Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 28, 2016

ANNUAR SEDIA TERAJUI FAM


Annuar Musa


Tan Sri Annuar Musa menyatakan pendiriannya mahu bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam pemilihan kongres persatuan itu yang dijangka berlangsung, pada Mac tahun depan.

Annuar berkata, sekalipun sudah melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), awal November lalu, namun ‘keinginan’ beliau terhadap bola sepak tetap tinggi dan menyatakan kesediaan untuk berkhidmat di peringkat nasional. 

Menurutnya, beliau sedikit pun tidak kisah dengan tuduhan dilemparkan terhadapnya apabila meninggalkan Kafa ketika persatuan itu menanggung beban hutang di samping masa depan tidak menentu Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. 

“Ada orang kata pegang bola Kelantan pun tak mampu, macam mana nak jaga bola Malaysia. Kelantan ini tak mampu sebab tak ada pitis (duit), tak ada bajet. Saya beritahu, kalau semua tak nak (bertanding), biar Annuar Musa jadi presiden sebab selera bola saya masih ada.

“Bola sepak Malaysia ini, berderu-deru orang nak beri duit. Kerajaan Malaysia nak beri duit malah semasa saya jadi Timbalan Presiden FAM dahulu, ketika itu tajaan hanya RM9.5 juta, saya pergi berunding dengan Astro dapat lebih RM30 juta,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.

Beberapa individu sebelum ini dikaitkan dengan jawatan berkenaan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandez, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat, tokoh korporat, Datuk Seri Idris Jala, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain Annuar sendiri.

Jelas Annuar, kesediaan beliau untuk bertanding dibuat setelah melihat tidak ada mana-mana individu dalam kalangan 19 presiden ahli gabungan badan induk bola sepak kebangsaan itu menawarkan diri merebut jawatan nombor satu tersebut.

Tambahnya, hasrat beliau itu juga hadir setelah Tunku Ismail menyatakan pendirian tidak mahu mengambil alih tampuk kepimpinan persatuan tersebut bagi penggal akan datang.

“Saya ada hantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada TMJ tetapi beliau jawab tak nak. Kalau TMJ tak mahu, saya naklah (jawatan presiden). Cuma saya tak mahu berlawan, saya tak nak berebut jawatan itu.

“Tetapi kalau ada orang sanggup (bertanding), biarlah calon itu munasabah kerana 19 presiden ahli gabungan ini sebenarnya semuanya layak kerana memimpin persatuan bola sepak di peringkat negeri,” katanya.


0 comments:

share2