan asal parti. Pemilihan calon yang kalah seperti mana 2008 dan beberapa pilihan raya kecil perlu dijadikan sebagai pengajaran kerana apa makna menjadi calon jika kalah dan tahu boleh memberi kesan bukan sahaja kepada calon dan parti tetapi masa depan parti yang turut bergantung kepada kewibawaan calon.
Puak yang menentang dan menyokong lumrah dalam sepak terajang politik tetapi sekiranya PRU akan dilihat sebagai maruah parti dan masa depan parti, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai calon mesti boleh diterima asalkan calon adalah winnable untuk rakyat atau pengundi dan bukan syok sendiri dalam parti.
Masalah dalaman juga sering berlaku kerana dana pilihan raya tidak sampai kepada kumpulan sasar. Jika dahulu, sukarelawan dan pekerja parti diberikan sedikit imbuhan atas penat lelah mereka, kini ia bukan lagi bernilai RM10 atau RM15 sedangkan harga rokok sahaja sudah mencecah RM10 sekotak berbanding di bawah RM5 satu ketika dahulu. Ini tidak termasuk duit minyak motor dan kenderaan serta makan-minum mereka. Dana ada, cuma sampai atau tidak yang menjadi persoalan; jika tidak sampai, siapakah yang menyimpannya dan untuk apa?
Penghormatan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pemimpin akar umbi dan para gurkha parti kerana tanpa mereka siapa calon atau siapa pemimpin. Mereka merupakan tulang belakang yang perlu dijaga makan-minum dan kebajikannya. Maka, dana perlu disalurkan kepada mereka dan bukan disimpan untuk pemilihan dalam parti atau untuk kegunaan sendiri terutama di kawasan yang dilabel kelabu dan hitam. Jentera akan berkerja siang dan malam, bertungkus lumus demi parti jika pemimpin menampakkan nilai 'sepakat' bukan berpakat-pakat untuk menjatuhkan parti atau 'membulatkan diri' tetapi 'sepakat' mempertahankan maruah parti.
Angkuh, hasad dengki, sombong, cemburu dan bersikap sambil lewa serta berlagak tahu segalanya dalam keadaan parti memerlukan sokongan ahli perlu dijauhi. Iktiraf dan hormat pemimpin cawangan yang menjadi mata, telinga dan nadi parti dengan penstrukturan yang kemas dan rapi. Luncai, Pak Pandir, Si Kitul boleh dilepas pergi tetapi bukan Abu Nawas yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air.
Jangan terpedaya dengan janji-janji palsu segelintir pemimpin yang 'lebih sudu dari kuah' sehingga bijak bersilat dengan gaya seorang 'penipu' yang tidak jujur dan ikhlas kepada parti dan perjuangannya. Hari ini dia berbaju biru tetapi dalam sekelip mata berubah baju hijau, merah atau apa sahaja warna kerana kerakusan kuasa sahaja tanpa mengimbas kedudukannya hari ini adalah juga atas nama parti.
Strategi dalam PRU yang merupakan 'ibu segala pilihan raya' mesti bersifat rendah diri dan memahami naluri seorang 'rakyat biasa' bukan berjiwa 'elitis' tetapi orang kebanyakan yang berpaksikan kepada nilai perkongsian bersama. Sabotaj juga boleh berlaku jika berlebih-lebihan menonjolkan nilai yang bukan menjadi norma dan amalan budaya kita, 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak'. Itu tradisi politik kita.
Amanah untuk memastikan masalah dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dipikul oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN. Sejauh manakah pemimpin lain akur untuk menunjukkan nilai komitmen dan kolektif ke atas keputusan Pengerusi BN juga akan dihalusi oleh pelbagai kelompok pengundi. Ada pemimpin yang sudah terlalu lama, molek jika berundur supaya tidak membebankan keputusan yang bakal diambil oleh Najib dan barisan pemilihan.
Bagi yang telah berkhidmat untuk beberapa penggal, barangkali ini masanya untuk menjadi idola kepada bakal pengganti; bersama membantu kempen dan calon baru pula jangan dipinggirkan pemimpin lama kerana tanpa mereka; parti tiada. Asam garam dalam parti; ada yang elok dan ada yang kurang elok; kita yang menentukannya. Lihat kepada pencapaian dan segala kelemahan boleh diperbaiki jika ada jati diri dan komited ke atas perjuangan masing-masing.
Musibah dalam PRU akan datang barangkali bukan daripada lawan tetapi parti sendiri jika tidak ditangani dengan berhati-hati. Penguasaan sumber dan guna tenaga boleh digunakan dengan praktikal dan dikongsi untuk meningkatkan kedudukan parti dalam PRU akan datang.
Baik bagi pemimpin pusat, negeri, bahagian dan cawangan perlu terus diperingatkan bahawa 'yang menang bukan menang semua dan yang kalah bukan kalah semua' jika ikhlas dalam perjuangan politik kepartian sehingga masalah dalaman tidak akan wujud jika bersedia dengan tindakan kolektif walau ada jawatan mahupun tidak.
Yang penting, bagaimana untuk mengemudi dan menterjemah sokongan dalam bentuk undian pada PRU akan datang yang menjadi tanggungjawab keseluruhan anggota parti tanpa mengira batasan pangkat, kedudukan dan fungsi dalam parti jika benar-benar mengidamkan kemenangan yang sudah tidak dapat bergolek seperti satu ketika dahulu.
0 comments:
Post a Comment