Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 27, 2017

[LIPIS] ENAM BERANAK BERGANTUNG EHSAN JIRAN

Enam beranak bergantung hidup ehsan jiran



Ibarat jatuh ditimpa tangga. Demikian kesusahan hidup yang perlu ditanggung oleh seorang ibu tunggal, di Kampung Padang Puyuh, Kerambit di sini selepas pemergian suami tercinta kira-kira empat bulan lalu.

Lebih menambah derita Siti Rohani Saleh, 45, apabila dua daripada enam anaknya menghidap masalah kesihatan yang memerlukan mereka menerima rawatan di Hospital Lipis hampir setiap minggu.

Siti Rohani berkata, setelah pemergian arwah suami, Azhar Omar, 47, pada Januari lalu akibat demam malaria dia mengambil alih tugas mencari rezeki dengan menoreh getah di sekitar kampung tersebut bagi menampung keperluan keluarga.

Namun masalah kesihatan yang dialami dua anak kecil Muhamad Nur Hairul Azreen, 5 dan Muhamad Nur Hairien, 1 memerlukan perhatian khusus menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk keluar bekerja meskipun anak keempatnya Siti Norsyahira, 16, sering membantu.

“Masa saya keluar bekerja, Siti Norsyahira yang sekarang belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit terpaksa ponteng sekolah sebab kena jaga adik-adiknya.

“Sepanjang saya keluar bekerja anak kelima, Hairul yang ada penyakit tibi dan asma serta si bongsu, Hairien yang menghidap penyakit asma kronik serta jangkitan kuman pada paru-paru selalu menangis menyebabkan mereka demam pada sebelah malam,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa berulang-alik menaiki bas sambil membawa dua anak kecilnya ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan penyakit pada setiap minggu.

“Saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan tapi duit itu digunakan untuk pelajaran tiga orang anak. Ada yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, di SMK Kerambit dan di pra sekolah Kerambit.

"Sekarang, saya sekeluarga hanya bergantung hidup pada ehsan jiran tetangga yang banyak tolong beri barangan keperluan harian. Saya harap ada pihak yang prihatin dan sudi bantu ringankan beban saya untuk sara hidup termasuklah beli barangan keperluan harian,” katanya.




0 comments:

share2