Johor Bahru - Seorang pemungut kelapa sawit ditahan selepas dipercayai mengambil upah menghantar (runner) dadah secara sambilan apabila polis menemui tiga peket plastik mengandungi dadah bernilai kira-kira RM12,493 dalam beg sandang dibawanya.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Gelang Patah - Ulu Pulai, dekat sini, kira-kira jam 3.40 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, suspek yang menunggang motosikal Yamaha 125z ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan dan dibawa ke Balai Polis Gelang Patah untuk pemeriksaan lanjut.
“Ketika pemeriksaan dilakukan pada beg hitam yang disandang suspek, polis menemui tiga peket plastik lut sinar, satu daripadanya mengandungi ketulan disyaki heroin, manakala dua plastik lut sinar mengandungi ketulan serbuk putih disyaki syabu.
“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek yang berasal dari Pekan Nenas, Pontian positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan mengambil upah sebagai ‘runner’ menghantar bekalan dadah dengan bayaran RM500 bagi setiap penghantaran sekitar negeri ini.
“Dadah yang dirampas disyaki syabu dengan berat kasar 51.45 gram dan heroin seberat 453.8 gram, dianggarkan bernilai RM12,493. Kita percaya dadah adalah untuk pasaran di sekitar Pontian.
“Suspek adalah penagih dadah sejak 2008 dan pernah ditangkap membabitkan dua kes mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hashim berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit dan motosikal yang digunakan suspek dan dia ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
0 comments:
Post a Comment