Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 12, 2017

[JERANTUT] LUMPUH SEPARUH BADAN AKIBAT DIPATUK ULAR


Lumpuh separuh badan akibat dipatuk ular


Akibat dipatuk ular, seorang warga emas terpaksa menderita lumpuh separuh badan sejak dua tahun lalu.

Warga emas terbabit, Zainun Abu bakar, 57, mendakwa, dia telah dipatuk haiwan berbisa itu sekitar tiga tahun lalu.

Menurutnya, selepas dipatuk ular, dia telah mendapatkan rawatan namun setahun kemudian, bisa ular yang masih ada merebak dan membuatkan separuh badannya lumpuh.

“Sekarang makcik hanya mampu terlantar, selain terpaksa bergantung pada kerusi roda... suami, Abdul Yop, 87, yang jaga dan uruskan makcik,” katanya.

Nasib yang menimpa Zainun mendapat perhatian Adun Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail yang datang berkunjung ke rumahnya sempena Ziarah Kasih anjuran Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Kota Gelanggi dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), di sini.

Ahmad Shukri turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas berkenaan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Selain berkunjung ke rumah Zainun, Ahmad Shukri turut berkunjung ke lima rumah pesakit kronik tanah rancangan berkenaan termasuk rumah pesakit strok, Salihah Min, 78.

Sementara itu, anak Salihah, Kasimah Mohamad, 58, berkata, ibunya diserang strok sebanyak dua kali dan serangan kali kedua mengakibatkan Salihah hanya mampu terlantar.

“Kali pertama diserang strok adalah sekitar tiga tahun lalu. Namun ia tidak seteruk kali kedua ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi GPW Felda Kota Gelanggi 2, Siti Zabedah Sudin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas sumbangan yang dihulurkan oleh Adun Pulau Tawar itu.

Katanya, program ziarah itu merupakan program julung kali diadakan dan bakal dijadikan program bulanan. Selain sumbangan Adun, hasil kutipan tabung GPW sedikit sebanyak akan disumbangkan untuk membeli keperluan pesakit kronik yang ada di tanah rancangan itu.


0 comments:

share2