Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 31, 2012

Penemuan Minyak Di Pahang Mengemparkan PR


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Pahang bakal menjadi negeri sumber pengeluaran minyak dan gas terbaharu di Malaysia berikutan penemuan pertambahan rizab minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Perdana Menteri berkata, medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Petronas salah satu usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran terdiri daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil telah menemui rizab minyak tambahan itu baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, dengan pertambahan rizab tersebut, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isipadu asal keseluruhan atau minyak yang tersedia di situ sebanyak 64 juta tong.

''Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersial dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu, ini merupakan kejayaan besar.

''Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komesial, pengeluaran minyak dijangka dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 hingga 20,000 tong sehari," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Penemuan itu, kata Najib, membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Penyu Basin.

Medan minyak itu, katanya, terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepasi tiga batu dan di dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, berasaskan pertimbangan yang adil dan saksama, dan mengambil kira negeri-negeri yang telah dibayar wang ehsan sebelum ini, kerajaan komited untuk terus memastikan pembangunan serta manfaat dapat dirasai oleh negeri-negeri.

''Dalam hal ini, bergantung kepada anggaran pengeluaran, negeri Pahang dijangka menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014," katanya.

Perdana Menteri berkata, adalah menjadi dasar kerajaan untuk mengagih-agihkan kekayaan minyak dengan lima peratus pembayaran tunai kepada Pahang.

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Petroleum, Penerokaan & Pengeluaran Perniagaan, Petroliam Nasional Berhad, Ramlan A. Malek berkata, kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial itu dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

Menurut beliau, kerja-kerja cari gali akan dilaksanakan oleh operator blok, Lundin Oil.

1 comments:

  • Anonymous says:
    November 1, 2012 at 8:07 PM

    huhuhu,,bleh mtk keje baru la gni..
    xya g jauh2..hahha

share2