Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 29, 2017

POLIS PALSU PERDAYA CIKGU

Polis palsu perdaya cikgu



    ALOR GAJAH - Akibat memperdayakan seorang wanita dengan menyamar sebagai pegawai polis, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini.

    Tertuduh, Azizul Abu Hanifah Abdullah, 33, yang telah berkahwin membuat pengakuan salah sebaik dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

    Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati telah menyamar sebagai Asisten Superintendan Azizul Tan Sri Abdullah dari Jabatan Bukit Aman dan memperdayakan Nurul Eleena Umar, 33, dengan menyerahkan wang tunai RM600 dan melakukan dua transaksi melalui dua akaun berbeza berjumlah RM4,000 di daerah Alor Gajah, sekitar Januari sehingga April 2016.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah berpura-pura memegang jawatan sebagai penjawat awam dengan niat memperdayakan mangsa sama di lokasi dan waktu sama.

    Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd. Razi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Nor Azizah menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara satu tahun bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh sebutan.




    0 comments:

    share2