Seorang bekas penyokong tegar Pas yang terlalu taksub dengan Amanat Haji Hadi, mendedahkan bagaimana dia mendirikan solat Jumaat berimamkan siaran langsung solat Jumaat menerusi saluran radio kerana menganggap imam di kampungnya kafir.
Menurut Aziz Jusoh, 53, dari Kampung Gong Guchil dekat sini, selepas menyedari tindakannya itu bertentangan dengan ajaran Islam, dia terus bertaubat dan nekad meninggalkan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendapati ia merosakkan akidah.
Katanya, sebagai pengikut parti yang ilmu agama cetek, tindakan memulaukan imam atau orang UMNO dan mengkafirkan mereka dianggap halal serta jihad dalam memperjuangkan Islam bersama Pas.
Setiap kali Jumaat, sebuah radio pasti berada di hadapan saya yang siap sedia untuk menunaikan solat dua rakaat. Saya akan mendengar khutbah dan berimamkan suara yang berkumandang.
Sampai begitu sekali keterlanjuran saya kerana terlalu taksub kepada perjuangan Pas tanpa berfikir amalan sedemikian adalah bidaah dan tidak sepatutnya dilakukan," katanya.
Dia mengulas pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani bahawa puluhan ribu penyokong Pas masih berpegang dengan Amanat Haji Hadi.
Paling taksub, dakwa Aziz, pada masa itu ada penyokong tegar Pas yang menunaikan solat dengan meletakkan gambar atau poster pemimpin parti di bawah sejadah.
Aziz mendakwa, sepanjang menyokong Pas lebih 15 tahun lalu, arahan supaya mengkafirkan orang UMNO masih kuat dalam ingatannya hingga sekarang dengan menyaksikan akad nikah semula rakan-rakannya yang mempercayai pernikahan mereka yang dilakukan oleh imam UMNO tidak sah.
Bagi mengelak perzinaan berterusan, mereka diakad nikah semula oleh pak lebai Pas yang tidak bertauliah. Kami juga diajar supaya terus mengkafirkan orang UMNO secara lantang. Kalau tidak berani, cukup sekadar mengkafirkan orang UMNO dengan hati bagi mendapat ganjaran pahala," katanya.
Aziz mendakwa, sehingga sekarang masih ramai penyokong tegar Pas yang lantang mengatakan orang UMNO adalah ahli neraka.
Dia juga mengakui salah seorang ahli Pas yang tidak makan daging sembelihan orang UMNO, memulaukan kenduri-kendara, tahlil dan apa sahaja berkaitan dengan orang yang dilabelkan kafir oleh pemimpin Pas serta dipandang jijik olehnya.
Dakwa Aziz lagi, daging sembelihan orang UMNO dianggap sebagai bangkai dan haram dimakan menjadi pesanan serta pegangan ahli keluarganya ketika itu.
Bagaimanapun, jelasnya, selepas menyedari kesilapan pegangan itu, dia memaklumkan kepada keluarganya untuk tidak bersama perjuangan Pas memandangkan pada masa sama, arwah ibunya juga penyokong tegar Pas dan pernah menghalaunya dari rumah.
Ibu saya sendiri menganggap saya sudah kafir (setelah tidak lagi menyokong perjuangan Pas). Itulah penangan Amanat Haji Hadi yang jelas memecah-belahkan perpaduan umat Melayu yang wajib diperbetulkan semula oleh Presiden Pas itu tanpa perlu berdolak-dalik," katanya.
0 comments:
Post a Comment