Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 15, 2017

KERAJAAN KOMITED TAMBAH BAIK USAHA CEGAH BANJIR


Image result for zahid hamidi


Kuala Lumpur – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan pelbagai penambahbaikan dalam usaha mencegah banjir susulan beberapa kejadian yang berlaku di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, antara penambahbaikan yang telah dilakukan adalah sistem ramalan cuaca, mendalamkan sungai, pemulihan dan pemuliharaan kawasan tadahan air.

“Kita lihat perubahan iklim telah menyebabkan beberapa kejadian tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memberikan input lebih awal mengenai kawasan yang dijangka mengalami banjir.

“MetMalaysia memberi maklumat tujuh hari lebih awal daripada waktu berlakunya banjir berdasarkan maklumat diperoleh menerusi sistem satelit dan ini membolehkan kesiapsiagaan dilakukan lebih awal serta koordinasi dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara.

‘‘Untuk jangka panjang pula, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama agensi lain akan mendalamkan sungai dan menentukan tidak berlaku penebangan di kawasan-kawasan tadahan hujan,’’ katanya ketika berucap dalam Kongres Sedunia Persatuan Penyelidikan dan Kejuruteraan Alam Sekitar Hidro Antarabangsa (IAHR) Ke-37 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara menambah, meskipun masalah air dan tanah di bawah kerajaan negeri, namun koordinasi kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri telah dilakukan demi kepentingan rakyat.

“Koordinasi ini tidak pernah dilakukan, yang mana kita merasakan bahawa persoalan selama ini kita hadapi termasuk banjir kilat dan sebagainya harus diatasi dalam jangka masa panjang supaya masalah ini tidak berlaku lagi biarpun belanjawan yang diperlukan cukup tinggi termasuk hakisan kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kira-kira RM40 bilion diperlukan bagi melaksanakan kerja tebatan banjir dalam usaha mengurangkan risiko bencana tersebut.

“Kami juga sedang dalam proses membuat kajian peruntukan untuk membuat penambahbaikan hakisan pesisir pantai di seluruh negara demi kepentingan masyarakat di kawasan tersebut,” katanya.


0 comments:

share2