Klik Ke Laman Sesawang

Thursday, January 17, 2013

PAS Sentiasa Didalam Kerugian


DIANGGARKAN 90 peratus daripada mereka yang menyertai himpunan pembangkang di Stadium Merdeka, Sabtu lalu adalah orang Melayu dan seperti diduga 70 peratusnya adalah penyokong Pas.

Itulah 'bergunanya' Pas kepada pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP iaitu mengumpulkan penyokong sebanyak mungkin.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP amat memahami bahawa penyokong-penyokong Pas adalah penyokong tegar dan sedia berbuat apa sahaja jika diarahkan oleh pemimpin mereka.

Oleh itu, kelemahan ini digunakan oleh PKR dan DAP untuk memperalatkan Pas bagi memastikan penyokong Pas termasuklah Unit Amalnya memenuhi majlis-majlis pembangkang.

Tetapi biar apa pun yang dilakukan oleh Pas, kerjasama dalam pakatan pembangkang tidak menguntungkan parti itu, sebaliknya sentiasa sahaja meletakkan mereka dalam kerugian.

KORBANKAN PERJUANGAN NEGARA ISLAM KEPADA NEGARA BERKEBAJIKAN

Dalam sejarah politik tanah air, tidak pernah ada mana-mana parti yang bersedia mengorbankan prinsip atau dasar perjuangan mereka untuk menjaga hati rakan sekutunya. Tetapi tidak kepada Pas yang bersedia mengorbankan perjuangan negara Islamnya kerana tunduk kepada penentangan PKR dan DAP.

Walaupun perjuangan menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud adalah modal terbesar Pas untuk bertapak dalam arena politik negara sejak 1951, namun Pas bersedia mengorbankan semua itu semata-mata menjaga hati sekutunya.

Sehubungan itu, Pas mengubah dasar perjuangannya dari negara Islam kepada negara berkebajikan manakala hukum hudud ditinggalkan begitu sahaja.

Biar pun Pas mendakwa tiada bezanya antara negara Islam dan negara berkebajikan namun ia sekadar alasan.

Apa yang malang, ketika pemimpin-pemimpin DAP begitu konsisten menentang sebarang usaha Pas untuk melaksanakan negara Islam dan hukum hudud, pemimpin-pemimpin Pas dilihat tidak konsisten sama sekali.

Tambahan pula dalam Pas wujud pemimpin-pemimpin yang dilihat lebih sehaluan cara politik dengan PKR dan DAP berbanding Pas sendiri.

SEKADAR NAMA DI PULAU PINANG, BAGAI PENUMPANG DI SELANGOR, TIDAK BERMAYA DI KEDAH

Di ketiga-tiga negeri ini, Pas merupakan antara parti yang bergabung dalam kerajaan negeri. Ketika pilihan raya umum 2008 diumumkan, penyokong-penyokong Pas bergembira kerana akhirnya mereka berjaya menumbangkan BN di ketiga-tiga negeri itu. Tetapi kegembiraan itu tidak lama kerana segala jasa mereka seolah-olah tidak dihargai.

Di Pulau Pinang, Pas hanya menjadi pemerhati sahaja terhadap apa juga tindak-tanduk kerajaan negeri yang diketuai oleh DAP. Pas tidak bersuara langsung biar pun banyak tindakan kerajaan negeri dikatakan menyinggung perasaan orang Melayu dan umat Islam.

Di Selangor, Pas sekadar pak turut, tidak mampu bersuara. Datuk Dr. Hasan Ali yang suatu ketika berusaha melaksanakan hasrat perjuangan Pas dalam menegakkan perkara berkaitan Islam akhirnya dipecat hanya kerana beliau menyeru orang ramai tidak menghadiri perhimpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebenarnya, itu hanya alasan, Pas sememangnya sudah mendapat tekanan daripada PKR dan DAP untuk mencari helah bagi membolehkan Dr. Hasan dipecat berikutan kelantangan beliau dalam memperjuangkan isu berkaitan dengan orang Melayu dan pelaksanaan Islam di Selangor.

Bagi Pas, selagi Dr. Hasan berada dalam kerajaan negeri pimpinan PKR itu, kerjasama politik Pas dengan parti tersebut dan DAP boleh tergugat. Oleh itu mahu tidak mahu Dr. Hasan perlu dikorbankan. Apa yang lebih malang posisi menjaga hal ehwal agama tidak diberikan kepada pemimpin Pas yang menggantikan Dr. Hasan sebaliknya ia disandang oleh Menteri Besar.

Di Kedah pula, biar pun Pas menjadi teraju utama dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun Pas tidak berupaya melawan kehendak DAP biar pun DAP hakikatnya hanya ada satu kerusi sahaja. Ini terbukti apabila kerajaan negeri membatalkan keputusan untuk menutup pusat hiburan pada Ramadan yang lalu akibat penentangan DAP.

HANYA MENJADI TUKANG SORAK DAN BERHIMPUN

PKR dan DAP amat memahami kekuatan Pas bukan sahaja untuk menarik undi orang Melayu tetapi juga boleh 'diperkudakan' untuk mengerahkan penyokong-penyokong parti itu memenuhi majlis-majlis dan ceramah pakatan pembangkang.

Itulah yang kita saksikan apabila dalam apa juga perhimpunan sudah pasti yang terangguk-angguk datang ialah penyokong-penyokong Pas.

Tetapi persoalannya, apakah pengorbanan mereka dihargai? Sudah tentu tidak, sebab itulah PKR dan DAP tetap tidak membenarkan Pas dominan dalam pakatan pembangkang.

Apa yang lebih kasihan kepada penyokong Pas ialah hasrat mereka untuk melihat Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memerintah ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP.

Biar pun dari segi moral dan latar belakang agama, Abdul Hadi lebih layak tetapi DAP khususnya tetap mahukan Anwar. Sekali lagi, kita melihat Pas mengalami kerugian. Pemimpin-pemimpin mereka langsung tidak dilihat layak dipertimbangkan sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang.

SEMAKIN TERHAKIS IMEJ ISLAM

Pas begitu marah apabila orang menuduh mereka meninggalkan perjuangan Islam, pemimpin-pemimpin parti itu menganggap mereka yang membuat tuduhan berkenaan sengaja mahu memecah belahkan pakatan pembangkang.

Tetapi cubalah lihat, apakah sikap Pas dalam isu-isu berkaitan Islam. Pas sebenarnya diperalatkan oleh PKR dan DAP. Sebagai sebuah parti yang disertai oleh alim ulama, Pas paling layak dipergunakan untuk 'menghalalkan' apa juga tuntutan dan tindakan kedua-dua parti itu berkaitan Islam.

Terbaru isu kalimah Allah, Pas gagal mempertahankan imejnya sebagai parti memperjuangkan Islam apabila bersedia bersekongkol dengan PKR dan DAP untuk mendesak supaya bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah suci tersebut.

Tuntutan asal ini datang daripada pemimpin DAP dan mereka memahami bahawa apabila pemimpin Pas bercakap ia boleh meyakinkan umat Islam. Oleh itu Abdul Hadi 'diberi penghormatan' oleh Anwar untuk membuat kenyataan media mengenai pendirian Pas.

Maka tersenyumlah pemimpin-pemimpin PKR dan DAP kerana Pas sekali lagi menuruti kehendak mereka tetapi yang terjejas ialah Pas apabila umat Islam melihat parti tersebut bersedia menjadi 'pak turut' hanya kerana mahukan kuasa politik.

Malahan kehadiran ribuan penyokong Pas ke Stadium Merdeka, Sabtu lalu diuar-uarkan oleh penyokong-penyokong PKR dan DAP sebagai tanda sokongan Pas kepada perjuangan DAP untuk membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah biar pun ulama Pas menentang persetujuan parti itu dalam soal tersebut.

Sekali lagi Pas berada dalam kerugian kerana umat Islam berpendapat parti itu semakin terhakis imej Islamnya. Kalau kalimah Allah pun tidak boleh dpertahankan, apa lagi dalam soal Islam lain.

Justeru berdasarkan huraian di atas, jelaslah dalam kerjasama dengan PKR dan DAP, Pas sentiasa berada pada kedudukan golongan yang rugi. Oleh itu tahniah kepada penyokong Pas kerana kesetiaan mereka akan memperkuatkan PKR dan memperkukuhkan DAP tetapi menghakis keutuhan Pas, itulah nasib 'pak turut'.

0 comments:

share2


Ruang Iklan Untuk Disewa