Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 12, 2017

SYAMEL - ERNIE SALING MEMUJI


Syamel, Ernie Zakri


Kemenangan Syamel dan Ernie Zakri menerusi program realiti Duo Star minggu lalu, nyata memberi impak positif buat perjalanan seni keduanya. Masakan tidak, kebanyakan respons netizen terhadap gandingan selebriti saat bersaing di dalam program tersebut mendapat maklum balas positif.

Rata-ratanya menganggap mereka pasangan serasi. Berilah apa sahaja genre lagu, mereka pasti akan cuba memberikan yang terbaik, khusus buat peminat setia program realiti hiburan berkenaan.

Namun baik Syamel mahupun Ernie, bukanlah kemenangan yang dikejar semata-mata, sebaliknya misi untuk menghiburkan para penyokong menjadi fokus utama dan apabila diumumkan sebagai juara sulung Duo Star, pastinya mereka memanjat rasa syukur dan gembira.


Sekali gus, ia memberi gambaran baik untuk memacu skala seni keduanya untuk tahun ini.

Serasi sebagai duo

Tidak mahu memandang ke belakang lagi, Syamel dan Ernie optimis untuk memberikan yang terbaik pasca kemenangan mereka dalam program Duo Star. Untuk permulaan, pasangan ini cuba untuk menambat halwa telinga peminat seni tempatan menerusi sebuah lagu duet, Aku Cinta.

Mengulas mengenai single duet tersebut, Ernie mengakui ia merupakan satu naskhah yang bagus dan berharap agar ia dapat diterima baik pendengar.

“Lagu tersebut ditulis liriknya oleh Syamel dan sebagai rakan duet, pastinya saya suka dengan lagu tersebut kerana jiwanya yang ‘besar’ selain berentak balada. Selepas Duo Star, keutamaan kami adalah untuk mempromosikan lagu tersebut.

“Semoga ia akan dapat menawan hati pendengar seperti yang diharap-harapkan,” kata Ernie yang turut menambah, penantiannya selama tujuh tahun untuk mencari tapak kukuh dalam dunia seni dikira berbaloi bila mana semakin ramai yang mula buka mata terhadap bakat dan kredibilitinya sebagai penyanyi.

Ernie terharu kian diterima

Melihat kepada profil seni Ernie Zakri yang pasang surut, sudah tentunya terdetik rasa kecewa dalam hati kerana setelah lebih lima tahun mencuba, namun percaturan itu seakan kurang menyengat. Masih ramai yang belum mengenai penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Ernie tidak sedikit pun berkecil hati, malah mengakui akan perkara tersebut.

“Benar, masih ada yang belum kenal siapa Ernie Zakri. Kalau kenal pun, bukan saya tetapi lagu nyanyian saya. Bukan hendak kata saya semakin dikenali sekarang selepas jadi juara dalam Duo Star. Cuma apa yang boleh saya katakan sekarang, perhatian yang daripada orang luar terhadap saya melebihi sebelum ini.

“Pastinya saya rasa gembira kerana selama tujuh tahun menanti, ia dilihat berbaloi. Rezeki itu masih lagi ada, meskipun lambat. Alhamdulillah, terharu bila kian diterima,” jelasnya.

“Apa yang boleh saya katakan, perbezaan itu sangatlah ketara. Jujurnya juga, saya bertuah kerana berpeluang untuk menyertai Duo Star dan rakan duet saya pun Syamel yang saya sedia kagumi akan bakatnya biarpun masih setahun jagung dalam industri.

“Skilnya dan kreativitinya dalam nyanyian membuatkan saya kagum,” terang Ernie yang turut menambah, jika punya rezeki dia sebolehnya mahu ‘memanjangkan’ jenama Syamel – Ernie ini sebagai rakan duet generasi baru.

“Kita sedia tahu, lagu duet Terimaku Seadanya dendangan Hafiz dan Misha begitu menjadi dan kalau kita lihat, senario dua penyanyi melahirkan lagu duet kian rancak. Contohnya pada era 70-an lalu, kita ada Uji Rashid dan Hail Amir.

“Jadi kalau boleh kami juga mahukan perkara sama. Trend dua penyanyi solo merakam lagu duet itu akan memberikan lebih warna dalam industri seni suara kita,” katanya lagi.

Pengalaman Ernie banyak membantu – Syamel

Sementara itu, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly bersyukur dengan kemenangan yang diraih, apatah lagi ini merupakan pertandingan nyanyian kedua yang disertai selepas menjuarai Akademi Fantasia 2015 dua tahun lalu.

“Kemenangan ini saya akan kemenangan daripada para penyokong juga kerana mereka tidak henti-henti memberikan sokongan setiap kali kami membuat persembahan. Sokongan itulah yang menguatkan semangat kami untuk memberikan persembahan terbaik dari minggu ke minggu. Jadi bila diumumkan sebagai juara, sudah tentunya saya melihat ia sebagai simbolik kemenangan bersama.

“Peserta yang lain juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing ada cara dan kelebihan sendiri. Apa pun, memori bersama yang lain dalam Duo Star tidak akan saya lupakan,” terang Syamel yang mengakui senang bekerja dengan Ernie sebagai pasangannya dalam program hiburan itu.

“Saya bertuah kerana gandingan bersama Ernie boleh dikatakan terjadi pada saat-saat akhir. Sepatutnya, saya dipadankan dengan seorang penyanyi wanita lain. Namun kerana komitmen penyanyi tersebut yang tidak mengizinkan, jadi pihak Astro ada memberi idea untuk menggandingkan saya dengan Ernie.

“Kebetulan, kami pernah bertemu dalam suatu majlis dan saya melihat sendiri kebolehan Ernie dalam menyanyikan lagu secara live. Dalam hati kata, dia boleh nyanyi live dengan baik dan selepas itu, dia ada menghubungi saya menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam Duo Star.

"Saya terimanya dengan hati terbuka dan alhamdulillah, ternyata percaturan itu menjadi. Kita sudah tahu Ernie sebelum ini turut bertindak sebagai guru vokal dan kami saling memberikan idea dalam setiap konsep persembahan yang akan dilakukan.

“Ernie sendiri sudah lebih tujuh tahun dalam dunia seni. Jadi pengalamannya itu banyak memberikan kelebihan,” tambah Syamel yang turut berkongsi, kejayaan ini memberikan 1001 azam baru buatnya dalam terus melangkah dalam dunia seni.

“Tahun lalu banyak kenangan pahit manis yang saya tempuh dan ia sedikit sebanyak mematangkan saya. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya tersendiri. Jadi pada tahun ini, saya mahu kembali kuatkan azam, seterusnya mahu mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi lelaki balada,” akhiri Syamel.


0 comments:

share2