Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 14, 2016

‘DOKTOR MASIH KESAN SEL KANSER'


‘Doktor masih kesan sel kanser’


Segamat - Seorang ibu di Kampung Paya Lang, di sini, terpaksa menerima hakikat bahawa payu dara kanannya terpaksa dibuang selepas dikesan menghidap penyakit kanser payu dara tahap tiga.

Norayu Sudin, 38, berkata, dia dikesan menghidap penyakit pembunuh nombor satu wanita itu pada 2014 sewaktu menetap bersama suaminya, Shahringan Aziz, 44, dan lima anaknya di Klang, Selangor.

“Saya kemudian jalani pembedahan buang sel-sel kanser dan payu dara di Hospital Klang pada Februari lalu sebelum ambil keputusan berpindah ke Segamat pada Ramadan lalu.

“Saya dan anak dahulu yang berpindah ke sini sebelum suami menyusul beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, kerana ketika itu dia bekerja sebagai pemandu lori dan perlu selesaikan beberapa urusan terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, suaminya juga terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dirinya dan hilang sumber pendapatan, selain terpaksa menggunakan wang simpanan bagi perbelanjaan anaknya yang berumur di antara enam bulan hingga 16 tahun.

Katanya, bagi meringankan beban keluarganya, anak keduanya, Nurshaheswani, 15, terpaksa mengambil upah membuat tempe di rumah penduduk kampung selepas tamat waktu persekolahan dengan upah sebanyak RM50 seminggu.

“Duit upah tersebut juga banyak membantu kami sekeluarga termasuk keperluan anak bongsu saya yang masih kecil. Alhamdulillah suami juga sudah diterima bekerja sebagai pemandu lori sejak seminggu lalu.

“Saya kini terpaksa berulang-alik ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk jalani sesi kemoterapi dan rawatan susulan memandangkan doktor masih mengesan sel-sel kanser di payudara kanan saya,” katanya.

Norayu berkata, walaupun baharu berpindah ke daerah ini, dia juga terharu apabila sekolah anak-anaknya turut menghantar sumbangan meringankan beban dihadapi mereka.

Katanya, dia kini terpaksa menyewa rumah sebanyak RM150 sebulan, akui kawasan tersebut kurang selesa untuk mereka sekeluarga, namun terpaksa terima dengan reda memandangkan tiada pilihan lain.

Sementara itu, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, buat sementara waktu beliau akan cuba mendapatkan Rumah Transit Majlis Agama Islam Johor (Maij) untuk keselesaan keluarga tersebut.

“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat yang turut serta dalam lawatan hari ini (semalam) juga sudah ambil maklumat diperlukan dan kita akan berusaha membantu keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin bantu meringankan beban boleh menghubungi Norayu di talian 01129109767 atau menyalurkannya secara terus ke akaun CIMB milik Norayu bernombor 12310081697522.


0 comments:

share2