PADA penghujung tahun lalu, pelakon veteran, Sidek Hussein pernah memberitahu, bahawa kesakitan yang dialaminya itu kian parah.
Namun, hasrat melakukan pembedahan untuk membuang bengkak di pipi kanannya itu terpaksa dilupakan atas nasihat doktor pakar.
Ketika itu, doktor memberitahu bahawa pembedahan tidak dapat dilakukan kerana mengundang risiko tinggi dan boleh membawa maut.
Cuba bertahan sedaya upaya menanggung penderitaan, akhirnya Sidek, 63, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dia pengsan di ibu kota pada 30 Mac lalu.
Menurut isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, suaminya itu tiba-tiba pengsan di hadapan kedai pemborong barang mainan, di Chowkit, ketika berjalan di kawasan berkenaan.
"Sebelum keluar rumah, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi ataupun mengadu kesakitan. Namun, sejak akhir-akhir ini, bengkak di pipinya itu semakin besar.
"Saya terpaksa meminta bantuan orang ramai agar menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.
"Hari ini (semalam), sudah 11 hari dia berada di wad dan saya juga turut 'berkampung' di sini menguruskannya," kata isteri pelakon filem, Karak ini.
Walaupun kondisi kesihatan Sidek sudah tidak menentu sejak setahun yang lalu, namun kini penyakitnya itu semakin menular ke bahagian mulut.
Kata Sebiah, sejak enam bulan lalu, Sidek menolak semua makanan dan hanya bertahan dengan meminum air sahaja.
"Saya memang risau dengan kesihatannya kerana dia hanya bergantung pada air sahaja, " katanya.
Menurutnya, dia tidak lalu nak makan kerana terasa mual.
"Sekarang, butir percakapan juga semakin tidak jelas dan saya hanya boleh memahami segelintir sahaja kerana bengkak itu menolak mulutnya," kata Sebiah lagi.
Tunggu keputusan doktor
Pada 1982, Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun ianya hanya sia-sia.
Menurut Sebiah, bengkak berkenaan kembali membesar tiga tahun selepas itu tanpa diketahui puncanya.
Katanya, sehingga ke hari ini, doktor masih tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapi suaminya itu.
"Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa.
"Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui.
"Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru.
Kemungkinan besar, ia adalah barah,' katanya lagi Sebelum Ramadan tahun lalu, Sidek pernah menjalani pembedahan pintasan jantung namun, jantungnya tidak mampu menahan pembedahan lebih 10 jam.
Tambah Sebiah, Sidek amat jarang mengadu mengenai kesakitannya kepada keluarga termasuk dirinya sendiri.
"Dia memang jarang bercakap dan tidak suka mengadu kalau sakit. Mungkin dia tak mahu kami anak beranak risau.
"Namun, sebelum dia dimasukkan ke wad, dia ada menerima tawaran lakonan.
Namun, dia menolak kerana faktor kesihatan. "Lakonan filem terakhir adalah Paku Pontianak, dan drama, Abah, pada tahun lalu," jelasnya.
Sepanjang usia perkahwinan, Sidek mempunyai seorang anak bersama Sebiah yang kini bekerja di Kota Kinabalu manakala hasil perkahwinan terdahulu, Sidek mempunyai empat anak.
0 comments:
Post a Comment