Klik Ke Laman Sesawang

.

MAKLUMAN: Kami membuka ruang 'Karya' untuk kita berkongsi puisi, sajak, pantun, seloka, gurindam, syair serta cerpen. Alamatkan hasil karya asli anda ke: editor.pahangku@gmail.com atau inbox ke Facebook: PahangKu Fan Page. Sertakan juga nama penuh jika menggunakan nama pena. Sumbangan karya anda sangat kami hargai, terima kasih - editor.

#MH370

#MH370

Friday, January 25, 2013

Semangat Satu Ummah.


HUSSEIN AL JABARI, mungkin tidak memahami apa-apa apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memeluk dan memangkunya. Namun kanak-kanak berusia enam tahun itu pasti mengerti bahawa kehadiran Perdana Menteri Malaysia ada kaitan dengan kematian bapanya, Ahmed Al-Jabari yang terbunuh dalam serangan roket oleh Israel pada 14 November lalu.

Sebelum itu, sebaik-baik sahaja tiba di pusat Imigresen Sempadan Rafah-Gaza, Najib dibawa melihat kereta Allahyarham Ahmed Al-Jabari yang musnah dalam tindakan ganas rejim Zionis itu.

Kematian Komander Briged Al-Qassam itu merupakan permulaan kepada serangan selama lapan hari berturut-turut oleh rejim Zionis ke atas Bandar Gaza dan ia juga terus membakar semangat jihad rakyat Palestin.

Serangan Israel itu seperti biasa bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat Palestin tetapi juga memusnahkan harta benda termasuk pejabat Perdana Menteri Ismail Haniyeh, masjid, stadium dan sekolah.

Ternyata sasaran Israel bukanlah kem atau penempatan tentera Palestin tetapi orang awam dan kelmarin Najib dapat melihat sendiri kekejaman rejim Zionis berkenaan.

Sambil menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel itu sama sekali tidak mematuhi peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Najib mengakhiri lawatan bersejarahnya ke bumi Palestin dengan menyeru dua pergerakan utama dalam perjuangan rakyat Palestin iaitu Hamas dan Fatah supaya bersatu.

Walaupun menempuh program lawatan yang cukup padat dan singkat serta pantas, namun kepuasan jelas terbayang di wajah Perdana Menteri pada akhir lawatan.

Ia memandangkan, lawatan tersebut bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang berbuat demikian malahan Najib juga adalah pemimpin Islam yang pertama daripada bukan kalangan negara Arab yang menjejak kaki ke bumi Palestin. Semua itu dilakukan seperti mana kata Najib dalam ucapannya ketika pertemuan dengan Kabinet Palestin ia berdasarkan kepada gerak hati.

‘‘Tiada cara yang lebih baik, selain menjejaki kaki ke Gaza dan bumi Palestin bagi menunjukkan tanda sokongan kami yang tidak berhenti-henti terhadap perjuangan rakyat Palestin," kata Najib.

Malahan Najib menegaskan, perjuangan di bumi Palestin bukan berkaitan rakyat Palestin sahaja tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya.

Sebab itulah, Najib sebelum meninggalkan bumi para Syuhada dan Anbiya itu mahu melihat Hamas dan Fatah mencapai kata sepakat dalam pelan perdamainan yang diusahakan oleh Mesir.

Penyatuan antara kedua-dua pertubuhan itu amat penting kerana jika mereka terus bertelagah sesama sendiri yang akan untung ialah Israel manakala di bumi Palestin lebih ramai kanak-kanak akan menerima nasib seperti Hussein Al-Jabari.

Fatah dikatakan menguasai wilayah yang mempunyai lebih 4 juta rakyat Palestin manakala Hamas pula sekitar 1.5 juta, oleh itu mahu tidak mahu kedua-dua pihak perlu mencapai kata sepakat untuk membolehkan pembentukan sebuah negara merdeka tercapai.

Seperti mana kata Najib dalam ucapannya, beliau menempuh perjalanan sejauh 7,500 kilometer untuk bersama rakyat Palestin, sepanjang perjalanan berkenaan beliau melalui Indonesia yang mempunyai lebih 200 juta penduduk Islam, India dan Pakistan yang masing-masing mempunyai 170 juta umat Islam dan negara-negara Teluk.

Walaupun jarak, bahasa dan budaya berbeza namun kesemua mereka adalah ‘Satu Ummah’. Semangat ‘Satu Ummah’ inilah yang seharusnya menjadi sandaran utama kepada Fatah dan Hamas untuk mencapai kata sepakat sesama mereka.

Tidak dinafikan bahawa antara kedua-dua pergerakan itu ada perbezaan pendapat tetapi mereka tidak boleh selama-lamanya bertelagah kerana matlamat utama mereka adalah memerdekakan Palestin.

Setakat ini pelan perdamaian yang diusahakan mendapat sambutan positif kedua-dua belah pihak dan semangat itu diharapkan oleh Najib akan berkekalan.

Persefahaman antara kedua-dua pihak bakal menentukan masa depan rakyat Palestin yang sudah cukup sengsara ditindas oleh rejim Zionis, mereka tidak mampu lagi menempuh pula pertelingkahan berpanjangan sesama sendiri.

Selain itu, atas semangat Satu Ummah itu juga, Najib menjejak kaki ke bumi Palestin dan kehadiran beliau ternyata disambut dengan penuh meriah oleh pemimpin-pemimpin Palestin apabila Ismail Haniyeh sendiri mengiringi Najib ke semua lokasi lawatan Perdana Menteri Malaysia itu.

Bagi rakyat Palestin, mereka begitu berbesar hati menerima kehadiran Najib. Selain di sepanjang jalan dan di tempat disinggahi di bandar Rafah dan Gaza, mereka melaungkan nama Malaysia.

Lawatan itu turut mendapat liputan seluruh media di Palestin yang dianggap oleh seorang pegawai Perdana Menteri, ‘cukup mengagumkan dan luar biasa’.

Bagi warga Palestin, lawatan Najib adalah satu kenangan manis kepada mereka.

‘‘Selama ini kami hanya menerima bantuan daripada rakyat Malaysia sahaja tetapi hari ini (Selasa) kami dapat melihat wajah Perdana Menterinya…ini satu kenangan yang cukup manis dan pasti akan meningkatkan lagi semangat rakyat Palestin dalam perjuangan suci mereka," kata Dr. Hussein, pensyarah kanan di Universiti Al-Aqsa, Gaza.

Dr. Hussein sememangnya ‘rapat’ dengan Malaysia kerana beliau melanjutkan pelajaran dalam peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan fasih berbahasa Melayu.

Ketika penulis menemui beliau di pintu Sempadan Rafah-Gaza bagi menanti ketibaan Perdana Menteri, beliau menceritakan bagaimana bangga dan terharunya rakyat Palestin menerima lawatan Najib.

‘‘Kami ingin menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib bahawa rakyat Palestin benar-benar menghargai sokongan rakyat Malaysia terhadap kami dan malahan kami juga terkejut kerana Najib sanggup menjejak kaki ke bumi Palestin," katanya.

Dr. Hussein seperti juga pihak lain melihat Najib sepanjang lawatan berkenaan telah memberikan mesej yang jelas kepada rakyat Palestin iaitu mereka mesti bersatu jika ingin mencapai keamanan dan kemakmuran.

Apa pun lawatan Najib adalah satu sejarah dan membuktikan keikhlasan Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Pujian juga harus diberikan kepada Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Mesir dan pelbagai agensi kerajaan lain yang memainkan peranan cukup penting untuk memastikan lawatan kali pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia menjadi satu kenyataan.

Kejayaan itu sekali gus meningkatkan imej Malaysia di mata dunia khususnya negara-negara Islam bahawa Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.

Semoga lawatan Najib akan meningkatkan lagi semangat rakyat Palestin untuk meneruskan perjuangan bagi membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka, aman, makmur dan bermaruah melalui semangat Satu Ummah.

0 comments:

Ruang Iklan Untuk Disewa