Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 14, 2016

[KUANTAN] CARI REZEKI DENGAN HASIL SENI


Cari rezeki dengan hasil seni


Suatu ketika dahulu, kerjaya sebagai pelukis atau artis visual seringkali dipandang rendah, malah dianggap tidak mampu menjamin kehidupan seseorang.

Bagaimanapun, pandangan tersebut sedikit pun tidak menghalang Zuhairi Zainal Abidin, 57, untuk terus menerokai bidang seni lukis ini, sebaliknya dia terus menghasilkan seni yang bermutu.

Zuhairi merupakan seorang pelukis sepenuh masa yang menceburi bidang ini selama lebih 34 tahun dan menganggap bidang tersebut mampu memberi kepuasan kepadanya.

“Waktu melukis saya boleh luahkan semua yang terbuku dalam hati dan fikiran. Inilah kepuasan yang saya peroleh,” katanya.

Walaupun tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang seni lukis, tetapi berbekalkan azam dan minat tinggi membuatkan lelaki berasal dari Kuala Rompin ini tidak malu serta takut untuk bermain berus di atas kanvas bagi mencari sesuap nasi.

“Banyak juga lukisan yang tak jadi sewaktu mula mencuba, tapi bila dah selalu main dengan berus dan lukis, secara tak langsung bakat digilap. Alhamdulillahlah, sekarang saya mampu jadi pelukis berbekalkan minat yang mendalam,” katanya.

Dia juga amat bersyukur kerana dengan bakat kurniaan ALLAH ini membolehkannya berkongsi dengan masyarakat dan secara tidak langsung memberi sumber pendapatan.

Kecintaan Zuhairi terhadap seni juga terbukti apabila dia sanggup berpindah lokasi kerja dari Kuala Lumpur ke Kelantan pada 1995 apabila mengahwini anak watan negeri itu, Wan Farizah Wan Ahmad, 45.

“Saya memilih untuk ke Kelantan selepas berkahwin dan menetapkan di sana beberapa tahun. Sambil tu saya cari rezeki dengan melukis. Selepas itu saya berpindah ke Kuala Rompin serta menetap di sini,” katanya.

Walaupun terpaksa berpindah randah, baginya hasil yang diperoleh daripada penjualan lukisan itu tetap ada dan berupaya menampung kehidupannya sekeluarga.

Zuhairi yang mula melukis sejak 1982 memberitahu, lukisan paling mahal pernah dijualnya adalah sebuah lukisan abstrak bernilai RM3,000 yang dipesan khusus oleh seorang peminat.

Menurutnya, dia menghasilkan pelbagai lukisan untuk individu dan syarikat seperti potret, abstrak dan landskap menggunakan cat air, minyak dan akrilik.

Tambahnya, dengan melakukan kerja dari rumahnya di Kuala Rompin, dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan dalam masa sama mendisiplinkan diri menghasilkan lukisan setiap hari walaupun tiada tempahan.

Selain bakat semula jadi, dia belajar ilmu lukisan daripada pengalaman dan pembacaan sendiri serta rujukan kepada rakan-rakannya yang berjaya menjadi pensyarah di pusat pengajian tinggi.

Kini Zuhairi berjaya membuka galeri tersendiri hasil usaha selamanya 34 tahun dalam bidang ini.

Katanya, dengan adanya lukisan ini membolehkan dia mempamerkan semua koleksi miliknya di tempat selayaknya.


0 comments:

share2