Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 18, 2013

Kalimah Allah - Umat Islam Harus Bersatu


POLEMIK penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama samawi lain kembali bergema. Jika diimbas kembali, isu ini sebenarnya pernah menggamit perhatian pada 2009 apabila Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Seperti biasa, Melayu Islam seakan melupakannya sehinggalah Ketua Menteri Kerajaan DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengungkitnya semula pada awal tahun ini.

Tanpa takwil, agama rasmi majoriti penduduk Malaysia adalah Islam dan secara lazimnya, penganut agama ini ialah Melayu. Bagi sesuatu agama samawi, ia diturunkan bersesuaian dengan bahasa dan kaumnya, Islam diturunkan kepada penutur Bahasa Arab dan tuhan dipanggil Allah.

Bagi Yahudi, kitab mereka diturunkan dalam bahasa pertuturan mereka iaitu Ibrani dan nama tuhan mereka disebut 'Yahweh'. Begitu juga agama Hindu dan Buddha, mereka juga mempunyai nama tuhan masing-masing yang disesuaikan dengan bahasa pertuturan.

Oleh itu, sekiranya disyorkan nama tuhan mereka ditukar kepada 'Allah', pasti mereka tidak akan bersetuju dan menolak, malah menganggapnya sebagai tidak masuk akal!.

Selain itu, amalan ibadah setiap agama juga mempunyai nama khusus, sekali lagi secara logiknya mesti bersesuaian dengan bahasa pertuturannya, walaupun maksudnya secara teori bahasa adalah sama.

Contoh mudah ialah solat yang bermaksud sembahyang. "Ahmad sedang solat Maghrib, tetapi jika disebut Muthusamy sedang solat" ia amat janggal dan tidak dapat diterima walaupun maksudnya adalah sama iaitu menyembah tuhan.

Mengikut ilmu teologi, semua penganut agama di dunia mengakui wujudnya Allah iaitu tauhid rububiyah, mempercayai bahawa Allah mencipta dan mengatur segalanya di atas muka bumi ini, bezanya mereka tidak mempercayai tauhid uluhiyah apabila menyekutukan-Nya dengan tuhan lain.

Bagi Muslim, mereka wajib mempercayai kedua-duanya sekali, tauhid rububiyah dan uluhiyah, termasuk mematuhi setiap larangan-Nya pada setiap masa tanpa sebarang kompromi!.

Perbezaan itu boleh dirujuk daripada inti pati surah al-Ikhlas iaitu sifat Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada tandingan dan menjadi tumpuan semua makhluk.

Berbeza dengan orang bukan Islam, walaupun mereka mempercayai wujudnya Allah namun mereka tetap menyembah sekutu lain, mempercayai wujudnya anak bagi Allah dan mempercayai wujudnya kuasa selain Allah yang hampir setanding dengan-Nya.

Sementara itu, dalam isu yang sesuai disebut sebagai 'perebutan' penggunaan kalimah Allah ini, terdapat beberapa perkara negatif dan positif yang perlu semua pihak mengambil iktibar daripadanya dengan mata hati, bukannya dengan mata kasar.

Tindakan 'merampas' kalimah Allah daripada orang Islam adalah suatu bentuk provokasi agama, sekali gus menidakkan toleransi umat Islam negara ini yang selama ini tidak pernah sekali pun mengganggu-gugat ajaran agama lain.

Jika penganut agama lain berjaya sekali pun, ia boleh mengundang musibah dan mudarat jangka masa panjang. Seperti apa yang menghantui negara-negara luar apabila setiap kali isu agama tercetus, kekerasan yang menjadi pilihan. Akibatnya dendam atau konflik agama tidak mampu sama sekali untuk dipadamkan

Ledakan daripada itu juga akan menyuburkan lagi fahaman pluralisme agama hingga mengakibatkan masyarakat awam tidak lagi mampu mengenal Allah yang sebenar atau yang palsu. Ini kerana antara intipati pluralisme agama ialah semua agama mempunyai tuhan yang sama iaitu Allah, apa yang membezakannya hanya wadah atau jalan untuk mencari keredaan-Nya.

Bagi sudut pandangan positif, isu ini mampu menyedarkan Melayu-Islam untuk memantapkan lagi kefahaman mengenali siapa Allah, bukan hanya sekadar bersungguh-sungguh mempertahankan nama-Nya sahaja tetapi pada masa sama dengan sewenang-wenangnya pula mengingkari larangan-Nya.

Diharap isu ini menjadi titik transformasi Melayu-Islam untuk mengenali siapakah sebenar Allah yang mereka tuhani kerana hanya mereka yang benar-benar bertaqwa sahaja diterima di sisi Allah.

Cukuplah sekadar memartabatkan Allah hanya pada keindahan seni khat bagi dijadikan perhiasan dinding rumah atau pejabat. Langsung tiada gunanya Melayu-Islam menjuarai penggunaan kalimah Allah tetapi pada masa sama mengungguli statistik rasuah, zina, pembuangan anak, budaya tahyul, khurafat, tidak menutup aurat, tidak mengerjakan solat dan menunaikan zakat serta meminum arak tanpa segan silu.

Pernahkah anda sama ada sebagai seorang pemimpin politik, ketua jabatan, ahli korporat, guru, bapa, ibu, abang, petani dan buruh menegur ahli keluarga atau orang bawahan kenapa tidak menutup aurat, sudahkah mengerjakan solat, kenapa melakukan maksiat dan sebagainya. Sedangkan semua ini adalah perintah mutlak pemilik nama Allah itu.

Penulis amat tertarik dengan pendedahan pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah beberapa tahun lalu bahawa hasil daripada kajiannya mendapati 80 peratus umat Islam di negara ini tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari.

Statistik ini tidak boleh dipandang mudah kerana solat adalah tiang agama, sekiranya tiang sesuatu struktur itu tidak kuat maka bangunannya boleh runtuh pada bila-bila masa. Renungkanlah, kerana sekali lagi solat itu adalah perintah mutlak pemilik nama Allah itu.

Diyakini sehingga kini, statistik itu masih tidak berubah, malah tidak mustahil semakin merudum berdasarkan kepada kegilaan Melayu-Islam terhadap segala jenis pesta yang melalaikan, contoh terdekat semasa sambutan tahun baharu yang baru selesai.

Berapa ramai Melayu-Islam yang mabuk dan berzina, tunggulah waktu menuai kira-kira sembilan bulan lagi pasti akan hiruk-pikuk dengan kes pembuangan bayi. Sekali lagi, semua maksiat ini jelas melanggar perintah pemilik nama Allah itu. Tepuk dada tanyalah selera!.

0 comments:

share2