MERSING - Lebih 2,000 penduduk sekitar daerah ini, menyambut ketibaan rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016, di Taman Wawasan di sini.
Rata-rata penduduk mengakui teruja apabila pertama kali melihat trak Mack sebaik sahaja konvoi tiba ke destinasi terakhir untuk hari pertama ini.
Ketibaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kira-kira jam 4.40 petang disambut tepukan penduduk setempat yang menunggu keberangkatan tiba keluarga Diraja Johor berkenaan.
Bagi Amirullah Atan, 21, yang berasal dari Kampung Tenglu di sini, dia terpukau dengan reka bentuk trak Mack milik Sultan Ibrahim.
“Sebelum ini saya hanya lihat trak itu dalam laman sosial seperti Facebook dan Youtube.
“Namun, perasaan saya hari ini (semalam) begitu teruja apabila dapat lihat sendiri serta bergambar dengan trak Mack tersebut,” katanya.
Manakala, bagi seorang remaja, Nur Aisyah Zain, 16, biarpun pertama kali merasai kehangatan KMJ, namun baginya kembara berkenaan dilihat sebagai satu cara terbaik untuk keluarga Diraja Johor itu mendekati rakyat jelata.
Sultan Ibrahim meluangkan masa selama hampir setengah jam sebelum berangkat meninggalkan persinggahan terakhir hari pertama KMJ untuk bermalam di Kem Iskandar di sini.
0 comments:
Post a Comment