Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 23, 2017

[BERA] SELAGI KUDRAT MASIH ADA


Selagi kudrat masih ada


Tiada apa yang lebih diharapkan seorang anak melainkan untuk melihat ibu yang terlantar dan ayah mengidap penyakit prostat kembali sihat.

Ibu tunggal, Zaharah Zamin, 44, berkata, ibunya Mariam Ahmad, 72, tidak mampu bergerak sendiri selepas terjatuh tiga tahun lalu sementara ayahnya Zamin Abdul Hamid, 75, masih menerima rawatan susulan dan menemui doktor setiap bulan.

“Keadaan mak kurang stabil sebab tulang belakangnya beralih selepas terjatuh dulu. Mak kena duduk atas kerusi roda kalau nak gerak ke mana-mana. Sekarang pun dah kena pakai lampin pakai buang. Jadi, dia terpaksa habiskan masanya di atas katil.

“Ayah pula mengidap prostat sejak sembilan tahun dulu. Walaupun sakit tapi dia tetap kuat semangat demi mak,” katanya pada Program Ziarah Ukhuwah anjuran Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), di sini.

Hadir sama, Adun Kemayan, Dato' Mohd Fadil Osman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Wan Hamdan Wan Ab Habibi.

Menurutnya, kedua ibu bapanya tidak menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak namun dibantu anak-anak yang turut menguruskan segala keperluan.

“Saya juga tolong mana yang patut dan besarkan tiga orang anak seorang diri selepas suami meninggal dunia. Tapi Alhamdulillah, saya dapat bantuan Perkeso setiap bulan dan duit itulah saya guna untuk menguruskan anak-anak.

“Bagaimanapun, saya menghargai keprihatinan semua pihak yang datang ziarah mahupun yang pernah menghulurkan sumbangan. Sedikit sebanyak, itu menceriakan perasaan kedua orang tua saya,” katanya.


0 comments:

share2