Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 19, 2017

JENGKA WONDERLAND BERCIRIKAN SENI BINA TIMUR TENGAH


Jengka Wonderland bercirikan seni bina Timur Tengah


Orang ramai dan penduduk sekitar Wilayah Jengka di sini bakal menikmati keseronokan taman tema air, Jengka Wonderland bertemakan fantasi dan seni bina Timur Tengah, selewat-lewatnya awal tahun depan.

Pemilik Kubang Gajah Waterpark Temerloh, Mohd Rafi Ekramuddin berkata, taman tema kedua ilhamnya itu kini telah memulakan fasa awal pembinaan melibatkan kerja tanah, pembersihan tapak dan sistem saliran.

Menurutnya, beliau optimis menyempurnakan pembinaan taman tema tersebut pada awal tahun depan.

"Kini saya akan sentiasa bekerja keras bagi menyiapkannya secepat mungkin. Berdasarkan permintaan dan sambutan ramai terhadap Kubang Gajah Waterpark Temerloh, saya mahu mencuba nasib di Jengka pula, dengan keluasan kawasan yang lebih besar dari sebelumnya.

"Sebelum ini tapak Jengka wonderland adalah tapak kilang simen produk. Saya sudah membuat bancian orang ramai dan ternyata mendapat sambutan positif serta tidak sabar menanti kewujudan taman tema air di sini, ia juga akan memberi kesan yg baik secara amnya kepada Bandar Jengka.

"Insya-ALLAH ia akan dibina berkonsepkan seni bina Timur Tengah dengan sedikit elemen fantasi, bersesuaian dengan namanya Jengka Wonderland. Makanan juga dibenarkan dibawa masuk kerana tempat ini ingin dijadikan pusat perkelahan dan santai serta bayaran masuk agak rendah" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat urusan Sharali Construction di Felda Jengka 14.

Katanya, kini penduduk setempat tidak perlu lagi pergi jauh untuk beriadah dan bermandi manda bersama seisi keluarga di taman tema air yang agak menarik, kerana jika Jengka Wonderland wujud ia sudah pasti akan menjadi pilihan penduduk di sini untuk berkunjung.

Menurutnya, antara permainan yang akan dibina ialah gelongsor air tinggi, gelong air pusing, terowong air, sungai, kolam berpantai, ‘padle’ bot, air curah, gua, pondok wakaf, dan lain-lain lagi.

"Dari segi tiket masuk mungkin sama seperti Kubang Gajah Waterpark iaitu RM10 dewasa RM8 kanak-kanak atau mungkin lebih sedikit kerana kos pentadbiran dan penyelenggaraan dijangka meningkat sedikit berikutan keluasan berbeza dan penambahan permainan di Jengka Wonderland, apapun ia akan diumumkan kelak selepas segalanya siap.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan dan cadangan kepada pembangunan taman tema air ini. Mudah-mudahan perancangan membina taman tema air ini bakal menjadi kenyataan dan mendapat sokongan semua pihak" katanya.


0 comments:

share2