Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 14, 2016

PARAS TERTINGGI AIR DIJANGKA ISNIN INI


Paras tertinggi air dijangka Isnin ini


Kapar – Agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat bekerjasama bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka melanda Ahad ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerjasama pelbagai pihak itu memfokuskan pada baik pulih dan penambahbaikan ban atau benteng penahan air.

“Selepas fenomena yang sama pada bulan lepas, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4.3 juta untuk membaiki ban yang rebak (pecah).

“Menurut ramalan dan kajian Jabatan Meteorologi, paras tertinggi air dijangka naik pada kadar 5.7 meter pada 17 Oktober nanti.

"Jadi kerisauan kita sekarang ini adalah keadaan air pasang ini berlaku ketika waktu hujan.

“Justeru, kita menasihatkan penduduk yang terdedah kepada risiko banjir agar dapat berpindah awal ke pusat pemindahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Kampung Tok Muda, di sini bagi melihat kerja-kerja menaik taraf ban sedia ada bagi menghadapi fenomena tersebut.

Hadir sama ketika lawatan berkenaan, Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi; Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Datuk Ir Rohaizi Mohd Jusoh dan Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor.

Dalam pada itu, Rohaizi menjelaskan, kerja-kerja meninggikan ban sedia ada sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) selain Mercy Malaysia.

“Hari ini dapat dilihat kita bersama-sama bertungkus lumus dalam kerja-kerja meninggikan ban sedia ada dengan menggunakan kaedah sand bag (beg pasir) setinggi 1.5 kaki hingga 2 kaki tinggi.

“Kerja-kerja meninggikan ban ini merangkumi 350 meter panjang di Kampung Tok Muda dan kita jangkakan ia dapat membantu menahan limpahan air apabila fenomena air pasang besar berlaku nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


0 comments:

share2