Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 18, 2017

JENGKA WONDERLAND BANTU JANA EKONOMI PENDUDUK


Jengka Wonderland bantu jana ekonomi penduduk


Pembukaan Taman Tema Air Jengka Wonderland di Bandar Pusat Jengka tahun depan disambut baik Pusat Khidmat Dun Jengka kerana mampu menjana ekonomi penduduk setempat.

Adun Jengka, Dato' Wan Salman Wan Ismail berkata, usaha dan inisiatif usahawan desa yang membuka taman tema tersebut wajar dipuji kerana bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah menyemarakkan pembangunan Bandar Pusat Jengka yang kini giat dibangunkan sebagai pusat industri.

Menurutnya, Jengka Wonderland bakal menjadi taman tema pertama dan terbesar di Wilayah Jengka serta bakal menarik pengunjung bukan sahaja dari dalam negeri malah luar Pahang untuk berkunjung ke bandar ini.

"Ya, saya ambil maklum mengenai pembinaan taman tema itu dan amat menyambut baik. Taman tema air ini masih dalam peringkat permohonan. Saya mengalu-alukan cadangan ini sebagai satu lagi tarikan di bandar Jengka.

"Dengan terbinanya taman tema air tersebut, pada musim cuti sekolah, musim perlawanan bola sepak mahu pun musim konvokesyen beberapa universiti awam dan swasta di Bandar Jengka, sudah pasti ibu bapa dan seisi keluarga akan mengambil peluang untuk bercuti lebih masa di sini.

"Lagi lama dan lagi ramai mereka di sini, lagi bercambah ekonomi pelbagai sektor penduduk di Bandar Pusat Jengka dan ini tentu sekali memberikan impak yang baik dari segi pendapatan penduduk," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berharap, lebih ramai usahawan muda dan tempatan mengambil peluang menyemarakkan industri di Bandar Pusat Jengka, sekali gus menjanjikan faedah berganda kepada warga Felda Jengka.

Sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Adun Jengka, Wan Salman berpuas hati kini Bandar Tun Abdul Razak Jengka memiliki pelbagai kemudahan dan kecanggihan infrastruktur seperti Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Cawangan Pahang dan Stadium Tun Abdul Razak ( STAR) Jengka.


0 comments:

share2