Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 23, 2012

Tasik Chini Menjanjikan Pemandangan Menarik


Pahang merupakan salah satu negeri yang kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati termasuk dua tasik semula jadi yang terbesar di Malaysia.

Selain Tasik Bera, Tasik Chini adalah antara lokasi tumpuan pelancong terutama bagi penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam sekitar.

Tasik yang terkenal dengan mitos Naga Seri Gumum itu mempunyai keluasan hutan kira-kira 5,000 hektar yang sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan merentasi hutan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh Tasik Chini Resort untuk para pengunjung terutama aktiviti air melibatkan kayak dan bagi kaki pancing pula, Tasik Chini merupakan destinasi yang perlu dikunjungi untuk menguji kepakaran mereka menaikkan pelbagai spesies ikan air tawar di tasik tersebut.

Selain itu, pengunjung boleh melawat taman orkid dan mencuba permainan paintball sama ada secara individu mahupun berkumpulan selain bersiar-siar sambil menunggang kuda.

Terdapat beberapa pintu masuk utama untuk sampai ke Tasik Chini iaitu melalui Muadzam Shah, Kampung Belimbing dan persimpangan Paloh Hinai dengan jarak perjalanan 60 kilometer dari bandar Pekan dan 100 kilometer dari Kuantan.

Pihak pengurusan Tasik Chini Resort menyediakan bilik penginapan yang selesa termasuk asrama, bilik biasa, deluxe dan bilik VIP serta tapak perkhemahan.

Bagi penggemar sukan lasak, mereka boleh mencuba pelbagai aktiviti termasuk abseiling dan flying fox manakala pencinta alam sekitar pula berpeluang mengelilingi Tasik Chini menggunakan bot yang disediakan.


Pada masa yang sama, Tasik Chini menjadi tarikan pada bulan Jun hingga September kerana bunga teratai akan menghiasi tasik tersebut.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai pelancongan di Tasik Chini boleh melayari laman sesawang www.lakechiniresort.com.

0 comments:

share2